KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DUA ADIK BERADIK DI SIDOARJO
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di Sidoarjo, Indonesia pada tahun 2021. Tahun tersebut, Dira Fani Anjani (20 tahun) adalah seorang mahasiswi di sebuah insititut perguruan yang berlokasi di Surabaya. Sementara itu, adiknya pula iaitu Dea Clara (14 tahun) pula merupakan seorang pelajar di sebuah madrasah. Mereka berdua merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang bernama Ismanto dan Riyanti. Ismanto adalah seorang pekerja kilang manakala Riyanti pula menjalankan perniagaan warung kopi. Tentang perwatakan Dira dan Dea, kedua-dua mereka dikatakan sebagai anak yang baik. Dalam erti kata lain, mereka merupakan gadis yang tidak bermasalah selain suka untuk mengaji Al-Quran.
Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada 7 September 2021
apabila Riyanti yang baru saja pulang ke rumah dari warung mendapati pintu
pagar rumahnya terbuka. Pada masa sama, kereta jenis Daihatsu Sigra milik
keluarga mereka juga didapati hilang di kawasan parkir. Sebaik saja Riyanti
memasuki rumahnya, dia ada melihat kesan tompokan darah dari bahagian ruang
tamu hingga ke perigi yang terletak di belakang rumah. Melihat keadaan
tersebut, Riyanti pun terus menelefon Ismanto. Setibanya Ismanto di rumah, dia
melakukan pemeriksaan sebelum menemui mayat Dira dan Dea di dalam perigi itu.
Dalam keadaan bersedih, Ismanto dan isterinya menghubungi pihak talian
kecemasan.
Pihak berkuasa yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan kerja-kerja untuk mengeluarkan mayat Dira dan Dea. Proses tersebut bukan mudah dan mengambil masa yang agak lama kerana air dalam perigi yang mempunyai kedalaman sedalam 5 meter itu harus dikeluarkan terlebih dahulu. Selesai kerja-kerja pengeluaran air, barulah mayat Dira dan Dea dikeluarkan. Pada mulanya, kes ini diyakini bermotifkan rompakan kerana beberapa barangan peribadi milik mangsa seperti dompet, telefon pintar dan komputer riba telah hilang. Namun tidak sampai 24 jam selepas penemuan mayat adik-beradik tersebut, pihak polis berjaya menangkap suspek yang dikenalpasti sebagai Heru Erwanto, 26 tahun, seorang pemandu kereta sewa. Fakta yang lagi mengejutkan, Heru adalah bekas pekerja di warung kopi Riyanti. Penangkapannya dibuat di tempat persembunyiannya yang menjadi tempat persembunyiannya yakni di sebuah rumah penginapan. Pengenalpastian identiti Heru sebagai suspek adalah hasil rakaman yang diperolehi dari rumah jiran mangsa. Sewaktu operasi serbuan, Heru telah ditembak pada bahagian kaki gara-gara tindakannya yang cuba untuk melarikan diri. Turut dikesan sebelum itu adalah kereta Daihatsu Sigra milik keluarga mangsa di sebuah kawasan sawah yang berjarak kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian.
Dipetik daripada laporan media Indonesia, Heru dikatakan melakukan pembunuhan tersebut susulan berasa marah kerana cintanya yang telah ditolak oleh Dira. Heru sudah lama memendam perasaan terhadap Dira tidak lama setelah bekerja di warung Riyanti. Biarpun cintanya pernah ditolak Dira, Heru tetap tidak berputus asa untuk memiliki gadis cantik pujaannnya itu. Jadi pada hari kejadian Heru telah pergi ke rumah Dira bagi menyatakan perasaan cintanya sekali lagi. Waktu tersebut, cuma Dira dan Dea saja yang berada di rumah. Pertemuan Heru dan Dira di luar rumah tersebut berakhir dengan pertengkaran apabila Dira enggan untuk menerima Heru sebagai teman lelakinya. Heru yang sukar untuk menerima hakikat terus menutup mulut Dira lalu mengheretnya untuk masuk ke dalam rumah.
Dea yang melihat kakaknya diserang pergi mengambil pisau di
dapur dengan tujuan untuk menakut-nakutkan Heru. Lain pula yang jadi apabila
Heru berjaya merampas pisau itu dan seterusnya menikam Dea sampai mati. Dira
yang melihat adiknya dibunuh terus menjerit hingga menyebabkan Heru menjadi
panik. Entah apa yang merasuki Heru, dia tergamak untuk membunuh Dira dengan cara
cekikan leher. Mayat Dira dan Dea kemudian ditenggelamkan Heru ke dalam perigi.
Bagi mengelakkan mayat dua adik beradik tersebut terapung, Heru mengikat batu
pada kaki mereka sebagai pemberat supaya tidak terapung pada permukaan air.
Selesai berbuat sedemikian, barulah Heru melarikan diri.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Heru pada mulanya diancam dengan hukuman penjara selama 15 tahun. Walau bagaimanapun, baru-baru ini Heru yang didapati bersalah telah dihukum penjara untuk seumur hidup oleh pihak mahkamah di Sidoarjo.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DUA ADIK BERADIK DI SIDOARJO "