Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JOE ARRIDY YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN


    Pada lewat malam 15 Ogos tahun 1936 bertempat di Pueblo, Colorado, Amerika Syarikat, sepasang suami isteri yang baru saja pulang ke rumah dikejutkan dengan penemuan mayat anak perempuan mereka dalam keadaan mengerikan iaitu Dorothy Drain (15 tahun). Dia dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan cara tetakan kapak di bahagian kepala semasa sedang tidur. Selepas Dorothy dibunuh, mayatnya dicabul oleh pelaku. Adik Dorothy bernama Barbara (12 tahun) yang turut diserang sewaktu kejadian telah mengalami kecederaan parah. Dia bagaimanapun bernasib baik apabila dapat diselamatkan setelah menerima rawatan perubatan. Susulan kejadian dahsyat yang menimpa dua orang beradik tersebut, pihak polis telah menerima tekanan daripada orang ramai untuk menangkap pelaku dengan secepat mungkin. Lagipun pada dua minggu waktu sebelum itu, ada dua orang wanita yang telah menjadi mangsa serangan dengan cara serupa. Mengikut keterangan daripada saksi, pelaku mempunyai ciri-ciri fizikal seperti orang Mexico.

    George Caroll yakni seorang pegawai syerif kemudian tidak perlu mengambil masa lama untuk menangkap seorang lelaki berusia 21 tahun yang telah membuat pengakuan tentang pembunuhan Dorothy. Penangkapan tersebut dibuat di sebuah kawasan landasan kereta api di mana lelaki itu didapati berkeliaran dalam keadaannnya tidak tentu arah dan tidak terurus. Lelaki yang ditangkap berkenaan adalah Joe Arridy. Namun pada masa sama, pihak polis di Pueblo sebenarnya sudah pun menangkap seorang lelaki Mexico berusia 35 tahun, Frank Aguillar yang diyakini sebagai suspek utama pembunuhan meskipun tiada sebarang pengakuan dibuatnya. Frank merupakan bekas pekerja kepada bapa Dorothy yang telah dipecat atas sebab tidak diketahui. Frank ditangkap rentetan penemuan kapak di dalam rumahnya yang dipercayai sebagai senjata pembunuhan. Selain itu, Frank juga telah muncul pada majlis pengkebumian Dorothy dalam keadaannya yang mencurigakan. Baiklah, ada dua suspek. Pertama, Joe. Kedua pula Frank. Kena ingat, Joe memang ada membuat pengakuan tetapi tiada bukti sama sekali untuk membabitkannya.

Frank Aguillar

    Jadi, siapa Joe Arridy ini ? Dia merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang berasal dari Syria. Ibu bapa Joe dikatakan telah berhijrah ke negara Amerika Syarikat pada tahun 1909. Penghijrahan mereka tersebut adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Tentang Joe, dia yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik dilahirkan pada tahun 1915. Sejak dari kecil lagi, Joe bukan saja mempunyai masalah perkembangan mental bahkan mengalami kelewatan dalam bercakap. Perkara ini telah menyebabkan daya pemikiran Joe adalah seperti seorang kanak-kanak berusia 6 tahun. Dalam erti kata lain, perkembangan Joe tidak selari dengan usianya. Bayangkan, Joe hanya memiliki level IQ sebanyak 46. Disebabkan itulah Joe hanya disuruh untuk bersekolah di rumah, bukannya di sekolah kerana dia tidak akan mampu belajar seperti kanak-kanak normal lain. Menyedihkan Joe memang tidak dapat untuk membezakan perkara asas seperti perbezaan warna apatah lagi untuk mengetahui mana perkaran yang baik dan buruk. Berhubung pengakuannya mengenai pembunuhan Barbara, Joe berkemungkinan besar tidak tahu menahu langsung tentang apa yang diperkatakannya. Boleh jadi sesi soal siasat yang dijalankan terhadapnya dianggapnya sebagai satu permainan atau dia mungkin juga telah digertak oleh George. Cuma seperkara harus diketahui iaitu sewaktu penangkapan Joe di stesen kereta api, dia sebenarnya baru saja melarikan diri dari sebuah pusat penjagaan orang kurang upaya.

    Tahun 1937, Frank telah menjalani hukuman mati gas beracun selepas didapati bersalah dalam pembunuhan Barbara. Bagaimana pula dengan nasib Joe? Dia mengalami nasib sama. Pihak berkuasa mempercayai Frank dan Joe saling bekerjasama dalam kes pembunuhan Barbara. Hakikat sebenar, mereka berdua memang tidak mengenali antara satu sama lain. Cumanya, hukuman Joe ditangguhkan untuk seketika hasil rayuan daripada seorang peguam upahan warden tempat Joe dipenjarakan. Sepanjang tempohnya berada di penjara, Joe dilihat begitu gembira sekali. Pegawai penjara termasuklah para banduan seronok untuk melayani aksi Joe yang gemar untuk bermain dengan kereta api mainan pemberian warden penjara kepadanya. Joe pernah memberitahu bahawa dia ingin tinggal di penjara untuk seumur hidup kerana tiada sesiapa pun yang membulinya di situ.

    Hinggalah 6 Januari 1939, tiba masanya Joe untuk menjalani hukuman mati. Dia telah memilih ais krim sebagai makanan terakhirnya dan sempat memberikan kereta api mainan kepada seorang banduan lain sebelum memasuki bilik gas beracun. Joe yang tidak mengerti apa-apa hanya mampu untuk tersenyum dalam kebingungan. Detik paling hiba apabila beberapa orang pegawai penjara dilaporkan menangis teresak-esak sewaktu melihat Joe dihukum mati. Pada tahun 2011 yang bersamaan dengan tujuh dekad selepas kematian Joe,  Gabenor Colorado telah menganugerahkan pengampunan kepada Joe kerana dia dipercayai menjadi mangsa penganiayaan kepada sistem undang-undang yang tidak adil pada waktu lampau.

Catat Ulasan for "KISAH JOE ARRIDY YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"