KISAH MAYU TOMITA : Keobsesan Seorang Peminat
Pada petang 21 Mei tahun 2016 bertempat di Konagei, Tokyo, seorang gadis cantik berusia 20 tahun iaitu Mayu Tomita sedang melakukan persiapan rapi bagi menjayakan sebuah konsert yang dijangka akan berlangsung pada malam itu. Namun apa yang berlaku yakni sebelum konsert tersebut bermula, Mayu telah ditikam dengan pisau berukuran tiga inci sebanyak 61 kali pada bahagian muka, kepala, perut, lengan dan bahagian belakang tubuh badannya oleh seorang lelaki dikenali sebagai Tomohiro Iwazaki. Mayu dilaporkan sempat untuk menghubungi pihak polis sebelum dia diserang. Walau bagaimanapun, pihak polis melakukan satu kesilapan besar apabila bertindak menghantar pasukan mereka ke rumah Mayu. Dalam erti kata lain, pihak polis tidak mengesan lokasi panggilan telefon yang dibuat Mayu.
Pihak polis bagaimanapun tiba di lokasi kejadian yang
sebenar selepas menerima panggilan telefon daripada seorang saksi yang melihat
insiden serangan berkena. Tomohiro yang masih berada di lokasi kejadian terus
ditangkap serta merta. Berdasarkan pengakuan daripada Tomihoro, dia bertindak
untuk menyerang Mayu kerana gadis pujaannya itu telah menolak hadiah
pemberiannya. Mayu yang cedera parah pula bergegas dikejarkan ke hospital untuk
rawatan selanjutnya. Menyedihkan, Mayu koma selama dua minggu sebelum menjalani
beberapa pembedahan. Biarpun pulih, Mayu mengalami beberapa kecacatan kekal seperti
buta separa untuk mata sebelah kiri selain sukar bercakap, makan dan menyanyi. Pada
masa sama, Mayu juga mengidap penyakit Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD) yang disebabkan serangan
tersebut.
Mengenai latar belakang Mayu, dia yang dilahirkan pada tahun 1995 telah berhasrat untuk menjadi seorang penyanyi sejak dari kecil lagi. Selain pernah membintangi rancangan televisyen berjudul Secret Girls, Mayu yang juga merupakan seorang mahasiswi dalam jurusan muzik ada membuat penampilan sebagai pelakon filem dan drama bersiri. Tentang Tomihoro, dia memang sudah lama obses dengan Mayu. Keobsesan Tomihoro sampai ke tahap berkeinginan untuk mengahwini Mayu. Dari sisi Mayu, dia hanya menganggap Tomihoro sebagai peminat biasa. Namun perasaan suka Tomohiro bertukar menjadi benci apabila Mayu menghantar balik barangan hadiah pemberiannya yang dianggarkan bernilai $200. Perkara ini sekaligus memicu Tomohiro untuk menghantar lebih daripada 140 buah mesej berbaur ugutan kepada Mayu.
Seperkara harus diketahui, Mayu sebenarnya telah membuat
laporan polis sebanyak dua kali sebelum insiden serangan berlaku. Laporan
pertama dibuat pada 12 hari sebelum kejadian dan laporan kedua menyusul pada 10
hari berikutnya. Pihak polis bagaimanapun tidak memandang serius akan perkara
itu. Berhubung dengan perbicaraan kes, Tomohiro yang didapati bersalah
melakukan cubaan membunuh telah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun 6
bulan. Tomohiro ada meminta maaf kepada Mayu akan tetapi pakar psikologi
menilai permohonan maaf tersebut sebagai berpura-pura. Berkemungkinan besar, serangan
itu sengaja Tomohiro lakukan kerana hanya dengan cara sedemikian Mayu akan
mengingatinya sampai bila-bila. Sebelum pihak juri memutuskan hukuman, Tomohiro
kedengaran ketawa sewaktu Mayu meluahkan impiannya untuk menjadi seorang
bintang terkenal telah hancur berkecai.
Bagi Mayu, dia tidak berpuas hati dengan hukuman Tomohiro yang dianggapnya sebagai terlalu ringan. Selesai perbicaraan kes, Mayu telah memfailkan saman bernilai $800 000 terhadap kerajaan Metropolitan Tokyo, Tomohiro dan ejennya sendiri atas segala apa yang sudah berlaku. Tidak dapat dipastikan tentang keputusan saman tersebut. Susulan nasib malang yang menimpa Mayu, pihak berwajib Jepun telah membuat penambahbaikan terhadap undang-undang “Anti-Stalker” bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Catat Ulasan for "KISAH MAYU TOMITA : Keobsesan Seorang Peminat"