Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZAINAB ANSARI


    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di negara Pakistan pada tahun 2018. Pada tarikh 4 Januari tahun itu yakni bertempat di Kasur, Punjab, seorang budak perempuan berusia tujuh tahun yang bernama Zainab atau nama sebenar Zainab Amin Ansari telah dilaporkan hilang ibu bapa saudaranya. Zainab dipercayai hilang sewaktu dia sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kelas mengaji Al-Quran yang terletak berdekatan dengan rumahnya. Seperkara harus diketahui, ibu bapa Zainab pada waktu tersebut berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah. Disebabkan itu, Zainab telah tinggal di rumah ibu bapa saudaranya buat sementara waktu.

    Selepas menerima laporan kehilangan Zainab, pihak polis yang berkaitan ternyata tidak memandang serius tentang perkara tersebut. Dalam erti kata lain, mereka langsung tidak bersungguh-sungguh untuk menangani kes itu. Usaha pencarian yang pihak polis terbabit lakukan boleh dikatakan sebagai cukup syarat sahaja. Perkara ini telah memaksa keluarga ibu bapa saudara Zainab mencuba sedaya upaya mungkin untuk mencari Zainab dari pagi sampai malam termasuklah dengan meminta bantuan daripada orang ramai. Hingga pada akhirnya, keluarga terdekat Zainab berjaya memperolehi bukti rakaman kamera litar tertutup pada hari kejadian yang menunjukkan Zainab telah berjalan dengan seorang lelaki berjambang berpakaian serba putih. Susulan bukti rakaman tersebut, barulah pihak polis mula membuka mata sekaligus membawa kepada operasi pengenalpastian dan pemburuan suspek.

    Pada 9 Januari 2018 iaitu bersamaan dengan hari kelima kehilangan Zainab, mayatnya telah ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah kawasan tapak pelupusan sampah. Berdasarkan laporan forensik, Zainab dipercayai dirogol dan diseksa terlebih dahulu sebelum dia dibunuh denga cara cekikan leher. Terdapat kesan luka serta parut pada tubuh badannya akibat dicucuh dengan api. Rentetan daripada penemuan mayat Zainab, pihak polis telah dikritik oleh orang ramai gara-gara ketidakcekapan mereka dalam kes ini. Jika tindakan dibuat daripada awal lagi, sudah pasti penculik Zainab berjaya ditangkap. Dalam satu peristiwa protes terhadap pihak polis berkenaan, dua orang perusuh telah ditembak mati selepas mereka berdua cuba untuk memasuki balai polis.

    Menerusi satu sidang media yang diadakan pada 23 Januari 2018, pihak polis akhirnya mengesahkan penangkapan seorang lelaki yang diyakini sebagai suspek pembunuhan Zainab. Suspek yang berusia 28 tahun itu dikenalpasti sebagai Imran Ali, seorang pekerja mekanik. Hasil siasatan juga mendapati Imran juga merupakan suspek utama pembunuhan enam orang budak perempuan lain di mana DNA miliknya sepadan dengan mayat mereka semua yang ditemui dalam radius dua kilometer tempat penemuan mayat Zainab. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Imran yang didapati bersalah atas dakwaan merogol dan merogol Zainab berserta 12 orang lagi mangsa lain menerima hukuman gantung sampai mati. Mengikut rekod, ada beberapa kes yang serupa dengan kes Zainab telah berlaku di Kasur sejak dari Januari 2017.

Imran Ali

    Pada 17 Oktober 2018, Imran pun menjalani hukuman gantung matinya itu. Dua tahun kemudian, parlimen Pakistan telah meluluskan satu undang-undang baru yang dinamakan sebagai Zainab Alert Bill. Undang-undang sempena nama Zainab Ansari ini adalah bertujuan untuk memastikan respon yang lebih cepat daripada pihak berwajib apabila menerima laporan kehilangan kanak-kanak. Pengumuman undang-undang Zainab Alert telah disambut dengan baik oleh para aktivis hak asasi manusia di Pakistan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZAINAB ANSARI"