Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SI QUEY : Pembunuh Bersiri Kanibal dari Thailand

    Pernah mendengar nama Si Quey iaitu seorang pembunuh bersiri kanibal dari Thailand? Dia yang dipercayai sebagai pembunuh bersiri pertama dalam sejarah moden negara Thailand dikatakan telah membunuh seramai tujuh orang kanak-kanak pada sekitar tahun 1950an. Lebih dahsyat yakni selepas Si Quey menjalani hukuman mati, mayatnya diawet lalu diletakkan di muzim selama berdekad.

    Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang hidup Si Quey. Namun berdasarkan rekod sedia ada, dia yang dilahirkan pada tahun 1927 berasal dari China. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Si Quey yang juga merupakan bekas anggota tentera anggota negara China telah berhijrah ke rantau asia tenggara dengan memilih Thailand sebagai destinasi penghijrahannya. Sepanjang tempoh dari tahun 1954 hingga 1958,  Si Quey yang bekerja sebagai tukang kebun diyakini melakukan tujuh kes pembunuhan kanak-kanak di sekitar kawasan Prachuap Khiri Khan, Nakhon Pathom, Rayong dan Bangkok. Lagi menyeramkan, organ dalaman kanak-kanak tersebut telah dikeluarkan untuk dimakan oleh Si Quey. Sudah menjadi tabiat Si Quey untuk memakan organ kerana dia pernah berbuat sedemikian semasa peperangan China melawan Jepun.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Si Quey apabila dia akhirnya ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand pada tahun 1958. Penangkapan itu dibuat semasa dia cuba untuk membakar mayat seorang mangsa pembunuhannya. Hasil sesi soal siasat, Si Quey telah membuat pengakuan mengenai pembunuhan yang dilakukannya. Sesudah didapati bersalah di mahkamah, Si Quey pun dijatuhkan hukuman mati dengan cara tembakan. Hukuman mati tersebut telah dilaksanakan pada tarikh 16 September 1959 bertempat di penjara Bang Kwang di mana Si Quey ditembak oleh skuad penembak. Mayat Si Quey seterusnya diawet sebelum dipamerkan di muzium perubatan Siriraj yang terletak di Bangkok bagi tujuan penyelidikan perubatan serta pada masa sama dijadikan sebagai amaran kepada penjenayah lain. Selain itu, cerita Si Quey juga menjadi pilihan ibu bapa di Thailand untuk menakut-nakutkan anak mereka yang nakal.

    Sebenarnya ramai pihak yang mempercayai bahawa Si Quey bukanlah pembunuh bersiri seperti yang digembar-gemburkan. Dalam erti kata lain, dia telah menjadi mangsa kambing hitam oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dalam membangkitkan sentimen kebencian terhadap orang China. Perkara lain yang mendukung perkara ini adalah menerusi beberapa dokumentari Si Quey yang menunjukkan perbezaan bukti selain salah seorang mangsa pembunuhannya masih memiliki organ biarpun pengakuan daripada Si Quey adalah sebaliknya. Si Quey juga didakwa memiliki perwatakan yang baik dan disenangi ramai orang biarpun dia tidak fasih berbahasa Thailand. Malah ada seorang budak perempuan yang terselamat daripada serangan pembunuh bersiri tersebut memberitahu bahawa Si Quey bukan individu yang telah menyerangnya.

    Setelah 60 tahun menjadi tatapan orang ramai di muzium, barulah mayat Si Quey dikebumikan mengikut cara yang sepatutnya. Pengebumian itu dilakukan susulan petisyen dasar kemanusiaan dalam talian yang telah dilancarkan oleh sekumpulan aktivis hak asasi manusia kerana bersimpati dengan nasib Si Quey.

Catat Ulasan for "KISAH SI QUEY : Pembunuh Bersiri Kanibal dari Thailand "