KISAH OTTO WARMBIER : Benar Diseksa atau Sebaliknya?
Siapa saja yang tidak tahu negara Korea Utara? Sebuah negara
berfahaman komunis yang bukan yang saja penuh dengan rahsia malah cukup terasing
dari negara moden lain. Negara Korea Utara terkenal dengan peraturan-peraturan
pelik yang mesti rakyat mereka patuhi. Kehidupan di Korea Utara sangatlah
tertutup hingga sukar untuk pihak luar membuat sebarang pendedahan mengenai negara
itu. Pantang larang Korea Utara jika ada maklumat negara mereka yang bocor.
Bak kata pepatah, “di
mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Peribahasa ini sudah cukup untuk
memberi pengertian supaya sentiasa mematuhi adat dan peraturan di tempat yang
kita berada. Pada hujung bulan Disember 2015, seorang lelaki warga Amerika
Syarikat berusia 21 tahun yang bernama Otto Warmbier telah pergi melancong ke
negara Korea Utara melalui sebuah agensi pelancongan Young Pioneer Tours.
Seperkara harus diketahui yakni sebelum pelancongan tersebut bermula, Otto
sudah dalam perancangan untuk melanjutkan pelajarannya di Hong Kong.
Hotel Yanggakdo |
Sampai di Korea Utara, Otto bersama beberapa orang lagi pelancong lain telah menginap di hotel Yanggakdo International. Pada mulanya, percutian Otto itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Namun pada tarikh 2 Januari 2016 bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang, Otto yang sedang menunggu penerbangan pulang pada waktu tersebut tiba-tiba telah didekati oleh dua orang pegawai Korea Utara. Pegawai berkenaan dikatakan menepuk bahu Otto sebelum membawanya pergi tanpa sepatah kata. Menurut kenyataan saksi daripada rombongan Otto yang melihat insiden tersebut, Otto kelihatan tenang sewaktu dia dibawa pergi.
Apa yang berlaku, Otto rupa-rupanya telah ditangkap secara
rasmi oleh pihak Korea Utara. Punca penangkapan adalah kerana Otto mencuri
sebuah poster propaganda yang mengandungi tulisan “Marilah kita bersepadu demi patriotisme Kim-Jong iL.” di hotel
Yanggakdo. Otto sebenarnya mengambil
poster itu adalah sebagai cendera hati. Cumanya di Korea Utara, perbuatan merosakkan
dan mencuri barangan yang mengandungi nama atau imej pemimpin negara tersebut
merupakan satu kesalahan jenayah besar. Dalam erti kata lain, perbuatan Otto
adalah satu perkara yang pihak Korea Utara tidak boleh maafkan sama sekali.
Sepanjang tempoh penahanan Otto, tiada sesiapa pun tahu apa yang telah berlaku kepadanya. Sukar untuk diketahui samada dia diseksa atau sebaliknya. Bahkan Korea Utara juga enggan untuk membuat sebarang rundingan dengan mana-mana pihak. Hinggalah pada 26 Februari 2016, pihak pemerintah Korea Utara telah mengeluarkan satu video pengakuan daripada Otto. Dalam video itu, Otto yang dilihat tertekan membaca pengakuannya dengan penuh sesalan dan tangisan tepat di bawah foto Kim Il-sung dan Kim-Jong iL. Sebulan berikutnya, Otto telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah Korea Utara untuk menjadi buruh paksa selama 15 tahun dalam penjara. Menerusi buku berjudul “Not Forgotten: The True Story of My Imprisonment in North Korea” karya Kenneth Bae, dia ada menceritakan pengalamannya semasa menjadi banduan buruh paksa di Korea Utara. Cerita Kenneth, dia telah dikerah untuk melakukan kerja berat seperti mengangkat batu-bata pada setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang tanpa berhenti.
Pada 13 Jun 2017 iaitu selepas 17 bulan dipenjarakan, Otto
akhirnya dihantar pulang semula ke negara Amerika Syarikat. Otto bagaimanapun sudah
berada dalam keadaan koma. Penghantaran pulang Otto dilakukan dengan alasan
dasar kemanusiaan setelah Amerika Syarikat membayar wang berjumlah $2 juta
seperti yang dituntut pihak pemerintah Korea Utara. Bayaran tersebut adalah
sebagai kos rawatan Otto sewaktu terlantar koma di Korea Utara. Menurut pasukan
perubatan Korea Utara, Otto telah mengalami koma yang berpunca daripada
keracunan makanan dan menelan ubat tidur secara berlebihan hingga menjejaskan
fungsi otaknya.
Enam hari setelah kepulangan Otto, dia telah menghembuskan nafas terakhirnya. Laporan forensik pasukan perubatan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa mereka langsung tidak menemui bukti punca kematian Otto seperti yang didakwa pasukan perubatan Korea Utara. Susulan kematian Otto, ramai pihak mempercayai bahawa Otto telah menjadi mangsa seksaan dahsyat kejam. Hingga kini, pihak pemerintah Korea Utara masih lagi menafikan tentang perkara itu. Terdapat juga laporan daripada pihak Amerika Syarikat sendiri melaporkan badan Otto memang tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyeksaan seperti yang telah digembar-gemburkan.
Catat Ulasan for "KISAH OTTO WARMBIER : Benar Diseksa atau Sebaliknya? "