Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LIMA KISAH RINGKAS ISTERI BUNUH SUAMI YANG BERLAKU CURANG

1. BETTY BRODERICK

    Pada tarikh 5 November 1989, sepasang suami isteri yang bernama Dan Broderick (44 tahun) dan Linda Kolkena (28 tahun) telah mati ditembak di dalam bilik tidur rumah mereka. Dan ditembak pada dada manakala Linda pula menerima tembakan pada bahagian kepala dan dada. Tidak lama selepas kejadian, si penembak telah menyerah diri kepada pihak polis. Mengejutkan, penembak itu dikenalpasti sebagai bekas isteri Dan sendiri iaitu Betty.

    Jadi, apa yang menyebabkan Betty sanggup bertindak untuk melakukan pembunuhan kejam tersebut? Semuanya gara-gara Dan yang langsung tidak mengenang budi dan menghargai pengorbanan Betty sebagai isteri. Dan lupa bahawa Betty adalah wanita yang pernah sanggup susah senang bersama dengannya. Selepas Dan menjadi kaya, dia telah menceraikan Betty untuk bersama dengan kekasih baru yang juga merupakan pembantu peribadinya iaitu Linda Kolkena.

    Sewaktu kejadian, Betty pada mulanya ingin membunuh diri depan Dan. Namun dia mengubah niatnya itu selepas terdengar suara Linda yang menyuruh Dan supaya menghubungi pihak polis. Pengakhiran hidup Betty, dia yang didapati bersalah atas dua pertuduhan pembunuhan peringkat kedua telah menerima dua hukuman penjara untuk seumur hidup

    Kisah penuh tentang Betty Broderick boleh baca di sini : https://www.jacklester33.com/2021/05/kisahbettybroderick.html


2. JIAN CHEN

    Pada tahun 2011 bertempat di negara Australia, seorang wanita bernama Jian Chen telah meletakkan pil tidur di dalam sup yang dihidangkan kepada bekas suaminya iaitu Jin Xiang Peng. Tidak lama kemudian yakni sewaktu Jin tidak sedarkan diri, tangan dan kakinya diikat oleh Jian dengan tali. Sebaik saja Jin tersedar, Jian terus membunuhnya dengan cara tikaman pada bahagian leher dan juga paha secara berulang kali. Lagi ngeri, Jian turut mengerat zakar suaminya itu lalu dibuang ke dalam mangkuk tandas.

    Setelah Jin tidak lagi bernyawa, Jian pun menghubungi pihak ambulans untuk menyerah diri. Motif pembunuhan Jian, dia sudah terlalu berasa geram dengan Jin yang telah memperisterikannya hanya demi kepentingan diri. Lebih menyakitkan hati Jian, Jin ada menjalinkan hubungan sulit dengan beberapa orang wanita di negara China. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Jian yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman selama tiga tahun sembilan bulan penjara.

 

3.  CLARA HARRIS

    Tiada siapa yang inginkan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian. Begitu jugalah dengan kisah Clara Harris di mana satu hari dia telah mendapat tahu tentang kecurangan yang dilakukan oleh suaminya iaitu David. Suami Clara itu didapati menjalinkan hubungan sulit dengan bekas pekerja wanitanya yang dikenali sebagai Gail Bridge. Walaupun benar-benar berasa kecewa dengan David, Clara enggan untuk bertindak melulu. Jadi, apa yang dia lakukan adalah mengupah detektif persendirian bagi menyiasat serta mengintip pergerakan David.

    Hinggalah pada 24 Julai 2002, Clara diberitahu oleh detektif upahannya mengenai keberadaan David dan Gail di hotel Hilton yang terletak di Nassau Bay, Texas. Saat paling kemuncaknya apabila Clara telah bertindak untuk melanggar David sampai mati dengan kereta di kawasan hotel berkenaan. Pelanggaran tersebut bukan sekali tetapi sebanyak tiga kali. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada 14 Februari 2003, Clara yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh suaminya itu telah menerima hukuman penjara selama 20 tahun serta dikenakan denda sebanyak $10 000. Namun selepas membuat rayuan ketiga pada tahun 2018, Clara akhirnya dibebaskan dari penjara.

    Kisah penuh tentang Clara Harris boleh dibaca di sini : https://www.jacklester33.com/2021/05/kisah-clara-harris-isteri-yang-tersakiti.html


4. KAREN BIRAGHI

    Pada awal pagi sambutan perayaan Krismas tahun 2011, seorang wanita bernama Karen Biraghi telah menembak mati suaminya iaitu Alan yang ketika itu sedang tidur di atas sofa. Tembakan yang dilepaskan Karen tersebut tepat mengenai kepala Alan. Pembunuhan itu berlaku berpunca daripada Alan sendiri yang telah berlaku curang kepada Karen dengan menjalinkan hubungan sulit bersama seorang rakan sekerja wanitanya. Bahkan Alan mempunyai telefon rahsia semata-mata untuk berhubung dengan kekasihnya gelap itu.

    Rahsia Alan bagaimanapun terbongkar selepas Karen menemui telefon rahsianya. Paling menyakitkan hati Karen, dia telah terbaca mesej romantik yang dikirim Alan kepada kekasihnya. Maka Karen yang tidak berfikir panjang terus menghabisi nyawa Alan. Seperkara harus diketahui yakni sebelum kematian Alan, Karen turut berlaku curang. Perkara ini berikutan Karen yang merasakan dirinya tidak mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya daripada Alan. Pengakhiran kes, Karen yang didapati bersalah melakukan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup.


5. ANN MARIE ANASTASI

    Pada tahun 2015, Marie yang berusia 42 tahun merupakan isteri kepada Anthony Anastasi. Sepanjang 18 tahun tempoh perkahwinan pasangan tersebut, mereka berdua dikurniakan seramai lima orang anak. Pada satu hari, Anthony telah memperkenalkan teman wanita mudanya yang berusia 25 tahun iaitu Jacqueline Riggs kepada Marie di rumah mereka. Anthony memberitahu Marie bahawa Jacqueline bakal tinggal sebumbung bersama dengan mereka di mana Jacqueline akan tidur di dalam bilik bawah tanah.

    Kisah sebenar bermula pada 5 Oktober 2015 apabila Marie telah menghubungi talian kecemasan 911 untuk memberitahu tentang Anthony yang ditemui mati terbaring dalam bilik tidur utama rumah mereka akibat bunuh diri dengan cara tembakan pistol di bahagian kepala. Jacqueline pula dibunuh dengan cara tikaman pisau secara berulang kali. Teori awal, Anthony telah membunuh Jacqueline terlebih dahulu sebelum membunuh diri.

    Namun perkara sebenar yang berlaku terungkai jua selepas pihak polis melakukan pemeriksaan pada telefon Marie. Kematian Anthony dan Jacqueline adalah satu pembunuhan terancang yang didalangi oleh Marie sendiri. Maka pada akhirnya, Marie yang didapati bersalah telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 60 tahun.

    Kisah penuh tentang Ann Marie Anastasi boleh dibaca di sini : https://www.jacklester33.com/2021/08/kisan-ann-marie-anastasi-hai-pelakor.html

Catat Ulasan for "LIMA KISAH RINGKAS ISTERI BUNUH SUAMI YANG BERLAKU CURANG"