KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HOLLY WELLS DAN JESSICA CHAPMAN
Holly dan Jessica |
Pada pagi 4 Ogos 2002 bertempat di Soham, seorang budak perempuan berusia 10 tahun iaitu Jessica Chapman telah keluar dari rumah untuk pergi bermain di rumah rakan baik seusianya yang bernama Holly Wells. Seorang lagi budak perempuan yang turut berada di rumah Holly pada waktu itu adalah Natalie Parr. Tiga sekawan tersebut telah sama-sama bermain komputer serta mendengar lagu. Menjelang waktu tengah hari, Natalie pun pulang ke rumah. Lain pula dengan Jessica yang telah meminta keizinan daripada ibunya untuk berada di rumah Holly hingga waktu makan malam.
Pada waktu petang hari yang sama, ibu bapa Holly mengajak
kenalan terdekat untuk datang ke rumah mereka sempena parti barbeku. Jam 3
petang, Holly dan Jessica telah menyalin pakaian mereka kepada jersi pasukan
bola sepak Manchester United. Usai memakai jersi itu, mereka berdua telah
mengambil foto bersama sebagai tanda kenangan. Lebih kurang jam 6.15 petang,
Holly dan Jessica sama-sama pergi ke sebuah kedai berdekatan untuk membeli
gula-gula. Namun seperkara harus diketahui, Holly dan Jessica tidak memberitahu
sesiapa pun akan perkara tersebut. Tiga jam kemudian yakni setelah selesai
parti barbeku, ibu Holly mula berasa bimbang selepas Holly serta Jessica masih
lagi tidak kelihatan di rumah. Selepas mendapat pengesahan daripada ibu Jessica
tentang Jessica yang ternyata tidak pulang ke rumahnya, barulah laporan polis
dibuat. Pencarian Holly dan Jessica merupakan salah satu operasi pencarian
secara besar-besaran yang pernah dilakukan di England.
Hasil pemeriksaan dan siasatan oleh pihak polis, inidvidu terakhir dipercayai melihat Holly dan Jessica adalah seorang lelaki penjaga sekolah yang dikenali sebagai Ian Huntley. Menerusi keterangan daripada Ian, Holly dan Jessica telah berjalan melintasi di depan rumahnya sewaktu dia sedang membersihkan anjing peliharaannya. Cerita Ian lagi mengenai waktu kejadian, dua budak perempuan itu sempat bertanyakan kepadanya mengenai tunangnya iaitu Maxine Carr. Ian membalas dengan memberitahu bahawa Maxine sedang mandi. Selesai sesi perbualan tersebut, Holly dan Jessica pun terus beredar pergi. Mengenai Maxine, dia bekerja sebagai seorang pembantu guru di tempat Holly dan Jessica bersekolah. Begitu juga dengan Ian yang bekerja di sekolah sama. Sedikit latar belakang Ian, dia mempunyai rekod buruk di mana lelaki itu pernah didakwa atas beberapa kesalahan merogol. Cuma tidak dapat dipastikan punca pertuduhan berkenaan digugurkan.
Ian Huntley dan Maxine Carr |
Biarpun pada mulanya pihak polis mengesyaki Holly dan
Jessica telah menjadi mangsa penculikan, mereka ternyata mencurigai Ian dan
Maxine. Perkara ini adalah rentetan daripada tingkah laku pasangan terbabit
yang dilihat begitu mencurigakan semasa mereka ditemu bual oleh pihak media.
Ini termasuklah tutur bicara mereka yang seolah-olah menggambarkan bahawa Holly
dan Jessica berkemungkinan besar tidak akan dapat ditemui lagi. Pihak polis
bagaimanapun lebih memberi tumpuan kepada Ian yang telah menunjukkan sikap
ingin tahu berlebihan dari masa ke semasa berhubung operasi pencarian Holly dan
Jessica.
Hinggalah pada tarikh 17 Ogos 2002, mayat Holly dan Jessica yang sudah pun mereput teruk telah ditemui di dalam kawasan parit Lakenheath berjarak kira-kira 10 kilometer dari Soham. Penemuan tersebut dibuat tidak lama selepas pakaian jersi, kasut dan seluar dalam milik Holly dan Jessica yang sudah dibakar ditemui di dalam tong sampah kawasan sekolah mereka. Berdasarkan laporan forensik, punca kematian Holly dan Jessica adalah akibat cekikan. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada dua sekawan malang itu telah mengalami serangan secara seksual. Susulan penemuan mayat Holly dan Jessica, maka Ian pun ditangkap memandangkan hanya dialah satu-satunya individu yang paling diragui.
Pihak pendakwaan mempercayai bahawa Ian telah mengumpan
Holly dan Jessica memasuki rumahnya. Mengikut fakta siasatan pihak polis, data
isyarat telefon bimbit Jessica menunjukkan Jessica telah berada di rumah Ian
pada pukul 6.34 petang sebelum dimatikan pada 12 minit berikutnya. Disebabkan
itu, Ian akhirnya membuat pengakuan mengenai keberadaan Holly dan Jessica di
rumahnya pada hari kejadian. Cerita Ian, Holly mati secara tidak sengaja akibat
terjatuh di dalam bilik air. Ian yang dilanda panik seterusnya terpaksa menekup
mulut Jessica yang tidak berhenti menjerit selepas melihat insiden tersebut.
Pihak pendakwaan sebaliknya meyakini bahawa Ian telah membunuh Holly dan Jessica
dengan sengaja bagi melepaskan kemarahannya selepas bertengkar dengan Maxine
dalam panggilan telefon. Lagipun memang terdapat cubaan untuk membakar mayat Holly
dan Jessica dengan tujuan menghapuskan bukti.
Pihak mahkamah hanya perlu mengambil masa setahun lebih untuk memberikan keputusan perbicaraan kes. Pada 17 Disember 2003, Ian yang didapati bersalah telah dijatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup. Maxine yang bersubahat dengan memberikan alibi palsu pula dipenjarakan selama tiga tahun setengah. Dia yang kini sudah dibebaskan telah diberikan identiti baru. Laporan daripada beberapa media pada tahun 2018, Ian yang berusia 44 tahun ada meluahkan rasa kekesalannya terhadap pembunuhan Holly dan Jessica.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HOLLY WELLS DAN JESSICA CHAPMAN"