Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

CAO THI MY DUYEN : 3 Hari Dalam Neraka


    Pada sekitar bulan Februari 2019 bertempat di Dien Bien, Vietnam, seorang gadis cantik bernama Cao Thi My Duyen telah dilaporkan hilang oleh ibunya. Cao dipercayai hilang sewaktu dia sedang dalam perjalanan melakukan penghantaran lima ekor ayam hidup kepada pelanggannya dengan menaiki motosikal. Kali terakhir Cao dilihat, dia bertopi keledar serta memakai jaket berwarna putih. Seperkara harus diketahui, Cao yakni seorang penuntut universiti dikatakan sering membantu ibu bapanya yang menjalankan perniagaan kedai menjualan ayam hidup. Tugas Cao kebiasaannya menghantar ayam hidup kepada pelanggan mereka yang membuat pesanan melalui telefon.

    Sepanjang tempoh kehilangan Cao, ibunya berasa begitu sedih hingga tidak berhenti meminta bantuan daripada orang ramai melalui laman media sosial Facebook bagi mengesan anak gadisnya itu. Pada hari ketiga Cao hilang, pihak polis tempatan telah mendapat maklumat mengenai penemuan satu mayat di dalam sebuah rumah terbiar yang terletak di kawasan kandang khinzir. Setibanya pihak polis di lokasi berkenaan, mayat yang dalam keadaan separuh bogel tersebut telah ditutup mukanya dengan topi keledar. Identiti mayat gadis itu kemudian dikenalpasti sebagai Cao. Berdasarkan laporan forensik, Cao telah menjadi mangsa rogol sebelum mati dibunuh dengan cara cekikan leher.

    Selepas pihak polis menyiasat secara lebih terperinci, mereka bertindak melakukan penangkapan sembilan orang individu yang dipercayai sebagai suspek pembunuhan. Salah seorang daripada mereka adalah orang yang memesan ayam dari kedai keluarga Cao pada hari kejadian. Kronologi ringkas, Cao diculik lalu dirogol berulang kali secara berkumpulan dan akhirnya dicekik sampai mati. Hasil siasatan susulan yang pihak polis jalankan, terdapat satu plot twist yang memang tidak diduga sama sekali. Rupa-rupanya individu yang menjadi penyebab utama kematian Cao adalah ibunya sendiri! Cao dijadikan sebagai mangsa pembunuhan gara-gara tindakan ibunya yang enggan untuk membayar hutang dalam urusan jual beli dadah kepada kumpulan suspek. Dalam erti kata lain, ibu Cao tahu tentang penculikan Cao akan tetapi dia membiarkan saja anaknya itu mati.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada penghujung tahun 2019, enam daripada sembilan suspek telah dijatuhkan hukuman mati. Baki lagi tiga orang pula menerima hukuman penjara antara tiga hingga sepuluh tahun mengikut jenis pertuduhan. Tentang ibu Cao, dia dipenjarakan selama 20 tahun setelah didapati bersalah terlibat dalam jaringan sindiket dadah di kawasan Vietnam utara. 

1 ulasan for "CAO THI MY DUYEN : 3 Hari Dalam Neraka"