KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA HIROBUMI KOMATSU
Pada tarikh 5 Oktober 2017 bertempat di negara Jepun,
seorang lelaki berusia 33 tahun iaitu Hirobumi Komatsu telah membelikan hadiah
untuk isteri serta kelima-lima orang anaknya. Malah mereka sekeluarga turut
menikmati malam bersama dengan suasana yang penuh gembira. Namun menjelang
pukul 4.30 pagi 6 Oktober, Hirobumi tiba-tiba telah bertindak untuk membunuh
isteri dan semua anaknya yang berusia dari 11 hingga 2 tahun dengan cara
tikaman pisau semasa mereka sedang tidur. Mengikut rancangan asal Hirobumi yakni
sesudah pembunuhan keluarganya, dia juga akan membunuh diri melalui cara
pembakaran rumah. Cuma tidak lama rumah Hirobumi mula terbakar, Hirobumi terus
melarikan diri dari lokasi kejadian kerana dia tidak tahan dengan kepanasan api
kebakaran yang marak itu. Dalam erti kata lain, Hirobumi tidak jadi membunuh
diri. Maka apa yang dilakukannya pada waktu kemudian, Hirobumi pergi menyerah
diri kepada pihak polis lalu membuat pengakutan tentang pembunuhan yang telah
dia lakukan.
Jadi, apa yang sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan
Hirobumi sanggup untuk membunuh isteri dan darah dagingnya sendiri? Setakat
yang diketahui, Hirobumi yang dilahirkan pada tahun 1984 di Chiba sememangnya sudah
bermasalah sejak dari zaman remajanya lagi. Hirobumi mempunyai satu tabiat
buruk di mana dia gemar untuk berjudi. Pada sekitar tahun 2000, Hirobumi telah
berkenalan dengan seorang pekerja kerani wanita di hospital bernama Megumi.
Sedikit tentang Megumi, dia pada ketika itu adalah seorang janda yang mempunyai
seorang anak perempuan. Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Hirobumi dan
Megumi pun berkahwin walaupun perkahwinan itu ditentang sepenuhnya oleh ibu
bapa Megumi.
Hasil perkahwinan Hirobumi dan Megumi, pasangan tersebut telah mendapat empat orang anak termasuk sepasang anak kembar lelaki. Seorang lagi yang turut tinggal bersama dengan mereka berdua adalah anak perempuan Megumi hasil perkahwinan terdahulu. Sepanjang Megumi bergelar sebagai isteri Hirobumi, dia telah berkorban segala-galanya untuk Hirobumi. Biarpun sentiasa bergelut dengan masalah kewangan lebih-lebih lagi perlu menanggung perbelanjaan untuk lima orang anak, Megumi sanggup susah senang bersama walaupun Hirobumi selalu bertukar pekerjaan atas masalah peribadi. Hirobumi pernah menjadi buruh, penghantar surat khabar, tukang pembersihan, dan pemandu trak. Demi membantu suaminya dalam melangsaikan hutang pinjaman dan lain-lain perbelanjaan, Megumi turut bekerja sebagai pembantu klinik pergigian. Walau bagaimanapun, Megumi tidak bernasib baik apabila dia terpaksa diberhentikan atas sebab yang tidak dapat untuk dipastikan. Dalam keadaan ekonomi keluarga semakin meleset, Hirobumi dan Megumi mencuba nasib mereka di pusat judi. Sudah nama pun judi, Hirobumi dan Megumi ditimpa malang secara berterusan apabila menanggung kekalahan sekaligus menyebabkan jumlah hutang mereka semakin banyak.
