KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SURJIT ATHWAL : Suami dan Ibu Mentua Dari Neraka
Surjit Athwal merupakan seorang wanita berketurunan India
yang dilahirkan di Coventry, England pada 17 Julai 1971. Pada tahun 1988 yakni
ketika Surjit berusia 16 tahun, dia telah dipaksa untuk berkahwin dengan seorang
lelaki Punjabi yang bernama Sukhdave Akhwal Singh. Usia Sukhdave adalah 10 tahun
lebih tua daripada Surjit. Hasil perkahwinan pasangan itu, mereka berdua telah
mendapat dua orang cahaya mata.
Bachan dan Sukhdave |
Sejak dari awal perkahwinannya, Surjit ternyata bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang diamalkan oleh keluarga Sukhdave. Terlalu banyak peraturan yang Surjit rasakan agak rumit. Bagi mengelakkan berlakunya sebarang konflik keluarga, Surjit cuba membincangkan tentang perkara ini dengan Sukhdave. Walau bagaimanapun, perbincangan itu tidak berakhir sebagaimana yang Surjit harapkan. Malah ibu mentuanya iaitu Bachan Kaur Athwal yang juga merupakan ketua keluarga telah menganggap luahan Surjit tersebut sebagai satu penghinaan kepada keluarga mereka. Akibatnya, Surjit pun mula didera secara mental dan fizikal oleh Bachan dan juga Sukhdave sendiri. Tidak tahan diperlakukan sedemikian, maka Surjit yang sebelumnya seorang suri rumah sepenuh masa telah mengorak langkah awal untuk mencari pekerjaan.
Usaha Surjit tidak sia-sia apabila dia telah diterima untuk
bekerja sebagai seorang ejen percukaian dengan tempat kerjanya berlokasi di
Lapangan Terbang Heathrow. Hanya selepas Surjit bekerja, barulah dirinya
mengenal erti kebebasan sebenar. Dia bukan saja mendapat ramai kawan, bahkan
juga sudah pandai bersolek. Selain itu, Surjit yang berasa dirinya tidak pernah
dicintai Sukhdave telah berkenalan dengan seorang lelaki lain hingga dia
menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan. Sampai satu masa, Surjit tekad
untuk bercerai. Satu demi satu perubahan Surjit ini kemudian disedari oleh
Sukhdave. Rentetan daripada perkara tersebut, Sukhdave pun mula mengintip
pergerakan Surjit.
Surjit dan Bachan |
Apabila Sukhdave mendapat tahu mengenai kecurangan Surjit, dia yang enggan untuk berdiam diri telah memberitahu perkara itu kepada Bachan. Jadi pada awal bulan Disember 1998, Bachan memanggil semua anggota keluarganya kecuali Surjit bagi membincangkan perihal Surjit. Dalam perbincangan itu, Bachan dan Sukhdave bersepakat untuk membunuh Surjit di India. Dua orang anak beranak tersebut terlebih dahulu akan mengajak Surjit untuk pergi ke negara India dengan alasan untuk menghadiri dua majlis perkahwinan saudara mereka. Pembunuhan itu akan dilakukan oleh Darshan Singhh, adik lelaki Bachan yang memang menetap di India. Salah seorang individu yang berada dalam perbincangan tersebut adalah biras Surjit yang dikenali sebagai Sarbjit. Wanita itu sebenarnya sudah lama bersimpati dengan nasib Surjit. Namun tiada apa yang Sarbjit boleh lakukan kerana berasa bimbang dirinya pula akan menjadi mangsa jika mencampuri urusan keluarga mentuanya.
Pada 4 Disember 1998, Surjit pun berlepas ke India bersama dengan Sukhdave dan Bachan. Waktu sebelumnya, Surjit diberitahu oleh suami dan mentuanya bahawa dia dibenarkan untuk meninggalkan mereka sekiranya dia hadir pada dua majlis perkahwinan tersebut. Dalam erti kata lain, Surjit boleh bercerai. Sewaktu hari penerbangan itu, Sarbjit dalam diam-diam melaporkan kepada pihak polis berhubung rasa kekhuatirannya dengan keselamatan Surjit. Pihak polis bagaimanapun tidak mengambil serius terhadap laporan yang dibuat Sarbjit. Apa yang dirisaukan Sarbjit kemudian benar-benar berlaku. Beberapa hari selepas berada di India, Sukhdave dan Bachan pun kembali ke England tanpa Surjit. Bachan telah menceritakan kepada Sarbjit tentang bagaimana Surjit telah diberikan ubat bius lalu dicekik sampai mati dan seterusnya dibuang ke dalam sungai. Sebaik mendengar pengakuan Bachan tersebut, Sarbjit sekali lagi membuat laporan polis tanpa pengetahuan keluarga mentuanya.
Sarbjit dan Surjit |
Susulan laporan kedua yang dibuat Sarbjit, pihak polis telah melakukan penangkapan terhadap Sukhdave dan Bachan pada tahun 2002. Kedua-dua mereka bagaimanapun dibebaskan semula berikutan kekurangan bukti. Tahun 2004, Sarbjit yang beberapa kali cuba melarikan diri daripada keluarga mentuanya telah berjaya mendapatkan rawatan di hospital. Sesudah keluar dari hospital, Sarbjit terus membuat laporan polis dengan butiran maklumat yang lebih lengkap. Bertindak atas laporan Sarbjit itu, pihak polis pun membuka semula fail siasatan. Cuma tanpa mayat Surjit, bukan mudah untuk pihak polis melakukan penyiasatan apatah lagi menangkap serta mendakwa pelaku. Hanya pada tahun 2006, barulah Sukhdave dan Bachan dapat untuk didakwa. Hasil perbicaraan kes, mereka berdua telah didapati bersalah atas kesalahan melakukan konspirasi pembunuhan dengan Sukhdave dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun manakala Bachan pula dipenjarakan untuk tempoh 15 tahun.
Seperkara harus diketahui, Sarbjit menjadi wanita pertama dalam sejarah pembunuhan demi kehormatan di British yang telah tampil di mahkamah sebagai saksi untuk menentang keluarganya sendiri. Satu lagi perkara yang paling menyedihkan dalam kes Surjit ini, mayatnya masih lagi tidak dapat ditemui hingga pada hari ini.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SURJIT ATHWAL : Suami dan Ibu Mentua Dari Neraka"