Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN TANGMO NIDA : Benar Kemalangan atau Mati Dibunuh?

    Kisah kematian aktres terkenal Thailand iaitu Tangmo Nida atau nama sebenarnya Nida Patcharaveerapong terus menjadi bualan hangat pengguna laman media sosial hingga timbul pelbagai spekulasi yang diragui kesahihannya. Samada benar atau sebaliknya Tangmo mati lemas akibat terjatuh dari bot, hanya Tuhan saja yang tahu. Apa yang pasti, pemergian Tangmo yang begitu tragis ini bukan saja ditangisi oleh rakyat Thailand malah mendapat simpati daripada rakyat dari negara asia tenggara lain.

    Sedikit tentang latar belakang Tangmo, dia yang dilahirkan pada tahun 1984 memulakan kerjaya seni sebagai seorang model, pelakon dan penyanyi sejak dari zaman remajanya lagi. Sepanjang pembabitan Tangmo sebagai anak seni, dia telah banyak membintangi drama televisyen dan filem di Thailand. Salah satu filem terkenal lakonan Tangmo adalah Ghost of Mae Nak yang ditayangkan pada awal tahun 2006. Selain itu, Tangmo juga mempunyai beberapa buah album nyanyian. Berdasarkan semua fakta ini, Tangmo ternyata bukan calang-calang artis. Tahun 2013, Tangmo telah berkahwin dengan aktor kacak bernama Phakin Khamwilaisak. Walau bagaimanapun, perkahwinan pasangan tersebut hanya mampu bertahan selama dua tahun sebelum mereka akhirnya bercerai secara rasmi pada tahun 2015.  

    Baiklah, apa sebenarnya yang berlaku kepada Tangmo? Kisah sebenar bermula pada malam 24 Februari lalu di mana Tangmo telah menaiki sebuah bot laju bersama dengan lima orang lagi individu sempena makan malam. Salah seorang daripada lima individu tersebut merupakan pembantu peribadi Tangmo sendiri yang dikenali sebagai Idsarin “Gatick” Juthasuksawat, dua orang rakan Tangmo, seorang pemandu bot dan seorang lagi adalah pemilik bot berkenaan. Perjalanan bot itu adalah dari Jambatan Krung Thon di Bangkok menuju ke Jambatan Rama VII di Nothaburi. Apa yang berlaku kemudian yakni semasa perjalanan bot tersebut, Tangmo dikatakan telah terjatuh ke dalam sungai. Dalam erti kata lain, Tangmo berkemungkinan besar tergelinciri. Insiden mengejutkan itu berlaku semasa Tangmo yang tidak memakai jaket keselamatan membuang air kecil di hujung belakang bot. Dia terpaksa membuang air kecil di situ berikutan tandas bot yang didakwa telah mengalami kerosakan. Cuma kena ingat, kronologi kejadian ini adalah berdasarkan keterangan daripada mereka yang berada di atas bot pada malam kejadian.

    Pasukan penyelamat dilaporkan tiba di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas dihubungi oleh Gatick. Namun disebabkan keadaan air sungai deras dan cuaca gelap pada waktu tersebut, maka operasi pencarian Tangmo terpaksa ditangguhkan buat seketika sebelum disambung pada keesokan paginya. Hanya selepas kira-kira 38 jam operasi pencarian, barulah mayat Tangmo ditemui terapung sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok yang berjarak 1 kilometer dari lokasinya terjatuh. Lebih menyedihkan, penemuan mayat Tangmo itu dibuat oleh abangnya sendiri, Dayos Detjob.

        Hasil laporan forensik mendapati punca kematian Tangmo adalah disebabkan lemas. Dia juga telah mengalami luka dalam pada kaki kirinya yang dipercayai akibat terkena kipas bot. Namun tiada butiran yang menunjukkan samada Tangmo terjatuh atau ditolak seperti yang digembar-gemburkan. Seperkara lagi perkara yang belum dapat disahkan adalah mengenai kebenaran Tangmo membuang air kecil sebelum dia terjatuh. Sukar untuk ditentukan perkara tersebut kerana mayat Tangmo telah berada di dalam air untuk satu tempoh yang lama.

    Memetik laporan daripada media Thailand, Panida Sirayutthayothin yang juga merupakan ibu kepada Tangmo percaya bahawa anak perempuan kesayangannya itu bukannya mati lemas akan tetapi dibunuh. Tambahan pula, Tangmo adalah wanita yang pandai berenang. Dia meyakini bahawa ada antara individu yang berada di atas bot tersebut telah bertengkar dengan Tangmo sekaligus menyebabkan berlakunya insiden pembunuhan. Panida bukan cakap kosong kerana terdapat sekeping gambar Tangmo sedang duduk bersendirian di hujung belakang bot dengan riak wajahnya berada dalam kesedihan. Keterangan awal daripada kelima-lima individu yang berada dalam bot itu berikan kepada pihak polis adalah sepadan tetapi kurang terperinci. Paling mencuri tumpuan apabila salah seorang daripada mereka mempunyai kesan calar pada bahagian lengan dan bahu yang didakwa akibat terkena cakaran Tangmo. Pakar perubatan telah mengesahkan kecederaan tersebut berpunca daripada objek keras yang bermaksud bukan kesan daripada pergaduhan. Sementara itu, Gatick sudah pun membuka mulut bagi membuat penafian tentang dirinya yang dituduh sebagai dalang utama pembunuhan Tangmo. Dia dituduh berbuat sedemikian kerana ingin menuntut wang insurans hayat Tangmo. Bagi Gatick, tuduhan sebegitu dianggapnya tidak berasas sama sekali. Tiada keperluan untuk bertindak kejam seperti itu apatah lagi dia terhutang budi dengan Tangmo yang selama ini menjaga serta menyayangi anak perempuannya yang bernama Easter seperti anak kandungnya sendiri. Tangmo ada mengambil insurans nyawa berjumlah sekitar RM130 000 dengan menamakan Easter sebagai penerima faedah.

    Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan pihak polis dengan kelima-lima individu terbabit berdepan dengan tuduhan berlaku cuai hingga menyebabkan kematian dan memberi kenyataan palsu kepada polis. Si pemandu bot juga menerima satu pertuduhan tambahan kerana menggunakan bot yang telah tamat tempoh lesen pemanduan. Mereka berlima yang sudah diambil sampel DNA masing-masing juga akan menjalani ujian pengesanan pembohongan pada masa terdekat. Gambar mayat Tangmo yang sudah dalam keadaan tidak sempurna hingga sukar untuk dikenalpasti telah pun tersebar luas di laman media sosial. Sebelum Tangmo mati, dia ada memuatnaik sekeping foto di laman akaun Instagram miliknya dengan kapsyen "The sun set to rise again." Foto itu telah mendapat lebih 50 ribu komen pengguna yang bersimpati dengan pengakhiran kisah hidupnya. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN TANGMO NIDA : Benar Kemalangan atau Mati Dibunuh? "