Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

TOY THANAPAT, AKTOR KACAK YANG MEMBUNUH TEMAN WANITANYA SENDIRI

    Kejadian ini berlaku pada bulan Ogos 2021 bertempat di daerah Khlong Samwa, Thailand di mana seorang pelakon lelaki kacak yang sedang meningkat naik tergamak untuk membunuh teman wanitanya sendiri dengan kejam sekali.

    Sedikit latar belakang tentang si pembunuh iaitu Toy Thanapat, dia yang baru berusia 21 tahun waktu itu menjadi semakin terkenal setelah membintangi siri drama televisyen berjudul “Why R U?”. Drama tersebut mengisahkan tentang empat orang pemuda yang dihubungkan oleh fanfiction. Selain bergelar sebagai seorang pelakon, dia juga merupakan seorang pengacara yang pernah mewakili Thailand dalam rancangan “Watching It In Senpai” (2019) dan “Watching It In Japan: Season 4” (2020). Saat artikel ini ditulis, laman Instagram Toy masih lagi wujud dengan jumlah pengikut seramai 108 000 orang pengguna.

    Berbalik dengan cerita kejadian pada 6 Ogos 2021, pihak polis tempatan Thailand telah menerima satu panggilan telefon kecemasan beralamat dari sebuah rumah dua tingkat yakni tempat kediaman Toy. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka menemui mayat seorang wanita sedang terbaring di atas lantai tingkat dua rumah berkenaan dengan keadaan badannya yang berlumuran darah. Identiti mayat wanita yang juga kekasih kepada Toy itu dikenali sebagai Chatsaran Suwannakit, 25 tahun. Rata-rata laporan media melaporkan Chatsaran telah ditikam sebanyak 20 kali pada tubuh badannya. Sewaktu ketibaan pihak polis, Toy sendiri pula ditemui berada dalam keadaan panik sambil tangannya memegang pisau dapur yang berukuran lima inci.

    Hasil soal siasat yang pihak polis jalankan terhadap Toy berhubung kronologi kejadian, dia pada mulanya membuat pengakuan menghabiskan masa bersama Chatsaran dengan meminum bir di tingkat bawah rumah tersebut hingga kedua-dua mereka menjadi mabuk. Sesudah mabuk, mereka berdua pun naik ke tingkat atas rumah. Di situ lain pula yang terjadi apabila Toy dan Chatsaran mula bertengkar. Pertengkaran yang dikatakan berpunca daripada isu karier Toy. Apa yang berlaku kemudian, Chatsaran pergi mengambil pisau sebelum berlaku pergelutan antara dia dengan Toy. Dakwa Toy, dia cuba merampas pisau daripada Chatsaran kerana berasa bimbang dengan teman wanitanya itu yang dikhuatiri cuba untuk membunuh atau mencederakan diri. Akibat pergelutan tersebut, Chatsaran tertikam pisau pada tubuh badannya sendiri. Seperkara harus diketahui, Chatsaran pernah membuat pendedahan melalui hantaran di laman media sosial Facebook mengenai penyakit kemurungan dan gangguan bipolar yang dia alami.

    Disebabkan kenyataan Toy yang dilihat sangat meragukan, pihak polis pun membuat siasatan secara lebih terperinci. Maka Toy yang tidak dapat untuk menahan rahsia akhirnya terpaksa menceritakan perkara yang sebenar. Dia melakukan pembunuhan itu akibat rasa cemburu buta serta pada masa sama tidak tahan dengan bebelan daripada Chatsaran. Susulan pengakuan daripada Toy, pihak polis pun terus menangkapnya. Ada juga sesetengah pihak mempercayai bahawa Toy tidak benar-benar tidak bersalah. Cuma buat masa sekarang, status perkembangan perbicaraan ini tidak dapat dipastikan. 

Catat Ulasan for "TOY THANAPAT, AKTOR KACAK YANG MEMBUNUH TEMAN WANITANYA SENDIRI "