Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MAUT TERPERANGKAP DALAM PERIGI : Tiga Kisah Seperti Rayan

    Nama Rayan Awram kini menjadi tular di laman media sosial. Dia adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang telah terperangkap di dalam lubang sebuah perigi sempit sedalam 32 meter sejak dari hari Selasa lepas. Hampir seluruh manusia di dunia mendoakan supaya berlaku keajaiban supaya kanak-kanak itu dapat untuk diselamatkan. Semalam, ramai yang menitis air mata kegembiraan selepas mendapat tahu Rayan akhirnya berjaya ditemui dan dikeluarkan dari perigi tersebut oleh pasukan penyelamat. Walau bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila pihak Istana Diraja Maghribi pada pagi ini mengesahkan kematian Rayan. Berita pemergian Rayan ternyata telah ditangisi orang ramai.

    Kejadian tragis seperti yang menimpa Rayan ini bukanlah kali pertama berlaku pada zaman moden ini. Pada tahun 2019 yakni bersamaan dengan 13 Januari bertempat di Sepanyol, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 2 tahun iaitu Julen Rosello telah terjatuh ke dalam sebuah perigi sempit sedalam 100 meter dengan ukuran diameter 25 sentimeter. Kejadian tersebut berlaku sewaktu Julen dalam percutian bersama dengan ibu bapanya yang bernama Jose dan Vicky. Menerusi laporan media, Julen terjatuh ke dalam perigi itu sewaktu Jose sedang sibuk mencari kayu api manakala Vicky pula sedang berborak menggunakan telefon. Kedengaran suara Julen menangis sebelum suara tangisannya itu perlahan-lahan mula menghilang. Operasi menyelamat Julen berdepan dengan pelbagai cabaran seperti halangan tanah kesan daripada kerja-kerja penggerudian yang dikhuatiri akan menimbus kanak-kanak tersebut. Malah pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bahan peledak untuk memecahkan dinding batu yang mempunyai ketebalan setebal empat meter. Hanya pada 26 Januari, pasukan penyelamat telah menemui mayat Julen dalam perigi itu. Berdasarkan laporan forensik, Julen ada mengalami kesan kecederaan trauma pada bahagian kepala yang diyakini akibat terjatuh.

    Pada penghujung tahun yang sama dengan kematian Julen, dunia digemparkan dengan berita dari negara India di mana seorang budak lelaki berusia 2 tahun yang bernama Sujith Wilson telah terjatuh ke dalam sebuah perigi terbiar sewaktu dia sedang bermain dengan rakan-rakannya. Sujith terperangkap di dalam perigi itu selama hampir tiga hari tanpa sebarang minuman serta makanan. Operasi menyelamat Sujith dengan cara penggerudian mengalami kesukaran berikutan sifat batuan keras dalam laluan perigi tersebut. Sujith yang tidak mampu untuk bertahan akhirnya telah meninggal dunia. Lagi menyedihkan, mayatnya ditemui dalam keadaan mereput dan terurai. Cuma seperkara harus diketahui, pada awalnya pasukan penyelamat cuba menarik Sujith yang diyakini terperangkap pada kedalaman 8 meter dengan menggunakan tali. Namun tanpa diduga cara itu telah menyebabkan Sujith terjatuh lebih ke dalam. Dari kedalaman 8 meter menjadi 27 meter. Dalam erti kata lain, pasukan penyelamat ini menggunakan pendekatan “trial and error”. Satu kaedah penyelamatan yang telah dikritik ramai pihak.

    Bulan Disember 2013, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dikenali sebagai Lama Al-Rouqi telah terjatuh di dalam sebuah perigi sempit lalu mengakibatkannya terperangkap pada kedalaman 40 meter. Kejadian dilaporkan berlaku di negara Arab Saudi sewaktu Lama sedang berkelah bersama dengan keluarganya. Operasi menyelamat Lama pada waktu tersebut dilakukan dengan menggunakan teknologi canggih seperti menggunakan kamera termografik bagi mengesan lokasi mangsa. Sama seperti kes Julen dan Sujith, Lama juga tidak dapat untuk diselamatkan. Hasil pemeriksaan forensik mendapati Lama telah meninggal dunia di dalam perigi itu.  

    Walau apapun, kes maut terperangkap di dalam perigi seperti ini memang benar-benar menyedihkan. Apatah lagi bila mengenangkan mangsa adalah kanak-kanak yang masih kecil. Dalam situasi bersendirian dengan keadaan gelap, entah apa saja yang mereka fikirkan.  Al-Fatihah untuk Rayan, syurga untukmu.

Catat Ulasan for "MAUT TERPERANGKAP DALAM PERIGI : Tiga Kisah Seperti Rayan"