KISAH JASMINE RICHARDSON : Pembunuh Termuda Kanada
Keluarga Richardson |
Pada petang 26 April 2006 bertempat di Alberta, Kanada, seorang budak lelaki berusia 6 tahun telah mendapat keizinan daripada ibunya untuk pergi bermain bersama dengan jirannya yang bernama Tyler Jacob. Sampai di rumah Tyler, budak itu pun mengetuk pintu masuk rumah tersebut secara berulang kali. Selepas pintu itu masih tidak dibuka oleh mana-mana anggota keluarga Tyler, budak tersebut membuat keputusan untuk mengintai ke dalam rumah berkenaan menerusi tingkap. Namun apa yang berlaku kemudian, budak itu terus berlari pulang ke rumah sambil menangis teresak-esak. Rupa-rupanya budak tersebut telah ternampak dua mayat manusia yang dalam keadaan berlumuran darah terbaring di bahagian ruang tamu keluarga Tyler.
Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, identiti dua mayat
itu dikenalpasti sebagai pasangan suami isteri iaitu Marc Richardson (42 tahun)
dan Debra Richardson (48 tahun). Seorang lagi mangsa tidak lain tidak bukan
Tyler Jacob (8 tahun) pula ditemui mati di dalam bilik tidur. Ketiga-tiga anak
beranak tersebut telah dibunuh dengan cara kelaran dan tikaman pisau. Seorang
lagi anggota keluarga Richardson yang dikenali sebagai Jasmine (12 tahun)
didapati hilang. Maka pada mulanya, pasukan penyiasat mengesyaki bahawa Jasmine
berkemungkinan besar telah menjadi mangsa penculikan. Setelah pemeriksaan bukti
serta siasatan dijalankan, ternyata sangkaan tentang nasib Jasmine itu meleset
sama sekali. Tidak lama selepas penemuan mayat keluarga Richardson, Jasmine
telah berjaya ditangkap bersama dengan teman lelakinya di sebuah kawasan yang
berjarak kira-kira 160 kilometer dari lokasi kejadian. Penangkapan tersebut
dibuat berikutan Jasmine yang disyaki menjadi dalang utama pembunuhan
keluarganya.
Jeremy dan Jasmine |
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada keluarga Richardson? Apa pula kaitan teman lelaki Jasmine, Jeremy Steinke? Setakat yang diketahui, dia yang mengamalkan gaya hidup Gothik adalah berusia 23 tahun yakni 11 tahun lebih tua daripada Jasmine. Dia mendakwa bahawa dirinya adalah jelmaan serigala jadian yang sudah hidup selama 300 tahun. Selain itu, Jeremy yang pernah menjadi mangsa buli sewaktu zamannya bersekolah merupakan ahli untuk laman web VampireFreaks.com. Perkenalan antara Jeremy dan Jasmine dikatakan bermula di sebuah konsert Punk Rock di mana Jasmine waktu tersebut baru saja berusia 11 tahun. Perangai Jasmine yang pada mulanya seorang budak baik terus berubah selepas menjalinkan hubungan dengan Jeremy. Bahkan akibat pengaruh daripada Jeremy, Jasmine gemar bersolek ala Gothik bagi menampakkan wajahnya yang lebih tua daripada usia sebenar.
Ibu bapa yang penyayang sudah tentu inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Begitulah juga dengan Marc dan Debra. Apabila mereka berdua mendapat tahu tentang hubungan Jasmine dengan Jeremy, tiada langsung istilah restu. Malah Marc dan Debra telah menyuruh Jasmine untuk memutuskan hubungan itu. Bagi mereka, Jasmine masih belum cukup matang untuk mengenali erti kehidupan sebenar. Di sisi Jasmine, dia berasa begitu marah dengan tindakan ibu bapanya yang menolak mentah-mentah Jeremy. Dalam fikiran Jasmine, dia hanya ingin hidup bersama dengan Jeremy buat selama-lamanya. Disebabkan itu, ibu bapa serta adiknya harus dibunuh. Jasmine pernah memberitahu mengenai niat jahat tersebut kepada rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, perkara tersebut disangka oleh rakan-rakan Jasmine sebagai sekadar satu gurauan.
Jeremy telah menonton filem Natural Born Killer sebelum memulakan aksi pembunuhannya. Cerita tentang waktu kejadian, Jeremy telah membunuh Debra terlebih dahulu dengan tikaman pisau yang bertubi-tubi. Marc yang terdengar suara jeritan Debra cuba menyerang Jeremy dengan pemutar skru. Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi selepas dia tertewas dalam pergelutannya bersama Jeremy. Mengenai Tyler, dia maut akibat dikelar oleh Jasmine sendiri pada bahagian lehernya. Sesudah pembunuhan itu, Jeremy dan Jasmine telah pergi singgah di sebuah restoran yang berdekatan. Di situ, pasangan psiko tersebut saling bermesra-mesraan termasuk melakukan aksi bercumbu.
Berhubung keputusan perbicaraan kes tahun 2007, Jasmine yang didapati bersalah oleh pihak mahkamah telah dihukum penjara enam tahun penjara dan empat tahun pengawasan komuniti. Hukuman ringan tersebut adalah atas status Jasmine yang masih berada di bawah umur. Setahun selepas Jasmine dijatuh hukum, giliran Jeremy menerima hukuman atas tiga kesalahan membunuh. Jeremy diperintahkan untuk menjalani tiga hukuman penjara seumur hidup dengan layak untuk diparol pada tahun 2033 kelak. Biarpun Jeremy dan Jasmine meringkuk di penjara, mereka berdua tetap saling berutus surat. Cinta sampai hujung nyawa, Jeremy dan Jasmine berjanji untuk berkahwin pada satu hari nanti. Tahun 2016, Jasmine telah bebas sepenuhnya dari penjara dengan lokasi terkininya dirahsiakan daripada pihak umum.
Catat Ulasan for "KISAH JASMINE RICHARDSON : Pembunuh Termuda Kanada"