Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARWA EL-SHERBINI

Marwa bersama suami dan anaknya

    Pada tarikh 21 Ogos 2008, seorang wanita muda muslim dari Mesir bernama Marwa El-Sherbini telah membawa anaknya yang berusia dua tahun iaitu Mustafa untuk bermain di sebuah taman permainan kanak-kanak yang terletak di Dresden, Jerman. Turut berada di taman permainan itu adalah seorang pemuda berdarah Rusia, Alex Wiens yang menemani anak buahnya bermain di kawasan buaian. Diringkaskan cerita, Marwa telah meminta keizinan daripada Alex untuk meletakkan Mustafa di buaian. Namun apa yang berlaku kemudian Marwa telah dimaki oleh Alex yang berfahaman pro Nazi hanya kerana dia seorang muslimah. Alex menghina Marwa yang berhijab waktu tersebut dengan gelaran pela*cur di samping melabel agama Islam sebagai peng**nas. Marwa yang enggan untuk mendiamkan diri telah bertikam lidah dengan Alex. Pertengkaran itu cuba dileraikan oleh beberapa orang awam lain yang ada berada di situ akan tetapi Alex tetap melemparkan kata-kata kesat kepada Marwa secara berterusan. Disebabkan berasa tidak puas hati, Marwa yang bukan calang-calang wanita telah bertindak untuk menyaman Alex melalui proses mahkamah.

    Mengenai latarbelakang Marwa, dia yang dilahirkan pada tahun 1977 di Mesir merupakan lulusan ijazah daripada Universiti Alexandria dalam bidang farmasi. Suami Marwa yang dikenali sebagai Elwy Ali Okaz pula bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti. Pasangan tersebut telah mula menetap di negara Jerman pada tahun 2008. Selain itu, Marwa yang digambarkan sebagai seorang yang sangat pintar dan petah berpidato juga adalah pemain kebangsaan bola baling Mesir dari tahun 1992 hingga 1999. Tentang Alex, dia lahir pada tahun 1980 di Perm, Rusia sebelum berhijrah ke negara Jerman pada tahun 2003 yakni sewaktunya berusia 23 tahun. Seperkara harus diketahui, Alex yang mendapat taraf kerakyatan Jerman dilaporkan ada mengalami penyakit gangguan mental psikosis.

    Berbalik dengan cerita saman Marwa, Alex yang didapati bersalah oleh pihak mahkamah akhirnya dikenakan denda sebanyak 780 mata wang Euro pada bulan November 2008. Sepanjang tempoh proses perbicaraan berkenaan, Alex yang rasis tidak berhenti daripada mencaci Marwa. Lagi menyakitkan hati Marwa, Alex membuat rayuan agar kes dibicarakan semula kerana dia benar-benar berasa tidak puas dengan hukuman yang diterimanya.

    Maka pada 1 Julai 2009, Marwa dan Alex sekali lagi bersua di mahkamah. Dilaporkan ada seramai sembilan orang dalam bilik perbicaraan pada waktu tersebut termasuklah Elwy dan Mustafa. Sewaktu proses perbicaraan hampir selesai, Alex tiba-tiba telah menyerang Marwa yang sedang hamil tiga bulan dengan menggunakan sebilah pisau berukuran 18 sentimeter. Dalam sekelip mata, Marwa mati akibat ditikam oleh Alex dengan 18 kali tikaman pada tubuh badannya. Sewaktu kejadian berlaku, cuma Elwy saja bermatian-matian cuba untuk menyelamatkan isterinya manakala mereka yang lain pula hanya mampu untuk berdiri tergamam. Dalam insiden serangan dahsyat itu, Elwy menerima 16 kesan tikaman. Paling tidak diduga apabila seorang anggota polis yang dipanggil ke lokasi kejadian telah menembak Elwy kerana dia menyangka suami Marwa tersebut adalah pesalah sebenar. Elwy yang tidak sedarkan diri seterusnya dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan lanjut. Begitu juga dengan Mustafa yang turut tercedera dalam serangan itu.

Alex Weins

    Alex yang berjaya ditangkap telah menerima pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh. Soal bagaimana dia boleh membawa pisau masuk ke dalam bilik perbicaraan, perkara ini adalah berikutan ketiadaan pemeriksaan keselamatan sebelum proses bicara bermula. Kesudahan cerita, Alex tetap didapati bersalah atas semua pertuduhannya telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup biarpun dia menggunakan alasan penyakit mental yang dialaminya untuk menyelamatkan diri. Keputusan perbicaraan ini diputuskan pada bulan November 2009. Berhubung siasatan terhadap anggota polis yang telah menembak Elwy, tiada sebarang tindakan yang dikenakan kepadanya dengan kesimpulan dibuat adalah tembakan tersebut adalah perbuatan secara tidak sengaja.

    Apa yang pasti, berita kematian Marwa ternyata mencetuskan kemarahan rakyat Mesir dan umat Islam di seluruh dunia pada ketika itu. Marwa hanyalah seorang muslimah sejati yang cuba mempertahankan maruah diri dan agama. Al-Fatihah untuk Marwa. Moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARWA EL-SHERBINI "