KISAH THE TINDER SWINDLER : Kisah Simon Leviev
“Love Scam” tidak mengenal sesiapa. Sama ada sedar atau tidak, hampir setiap hari media massa ada melaporkan berita mengenai perkara ini. Cuma apa yang menghairankan, masih ramai lagi yang terpedaya. Paling tidak masuk akal, adakalanya mangsa Love Scam ini adalah terdiri daripada mereka yang bekerjaya hebat. Dalam erti kata lain, golongan yang berpendidikan tinggi. Modus operandi kebanyakan Love Scam adalah sama. Pelaku akan menggunakan gambar profil yang cantik atau tampan lalu memikat mangsa dengan menabur ayat manis serta pada masa sama menggambarkan diri mereka sebagai orang kaya.
Baiklah, Netflix baru saja menayangkan sebuah dokumentari jenayah berjudul The Tinder Swindler pada 2 Februari lepas. Dokumentari ini diangkat daripada sebuah kisah benar tentang penipuan yang dilaku oleh seorang lelaki berdarah Israel yang bernama Shimon Yehuda Hayut. Lelaki ini melakukan penipuan menerusi laman aplikasi Tinder untuk mengeksploitasi kaum wanita secara emosi demi mendapatkan wang. Caranya menipu, dia menukar namanya kepada Simon Leviev, kononnya anak kepada jutawan berlian Israel yang dikenali sebagai Lev Leviev. Tidak diketahui mengenai jumlah sebenar wanita yang menjadi mangsa penipuan Simon. Namun apa yang dapat dipastikan, Simon telah meraih wang dianggarkan berjumlah sebanyak RM40 juta hasil penipuannya. Angka tersebut termasuklah wang milik tiga orang wanita iaitu Cecilie Fjellhøy, Pernilla Sjöholm dan Ayleen Charlotte. Ketiga-tiga wanita ini membuat penampilan dalam tayangan The Tinder Swindler bagi menceritakan pengalaman bagaimana mereka ditipu oleh Simon hingga menyebabkan masing-masing hidup dalam keadaan hutang hingga kini.
Antara mangsa Simon |
Simon dilaporkan telah melarikan diri dari Israel sejak dari tahun 2011. Simon diyakini melakukan tindakan sedemikian bagi mengelakkan dakwaan penipuan yang dia lakukan. Pada tahun 2015 yakni bertempat di negara Finland, Simon telah ditangkap dan seterusnya dipenjarakan selama tiga tahun di negara berkenaan atas kesalahan menipu tiga orang wanita. Selepas dibebaskan pada tahun 2017, Simon kembali semula ke Israel. Belum sempat ditangkap, dia bagaimanapun sekali lagi berjaya melarikan diri. Tahun 2019, Simon yang merupakan individu paling dikehendaki oleh England, Jerman, Denmark dan Norway telah dikesan berada di negara Greece lalu dihantar pulang semula ke Israel. Dia seterusnya dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan atas kesalahan jenayahnya sebelum ini. Simon bagaimanapun dibebaskan pada masa lima bulan kerana didapati berkelakuan baik.
Menerusi tayangan The Tinder Swindler, modus operandi Simon adalah mencari mangsa melalui laman aplikasi Tinder. Setelah dapat berkenalan dengan mangsa, Simon yang memperkenalkan diri sebagai anak orang kaya meluahkan hasrat ikhlasnya untuk menjalinkan hubungan jarak jauh. Bagi mendapatkan kepercayaan, Simon kebiasaannya akan menemui mangsa dengan menaiki jet atau kereta mewah dengan tempat pertemuan adalah di hotel bertaraf lima bintang. Sesudah pertemuan tersebut, Simon akan memulakan penipuan sebenar terhadap mangsa yang sudah benar-benar angau dengan personalitinya. Caranya, Simon meraih simpati dengan mengatakan dirinya hidup dalam bahaya dek gara-gara musuh perniagaannya. Perkara ini bermaksud Simon meminjam wang daripada mangsa untuk melakukan beberapa urusan penting dengan dia berjanji untuk membuat bayaran balik pinjaman itu. Disebabkan rasa cinta, ada antara mangsa sanggup menggadaikan harta termasuklah menyerahkan kad kredit dan meminjam wang demi Simon. Di sisi Simon, dia pergi berjoli sebaik menerima wang daripada mangsa. Lama kelamaan Simon menghilangkan diri. Mangsa pula hidup merana dengan hidup dikelilingi hutang.
Simon yang kini telah pun berusia 31 tahun dipercayai sedang berada di Israel. Terdapat desas-desus yang mengatakan dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang model. Susulan dokumentari The Tinder Swindler yang kini menjadi tular, Simon sudah pun menyahaktifkan laman akaun Instagram miliknya. Berita paling terkini, Simon telah pun digantung daripada menggunakan laman Tinder dan beberapa buah lagi laman aplikasi perkenalan yang lain.
Catat Ulasan for "KISAH THE TINDER SWINDLER : Kisah Simon Leviev"