Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DERITA DALAM SENYAP : Chester Bennington


    
Pada tarikh 21 Julai 2017, dunia dikejutkan dengan berita kematian vokalis kumpulan rock terkenal Linkin Park iaitu Chester Bennington. Penyanyi berbakat besar itu telah ditemui mati di rumahnya yang berlokasi di Palos Verdes Estates, California, Amerika Syarikat dengan punca kematiannya adalah akibat bunuh diri. Rata-rata peminat kumpulan Linkin Park di seluruh dunia benar-benar terkejut dengan berita tersebut. Pihak polis turut mengesahkan penemuan sebotol minuman keras dengan kandungan separuh di lokasi kejadian. Seperkara harus diketahui, Chester mati pada hari ulang tahun kelahiran rakan baiknya, mendiang Chris Cornell yakni bekas vokalis kumpulan Audioslave yang telah membunuh diri pada dua bulan sebelum penemuan mayat Chester.

    Populariti Chester atau nama sebenarnya Chester Charles Bennington semakin meningkat naik selepas dia menyertai kumpulan Linkin Park yang ditubuhkan oleh Mike Shinoda pada tahun 1996. Bermula dengan album Hybrid Theory, kumpulan Linkin Park menempa kejayaan demi kejayaan dalam industri muzik hingga mampu untuk mencetus fenomena mereka yang tersendiri. Begitu banyak kejayaan dan pengiktirafan yang Chester capai bersama kumpulan Linkin Park sepanjang tempoh dua dekad perjalanan karier mereka. Namun di sebalik semua kesuksesan tersebut, Chester sebenarnya menanggung kekecewaan dan kesedihan sejak dia daripada kecil lagi. Mungkin dalam bahasa lebih mudah, karakternya adalah seorang yang berperwatakan suka dalam duka. Hanya selepas kematiannya, barulah kisah silamnya kembali hangat diperkatakan.

    Chester dilahirkan pada 20 Mac 1976 di Phoenix, Arizona. Bapanya adalah seorang detektif manakala ibunya pula bekerja sebagai jururawat. Ibu bapa Chester bagaimanapun bercerai sewaktu Chester berusia 11 tahun. Penceraian itulah yang menjadi kepada titik permulaan detik-detik hitam dalam hidup Chester. Menyedihkan Chester, hak penjagaannya telah diberikan kepada bapanya yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan. Disebabkan rasa kesunyian dan terabai, Chester mula terjebak dengan pelbagai jenis dadah dan suka meminum minuman keras. Namun pada masa sama, Chester kerap menjadi mangsa buli di sekolah kerana saiz tubuh badannya yang kecil dan kurus. Tahun 2012, Chester telah membuat satu pendedahan mengejutkan di mana dia memberitahu pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh seorang lelaki lebih berusia yang tidak pernah didedahkan identitinya secara umum. Insiden penderaan seksual tersebut berlaku sejak Chester berusia tujuh tahun.

    Chester pernah berjaya berhenti daripada tabiat menghisap dadah dan ketagihan alkohol pada usia 17 tahun yakni sewaktu tinggal bersama dengan ibunya. Tabiat buruk Chester itu kembali berulang setelah dia bercerai dengan isteri pertamanya yang bernama Samantha Marie Olit. Chester mempunyai seorang anak lelaki bersama dengan Samanhta yang dinamakan sebagai Draven Sebastian. Pada tahun 2006, Chester berkahwin buat kali kedua dengan mengahwini seorang bekas model majalah Playboy yang dikenali sebagai Talinda Ann Bentley. Hasil perkahwinan tersebut, mereka mendapat tiga orang anak iaitu Tyler Lee Bennington termasuk pasangan kembar perempuan Lilly dan Lila.

    Apa yang pasti, kemurungan adalah penyakit pembunuh secara senyap. Kesan kemurungan boleh membunuh mereka yang mengalaminya. Begitulah juga dengan Chester yang memilih untuk mengakhiri hidupnya. Kemurungan yang berlaku disebabkan trauma dengan kisah silam serta pemergian rakan baik yang sukar untuk mungkin sukar untuk diterimanya sama sekali. Artikel ini diakhiri dengan gambar terakhir Chester dan keluarganya yang diambil pada beberapa hari sebelum dia membunuh diri. Disertakan sekali pautan video saat terakhir Chester meluangkan masa bersama keluarganya (https://youtu.be/59hwbGD0r2c)



Catat Ulasan for "DERITA DALAM SENYAP : Chester Bennington"