Hinggalah satu hari, Hirobumi telah mendapat pekerjaan sebagai pemasang cermin kereta. Waktu ini, Hirobumi dalam fasa berubah untuk menjadi seorang suami dan bapa yang lebih baik. Lain pula ceritanya dengan Megumi. Dia bekerja sebagai penyambut tetamu hotel pada waktu siang manakala waktu malam pula menjadi pelayan di kelab hiburan. Rentetan daripada perkara itu, Hirobumi telah mengambil alih tugas untuk menjaga anak-anaknya pada waktu malam. Dia bagaimanapun mula menyedari perubahan perangai Megumi yang semakin kerap pulang lewat ke rumah. Pada masa sama, Megumi juga selalu membawa balik bermacam jenis hadiah pemberian daripada pelanggannya. Seperkara lagi, Megumi sudah tidak lagi rajin memasak dan meluangkan masa bersama keluarga seperti yang biasa dilakukannya sebelum dia menjadi pelayan kelab malam. Hirobumi tidak berdiam diri, dia menasihati Megumi untuk berhenti daripada pekerjaan tersebut akan tetapi isterinya itu enggan untuk berbuat sedemikian. Disebabkan perkara ini, Hirobumi mengesyaki Megumi ada menawarkan perkhidmatan seksual terhadap pelanggannya bagi menambah pendapatan sampingan. Biarpun Megumi menafikan tentang perkara tersebut, Hirobumi tetap yakin bahawa isterinya telah berlaku curang kepadanya.
Hinggalah satu hari, Hirobumi memeriksa teks mesej di dalam
Iphone milik Megumi. Ternyata apa yang bermain dalam fikiran Hirobumi memang
benar-benar berlaku. Megumi sah mengkhianati kepercayaannya. Teks mesej yang
dibaca Hirobumi itu bertulis,
Lelaki :Saya nak datang makan tengah hari ini.
Megumi : Awak teringin nak makan apa?
Lelaki : Nanti saya nak tidur bersama dengan awak.
Megumi : Saya suka dengan idea itu.
Lelaki : Saya tunggu awak tinggalkan suami awak.
Selepas membaca teks mesej itu, Hirobumi yang tidak berpuas
hati telah meminta penjelasan daripada Megumi. Mengejutkan Hirobumi, Megumi
tiba-tiba ingin menuntut cerai daripadanya. Hirobumi terduduk apabila mendengar
perkara tersebut. Sukar untuk dia untuk menerima dengan apa yang telah
dikatakan isterinya. Bagi Hirobumi, dia sudah gagal menjadi seorang suami. Semalaman
Hirobumi tidak boleh tidur sama sekali hingga dia terfikir untuk membunuh
dirinya sendiri. Setelah berfikir panjang, Hirobumi akhirnya merancang untuk
membunuh semua anggota keluarganya. Perancangan itu jahat dibuat kerana
Hirobumi berfikir jika dia membunuh diri, sudah pasti Megumi dan anak-anak
mereka akan hidup bahagia bersama dengan lelaki berkenaan. Jika hanya Megumi
seorang saja yang dibunuh, anak-anak mereka pula pasti akan bersedih sekaligus
menyebabkan kehidupan mereka semua menjadi sengsara. Kronologi pembunuhan
adalah seperti yang dibaca di perenggan pertama.
Berhubung dengan kes perbicaraan pada bulan Jun 2021, Hirobumi yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan pembunuhan terancang terhadap keluarganya telah dijatuhkan hukuman mati. Sebelum dijatuh hukum, terdapat laporan yang melaporkan Hirobumi tidak mengingati jenayah kejam yang dia sudah lakukan tersebut. Sewaktu perbicaraan kes, ramai saksi mendakwa bahawa Hirobumi merupakan seorang lelaki yang sangat pemalas, panas baran dan kaki pukul. Cerita tentang perubahan Hirobumi yang cuba untuk berubah untuk menjadi suami dan bapa yang baik adalah daripada mulut Hirobumi sendiri. Samada benar atau sebaliknya perkara itu, tiada siapa tahu. Apa yang pasti, mujur sajalah pihak polis mempunyai bukti yang cukup untuk membuktikan pembunuhan terancang yang Hirobumi telah lakukan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA HIROBUMI KOMATSU"