HEIDI YEH : Model yang Teraniayai Gara-gara Cerita Palsu
Masih ingatkah anda yakni pada beberapa tahun lepas tentang
sekeping foto sekeluarga di mana pasangan suami isteri yang tampan dan cantik
bergambar bersama tiga orang lagi anak mereka yang memiliki wajah hodoh. Foto
itu telah menjadi tular di laman media sosial dengan kapsyen yang membawa
konteks bahawa pembedahan plastik tidak akan dapat menyembunyikan wajah
sebenar. Dalam erti kata lain, wajah hodoh ketiga-tiga anak kecil tersebut
adalah diwarisi daripada ibu mereka. Akibat cerita palsu itu, wanita Taiwan
yang berperanan sebagai si ibu dalam gambar tersebut yang juga merupakan
seorang model telah mengalami kehancuran karier.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku? Kisah sebenar bermula pada tahun 2012 apabila Heidi atau nama sebenarnya iaitu Heidi Yeh telah menandatangani kontrak bersama sebuah agensi model serta agensi iklan, J.Walter Thompson (JWT) untuk rakaman foto bagi sebuah klinik kosmetik. Mengikut terma dalam kontrak tersebut, foto itu hanya akan digunakan dalam media bercetak. Foto tersebut adalah foto sekeluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan tiga orang anak mereka. Heidi berperanan sebagai seorang ibu manakala si bapa pula diperagakan oleh seorang model lelaki kacak. Seperkara harus diketahui, wajah ketiga-tiga orang budak dalam foto itu bukanlah sedemikian rupa. Wajah mereka memang disunting menjadi hodoh kerana konsep foto berkenaan adalah untuk menarik minat masyarakat supaya menjalani pembedahan plastik.
Apa yang berlaku kemudian, JWT telah mengizinkan foto
tersebut untuk diguna oleh klinik kosmetik lain untuk dijadikan sebagai kempen
iklan dalam talian. Rentetan daripada perkara itu, foto tersebut telah menjadi tular
di laman internet. Lebih dahsyat, timbul cerita palsu tentang foto itu hingga
mendapat perhatian meluas daripada media seluruh dunia. Heidi kononnya adalah
seorang wanita yang telah disaman oleh suaminya kerana memiliki anak-anak yang
berwajah hodoh. Perkara ini bermaksud suami Heidi tidak mengetahui rahsia Heidi
yang melakukan pembedahan plastik pada bahagian mukanya sebelum mereka bertemu
dan berkahwin.
Berita palsu tersebut ternyata telah banyak mempengaruhi kehidupan peribadi Heidi. Ini termasuklah dikecam, ditinggalkan teman lelaki dan juga kehilangan pendapatan dalam dunia peragaan. Lebih malang untuk Heidi, banyak syarikat agensi model yang telah memulaukannya. Heidi yang enggan untuk terus berdiam diri telah bertindak untuk menyaman JWT. Tidak jelas dengan keputusan sama itu akan tetapi apa yang dapat dipastikan pihak JWT ada membuat kenyataan bahawa mereka memiliki hak cipta foto tersebut termasuk untuk menyunting dan menggunakannya. Soal tersebarnya foto itu adalah di luar kawalan mereka.
Catat Ulasan for "HEIDI YEH : Model yang Teraniayai Gara-gara Cerita Palsu"