PEMBUNUHAN ANAK MAGUAD, ALA-ALA FILEM ORPHAN
Baru-baru ini, negara Filipina dikejutkan dengan satu kes
pembunuhan kejam yang telah mengorbankan nyawa dua adik beradik iaitu Crizzle
(18 tahun) dan Crizzule (16 tahun). Mereka berdua telah dibunuh di rumah mereka
sendiri yang terletak M’lang, North Cotabato. Rata-rata netizen di laman media
sosial telah menyamakan kes ini seperti jalan cerita dalam filem thriller
Orphan (2009).
Baiklah, apa sebenarnya yang berlaku kepada Crizzle dan
Crizzule? Kisah bermula pada 10 Disember lepas di mana Maguad yakni bapa kepada
Crizzle dan Crizzule menerima satu panggilan telefon yang memberitahu bahawa
rumah mereka telah dicerobohi. Waktu tersebut, Maguad yang juga merupakan
seorang cikgu sedang berada di sekolah tempat isterinya mengajar. Sejurus
selepas menerima panggilan telefon itu, Maguad terus bergegas untuk pulang ke
rumahnya.
Setibanya di rumah, Maguad berasa terkejut apabila menemui
mayat Crizzle dan Crizzule dalam keadaan yang mengerikan. Mayat Crizzle yang
berlumuran dengan darah ditemui terbaring di luar biliknya manakala mayat
Crizzule pula berada berdekatan pintu masuk utama rumah. Badan kedua-dua mereka
dipenuhi dengan kesan tikaman. Lain-lain penemuan adalah beberapa bukti penting
seperti botol kaca yang sudah pecah, tukul dan pemukul kayu besbol.
Janice |
Seorang lagi anak Maguad yang dikenali sebagai Janice (16 tahun) pula didapati dalam keadaan selamat. Tentang Janice, dia adalah anak angkat Maguad yang mula dijaga sejak bulan Julai 2021. Pada mulanya, Janice mendakwa bahawa rumah mereka pada waktu kejadian telah diceroboh masuk oleh tiga orang lelaki tidak dikenali. Sewaktu pembunuhan berlaku, Janice menyembunyikan diri di bawah katil di dalam biliknya. Siasatan pihak polis kemudian mendapati keterangan daripada Janice tidak selari dengan bukti yang ditemui di rumah Maguad. Hinggalah pada 16 Disember lalu, barulah Janice membuat pengakuan bahawa kematian Crizzle dan Crizulle adalah pembunuhan yang didalangi diri sendirinya dengan dibantu oleh dua lagi individu yang tidak didedahkan namanya. Salah seorang daripada individu tersebut dipercayai sebagai teman lelaki Janice.
Berhubung dengan motif pembunuhan, Janice dikatakan telah berasa cemburu dengan Crizzle. Dalam erti kata lain, Janice ingin menggantikan tempat Crizzle dalam keluarga Maguad. Sebelum ini, Crizzle telah menyuruh ibu bapanya untuk mengambil Janice sebagai anak angkat atas faktor statusnya yang sudah pun bergelar sebagai anak yatim piatu. Ada sedikit unsur plot twist dalam kes ini, ibu bapa Janice sebenarnya masih lagi hidup. Malah Janice juga mempunyai tiga orang lagi adik-beradik yang lain. Seperkara harus diketahui, Janice suka menonton filem. Salah satu satu filem yang diminatinya tidak lain tidak bukan filem Orphan. Buat masa sekarang, kes masih lagi dilaporkan dalam siasatan pihak polis.
Tak kenang budi langsung!! Semoga dikenakan hukuman berat
BalasPadam