Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ERNI SUSANTI


    
Orang kata, isteri adalah cerminan suami. Bagaimana cara isteri melayan suami, bergantung kepada sikap suami itu sendiri. Bagus layanan suami, baguslah layanan isteri. Buruk layanan suami, buruklah layanan isteri. Seorang suami yang baik akan sentiasa menjadi berusaha untuk menjadi seorang pendengar cerita dan menghargai pandangan isteri. Kena ingat, isteri bukan saja untuk disayangi akan tetapi perlu juga dihormati.

    Romi Sepriawan (30 tahun) dan Erni Susanti (29 tahun) merupakan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pada tahun 2015. Setahun selepas perkahwinan tersebut, Erni selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel. Melalui foto keluarga yang sering dimuatnaik oleh Erni di akaun laman media sosial Instagram dan Facebook, dia sepertinya hidup sangat bahagia bersama dengan Romi. Namun siapa sangka, semua itu hanyalah satu kepalsuan semata-mata. Hakikat sebenar, Erni dan Romi selalu bertengkar sejak dari awal perkahwinan mereka lagi. Romi yang bekerja sebagai penjual cili mempunyai perangai panas baran. Dia sering kali melayan isterinya dengan cara yang begitu kasar. Adakalanya Romi sampai naik tangan. Satu lagi tabiat buruk yang dimiliki Romi, dia gemar berjudi hingga pernah sekali hampir menyebabkan perusahaan penjualan cilinya hampir lingkup.

    Pada mulanya, Erni yang berstatus sebagai seorang suri rumah sepenuh masa tetap berusaha melayani Romi dengan baik walaupun dia sering saja dikasari. Malah Erni juga kerap menasihati Romi supaya berhenti daripada berjudi. Perangai Romi bagaimanapun tetap tidak berubah. Disebabkan itu, Erni yang berasa tidak dihargai telah menjadi tawar hati terhadap Romi. Lama-kelamaan, Erni mula melayan Romi secara dingin. Kebanyakan masa Erni dihabiskannya untuk bermain laman media sosial. Manakan tidak, segala cerita dan luahannya langsung tidak didengari oleh Romi. Erni bertahan kerana memikirkan anak perempuan dan juga bayi kandungannya. Perubahan sikap Erni ini kemudian disedari Romi. Di sisi Romi, dia ternyata mencurigai Erni yang berkemungkinan besar berlaku curang. Semuanya gara-gara Erni yang enggan untuk memberikan kata laluan telefonnya kepada Romi hingga menyebabkan berlakunya pertengkaran antara mereka selama 4 bulan lamanya.

    Hinggalah pada malam 21 Februari 2019, Romi dan Erni sekali lagi bertengkar di rumah mereka. Punca pertengkaran yang sama, Erni berkeras tidak mahu memberitahu kata laluan telefonnya. Selepas bertengkar, Erni yang kepenatan memasuki bilik tidur untuk berehat. Lain pula ceritanya dengan Romi. Dia yang masih berasa tidak puas hati telah pergi meminjam parang dari rumah jirannya dengan menggunakan alasan untuk mengopek buah kelapa. Sesudah itu, Romi kembali ke rumah lalu memasuki bilik tidur Erni. Entah apa yang merasuki Romi, dia telah menetak leher Erni hingga hampir putus. Akibat tetakan tersebut, Erni pun meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian. Cumanya lagi kejam apabila Romi telah bertindak untuk membelah perut Erni bagi mengeluarkan bayi yang dikandung isterinya itu. Setelah bayi tersebut keluar, Romi terus keluar dari rumah dan seterusnya menjerit memberitahu jiran-jiran di sekeliling tentang isterinya yang sudah bersalin. Sebaik bidan kampung memasuki rumah Romi, dia berasa terkejut apabila menemui mayat Erni yang benar-benar dalam keadaan mengerikan. Pada saat ini, Romi telah pun melarikan diri.

    Keadaan terus menjadi kecoh dengan penduduk kampung mengerumuni rumah Romi. Bahkan ada antara mereka cuba mencari Romi. Bak kata pepatah iaitu sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatah ke tanah jua. Begitu jugalah dengan nasib Romi kerana pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk mengesan dan menangkapnya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan November 2019, Romi pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Hukuman itu bagaimanapun ditukar kepada penjara seumur hidup susulan rayuan yang telah dikemukakan oleh pihak keluarga Erni. Mengenai bayi Erni, dia yang selamat dalam insiden dahsyat tersebut dan kini dilaporkan dijaga keluarga Erni sendiri. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ERNI SUSANTI "