KISAH KEMATIAN ELLEN RAE GREENBERG : Dibunuh atau Bunuh Diri?
Pada satu petang bertarikh 26 Januari 2011 bertempat di Philadelphia, seorang lelaki berusia 28 tahun bernama Sam atau nama sebenarnya Samuel Goldberg yang juga merupakan seorang penerbit pulang ke apartment kediamannya. Dia tinggal di apartment yang terletak di tingkat enam tersebut bersama dengan tunangnya iaitu Ellen Rae Greenberg, 27 tahun. Hari itu, Ellen yang bekerja sebagai seorang guru terpaksa pulang awal dari sekolah tempatnya mengajar berikutan keadaan cuaca di Philadelphia pada hari tersebut yang telah dilanda dengan ribut salji.
Sesudah Sam sampai di depan apartment, pintu masuk tidak
dapat untuk dibuka kerana berkunci selak dari dalam. Maka disebabkan itu, Sam
pun menghantar teks mesej kepada Ellen yang dia yakini berada di dalam apartment.
Apa yang berlaku berikutnya, teks tersebut langsung tidak berbalas hingga
menyebabkan Sam menjadi risau. Sam kemudian meminta pengawal keselamatan untuk
membuka pintu masuk apartment kediamannya itu. Walau bagaimanapun, pengawal
keselamatan tersebut enggan untuk berbuat sedemikian memandangkan perkara itu adalah
jelas melanggar polisi yang sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan apartment.
Jadi Sam pun terpaksa bertindak sendiri untuk memecah pintu masuk tersebut dengan
pemantauan pengawal keselamatan itu.
Setelah berjaya masuk ke dalam apartment, alangkah terkejutnya Sam apabila mendapati Ellen yang sedang terbaring di atas lantai dalam keadaan badannya berlumuran dengan darah. Tangan Ellen pula didapati sedang memegang tuala berwarna putih. Melihat keadaan tersebut, Sam yang berasa panik terus menelefon pihak talian kecemasan. Sewaktu panggilan itu, Sam disuruh oleh operator untuk melakukan bantuan pernafasan CPR. Namun usaha bantuan pernafasan tersebut terpaksa diberhentikan segera selepas Sam menyedari ada sebilah pisau yang masih tertusuk pada dada Ellen. Tidak lama selepas ketibaan pasukan kecemasan di lokasi kejadian, Ellen disahkan sudah pun pun meninggal dunia.
Sedikit mengenai latar belakang Ellen, dia yang dilahirkan
pada tahun tahun 1983 adalah anak tunggal kepada pasangan Joshua Greenberg dan Sandra
Greenberg. Ellen dikatakan sebagai seorang wanita yang baik dan begitu
disayangi oleh anak muridnya. Dalam erti kata lain, dia bukan wanita yang
bermasalah. Dia telah menjalinkan hubungan dengan Sam sebagai pasangan kekasih
selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk bertunang. Mengikut rancangan
asal pasangan itu, Sam dan Ellen telah pun merancang untuk melangsungkan majlis
perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos 2011.
Berbalik dengan cerita asal, kematian Ellen pada mulanya diyakini oleh pasukan penyiasat sebagai kes pembunuhan. Berdasarkan laporan forensik mendapati Ellen secara keseluruhannya telah ditikam dengan pisau sebanyak 20 kali di bahagian dada, perut, belakang leher dan kepala. Ellen juga ada mengalami kesan lebam pada lengan serta kakinya. Status kes pembunuhan Ellen tersebut bagaimanapun ditukar kepada kes bunuh diri hasil siasatan lanjut pihak polis di lokasi kejadian yang didapati tidak mempunyai sebarang tanda pencerobohan, tiada kesan cap jari mahupun DNA orang asing. DNA yang ada pada pemegang pisau pada dada Ellen itu adalah miliknya sendiri. Menerusi pemeriksaan yang dilakukan pada komputer riba Ellen, dia ada membuat pencarian maklumat di Google dengan kata carian “painless suicide” dan “quick suicide”. Cuma pada bulan Februari 2021, terdapat pendedahan yang memberitahu unsur kata carian itu dinyatakan tidak benar. Tentang Sam, dia dikeluarkan daripada senarai supek kerana mempunyai alibi kukuh berada di tempat lain sewaktu kejadian berlaku.
Pihak polis yang seterusnya melakukan siasatan secara
terperinci telah mendapat maklumat mengenai tahap kesihatan Ellen dalam tempoh
dua bulan terakhir sebelum kematiannya di mana dia bergelut dengan penyakit kegelisahan
yang melampau dan pada masa sama mengalami tekanan akibat masalah di tempat
kerja. Ellen memang pernah meluahkan hasratnya untuk berhenti daripada menjadi
guru sekolah. Susulan masalah kesihatan yang dia alami, Ellen telah berjumpa
dengan pakar psikiatri dan ada diberikan ubat rawatan mengikut kesesuaian.
Seperkara dapat dipastikan, hubungan antara Ellen dan Sam tidak mempunyai
sebarang masalah.
Biarpun kematian Ellen diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri, ibu bapanya enggan untuk berdiam diri. Bagi Joshua dan Sandra, perkara tersebut adalah tidak masuk akal sama sekali. Ibu bapa Ellen berpendapat ada sesuatu yang disembunyikan berhubung dengan kematian anak mereka itu. Joshua dan Sandra telah mengupah peguam dan pakar forensik mereka yang tersendiri. Ternyata pakar forensik berkenaan sependapat dengan ibu bapa Ellen. Mungkin dalam bahasa mudah yang lebih difahami dengan berfikir secara logik, bagaimana Ellen boleh menikam belakang badannya dengan cara sebegitu rupa? Hingga sekarang, Joshua dan Sandra masih lagi berjuang menuntut keadilan untuk kes ini. Sam? Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak kini menetap di New York.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ELLEN RAE GREENBERG : Dibunuh atau Bunuh Diri? "