Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JANICE TRAHAN : Dendam Doktor "Iblis"


    Pada tahun 1980-an bertempat di sebuah hospital yang terletak di Lafayette, Louisiana, Amerika Syarikat, ada seorang jururawat cantik bernama Janice Trahan Allen. Di hospital itulah tempat Janice menjalinkan hubungan sulit dengan seorang doktor lelaki kacak yang dikenali sebagai Dr. Richard J. Schmidt. Sewaktu awal perhubungan pasangan tersebut, Janice adalah berstatus isteri orang yang sudah pun memiliki anak. Begitu juga dengan Richard yang telah pun berumah tangga.

    Pada mulanya, Richard dan Janice saling mencintai antara satu sama lain. Malah Richard juga berjanji akan mengahwini Janice. Disebabkan itu, Janice sanggup meninggalkan pasangannya demi hidup bersama dengan Richard. Walau bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan Richard yang sentiasa dalam keadaan berbelah bagi. Dia tidak mahu menceraikan isterinya serta pada masa sama enggan untuk kehilangan Janice sama sekali. Perkara ini sekaligus menyebabkan Janice cuba untuk memutuskan hubungannya dengan Richard. Cuma setiap kali Janice cuba berbuat sedemikian, Richard membuat ugutan untuk menyebarkan gambar bogelnya di papan kenyataan tempat kerja mereka. Namun hanya selepas 10 tahun diugut secara berterusan, barulah Janice mempunyai keberanian untuk meninggalkan Richard biarpun telah mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungan terlarang mereka. Di sisi Richard, jika dia tidak dapat memiliki Janice maka lelaki lain pun akan melalui perkara yang sama. Seperkara harus diketahui, Richard sebelum itu juga bertindak sebagai doktor perawat untuk Janice dalam segala hal kesihatan. Ini termasuklah memberi suntikan B12 kepada Janice yang mengalami penyakit keletihan.

    Hinggalah satu hari yakni tidak lama selepas berpisah dengan Richard, Janice telah mengalami gejala sakit demam, sakit sendi, sakit mata dan pembengkakan kelenjar limfa. Selepas dilakukan pemeriksaan darah, alangkah terkejutnya Janice apabila dia tiba-tiba disahkan mengidap penyakit HIV dan Hepatitis C. Dunia Janice terus menjadi gelap. Paling menyedihkan, Janice terpaksa menggugurkan kandungannya pada waktu tersebut. Apa yang bermain di fikiran Janice, dia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh dijangkiti virus berbahaya tersebut. Lagipun, Janice bukannya jenis wanita yang suka ditiduri oleh lelaki tidak dikenali. Jadi, Janice yang enggan berdiam diri kemudian telah pergi berjumpa dengan pihak polis dan peguam untuk menceritakan segala-galanya. Dalam kepala Janice, dia sebenarnya mengesyaki bahawa Richard adalah dalang punca darahnya tercemar dengan virus HIV.

    Berdasarkan dakwaan Janice, Richard telah datang ke rumahnya pada malam 4 Ogos 1994 untuk melakukan suntikan B12 seperti kebiasaan yang dia lakukan. Sejurus selepas menyuntik Janice, Richard pun terus beredar pergi. Perkara paling diingati Janice pada malam itu adalah kesakitan luar biasa yang dia alami setelah menerima suntikan tersebut. Kena ingat, Richard merupakan salah seorang doktor perubatan yang begitu dihormati di Lafayette. Justeru tidak hairanlah pihak polis lebih memilih untuk mempercayai penafian yang dibuat Richard. Janice yang tidak berputus asa telah menunjukkan rekod derma darah yang pernah dibuatnya pada beberapa bulan sebelum dia mendapat jangkitan HIV. Dalam erti kata lain, Janice sebelum itu memang bebas daripada HIV. 

    Satu lagi bukti penting, rekod panggilan telefon yang membuktikan Richard ada menelefon Janice pada malam 4 Ogos sebagaimana didakwa oleh Janice. Rentetan daripada perkara itu, pihak polis melakukan siasatan serta pemeriksaan di pejabat Richard. Hasilnya, pihak polis telah menemui butiran terperinci mengenai 2 sampel darah pesakit yang tidak pernah dihantar ke makmal untuk dibuat ujian pengesanan virus. Siasatan demi siasatan, pihak polis akhirnya berjaya mengenalpasti identiti pemilik sampel darah tersebut. Seorang adalah pengidap AIDS manakala seorang lagi pula pengidap Hepatitis C. Apabila perkara ini disiasat secara lebih mendalam, kedua-dua pesakit tersebut tidak pernah mendapat panggilan untuk temu janji rawatan susulan. Menerusi keputusan ujian makmal, strain HIV yang terdapat dalam badan Janice adalah sepadan dengan strain pesakit AIDS itu. Bukti saintifik ini ternyata mendukung teori yang dikemukakan oleh Janice tentang penganiayaan yang Richard lakukan kepadanya.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes iaitu pada bulan Oktober tahun 1998, Richard yang didapati bersalah atas melakukan cubaan membunuh telah dijatuhkan hukuman penjara selama 50 tahun. Richard yang tetap menafikan sebarang penglibatannya ada membuat permohonan pembebasan secara bersyarat akan tetapi permohonan tersebut ditolak pada tahun 2015. Tentang Janice, dia dilaporkan sudah pun berkahwin semula dengan lelaki lain. Tidak dapat dipastikan samada Janice masih lagi hidup atau sebaliknya.

1 ulasan for "KISAH JANICE TRAHAN : Dendam Doktor "Iblis""