KISAH PEMBUNUHAN KEJAM WINA MARDIANI
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di Bengkulu, Indonesia pada tahun 2019. Pada tahun itu, Wina Mardiani merupakan seorang gadis cantik berusia 20 tahun yang belajar di Universiti Bengkulu dalam jurusan ekonomi. Dia yang juga merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik digambarkan seorang gadis berperwatakan baik, peramah dan pintar. Perwatakan Wina yang mudah mesra itu menjadi sebab dirinya begitu disenangi oleh ramai orang.
Diringkaskan cerita, Wina menginap di sebuah asrama yang dijaga
oleh seorang lelaki berserta isterinya. Lelaki tersebut dikenali sebagai Pardi.
Apa yang diketahui, Pardi mempunyai satu tabiat di mana dia suka meminjam
motosikal para penghuni asrama berkenaan. Salah sebuah motosikal yang selalu
dipinjam oleh Pardi itu tidak lain tidak bukan motosikal milik Wina. Hinggalah
satu hari yakni pada tarikh 3 Disember 2019, Wina tiba-tiba dilaporkan hilang
oleh pihak keluarganya. Laporan kehilangan tersebut dibuat berikutan Wina yang langsung
tidak dapat untuk dihubungi sama sekali. Sehari sebelum Wina hilang, dia ada
berhubung dengan bapanya untuk memberitahu tentang motosikalnya yang telah
mengalami kerosakan.
Pardi |
Berita menghilangnya Wina kemudian menjadi tular di laman media sosial Indonesia. Manakan tidak, Wina yang bukannya gadis bermasalah itu telah hilang tanpa sebarang jejak. Namun apa yang menyedihkan iaitu kira-kira tiga hari selepas kehilangan Wina, mayat gadis tersebut berjaya jua ditemui oleh pasukan pencarian di dalam sebuah kubur yang terletak di belakang kawasan asramanya. Mayat Wina ditemui dalam keadaan kepalanya ditutup dengan karung guni manakala kedua-dua kalinya terikat. Hasil laporan forensik, Wina telah dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh dengan cara cekikan leher.
Sewaktu penemuan mayat Wina, Pardi selaku orang yang paling diragui telah pun menghilangkan diri. Isterinya pula dikatakan sudah pulang ke kampung. Rentetan daripada perkara itu, pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan penangkapan terhadap isteri Pardi. Berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh isteri Pardi, dia memberitahu kepada pihak polis bahawa suaminya yang telah membunuh Wina. Cerita isteri Pardi lagi berhubung waktu sebelum kejadian pembunuhan, Pardi terlanggar motosikal Wina yang diparkir di depan asrama. Akibat pelanggaran tersebut, motosikal telah mengalami kerosakan. Jadi Wina pun meminta Pardi untuk membayar sejumlah wang ganti rugi bagi membaiki bahagian motosikalnya yang sudah rosak itu. Pardi yang berasa tidak berpuas hati dengan tuntutan Wina mula berasa sakit hati dan terus menyimpan dendam.
Susulan keterangan daripada isterinya, maka Pardi pun
menjadi buruan pihak polis. Pada masa sama, pihak polis berjaya menemui semula
motosikal Wina yang telah dijual oleh Pardi. Menerusi risikan yang pihak polis
lakukan, Pardi pada mulanya dikesan bersembunyi di dalam sebuah hutan. Menyedari
lokasi dirinya sudah diketahui oleh pihak polis, Pardi menyedari bahawa tiada
apa-apa lagi yang boleh dia lakukan. Pada 19 Disember 2019, Pardi cuba untuk membunuh
diri menggunakan cara gantung dan menikam perutnya sendiri. Cubaan Pardi
tersebut bagaimanapun sempat digagalkan oleh keluarganya. Pardi yang cedera
parah segera dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Keluarga Pardi yang
enggan untuk bersubahat telah melaporkan mengenai hal ini kepada pihak polis. Dua
hari berikutnya, Pardi yang dalam keadaan kritikal telah meninggal dunia.
Kematian Pardi sekaligus menyebabkan kes pembunuhan Wina pun ditutup sepenuhnya. Menyedihkan, ibu Wina telah menghembuskan nafas terakhirnya pada penghujung bulan Disember 2019 akibat sakit yang dia alami.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM WINA MARDIANI "