KEADILAN UNTUK SEMINA HALLIWELL
England - Baru-baru
ini, nama mendiang Semina Halliwell kembali mendapat perhatian dalam kalangan
pengguna media sosial selepas ibunya iaitu Rachel Halliwell telah memuatnaik sekeping foto Semina yang diambil pada
empat hari sebelum dia meninggal dunia. Semina merupakan seorang budak
perempuan pengidap autisme berusia 12 tahun yang telah membunuh diri pada bulan
Jun tahun lepas selepas tertekan akibat menjadi mangsa rogol dan buli. Pada
masa sama, Semina juga menjadi mangsa ketidakadilan dalam siasatan pihak polis.
Menerusi laporan
media sebelum ini, kejadian sebenar bermula apabila Semina telah berkenalan
dengan seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya melalui laman Snapchat.
Tidak banyak butiran terperinci yang diketahui tentang hubungan yang terjalin
antara Semina dengan lelaki itu. Namun apa yang dapat dipastikan, lelaki
tersebut telah merogol Semina.
Tidak lama selepas
insiden rogol itu, Semina bertindak untuk mencederakan dirinya sendiri sebelum
tindakan tersebut disedari oleh Rachel. Semina kemudian telah bercerita kepada
Rachel mengenai apa yang sudah berlaku. Rachel yang berasa terkejut tidak melengahkan
masa untuk melaporkan insiden rogol itu kepada pihak polis. Mengecewakan Rachel
dan Semina apabila anggota polis yang bertugas seolah-olah tidak memandang
serius laporan tersebut. Malah anggota polis itu telah merungut dengan
mengatakan laporan Rachel hanya menambahkan kerjanya.
Laporan yang dibuat Rachel tersebut boleh dikatakan hanya sia-sia memandangkan si pelaku tidak menerima sebarang pertuduhan. Lebih malang, Semina telah dibuli oleh kenalan pelaku secara dalam talian setelah berita insiden rogol tersebut menjadi tersebar di sekolah. Semina dituduh melakukan fitnah. Hinggalah satu hari, Semina yang semakin tertekan telah tekad untuk membunuh diri dengan cara menelan pil ubat-ubatan secara berlebihan sebelum disahkan meninggal dunia pada tarikh 12 Jun 2021 kerana mengalami masalah kegagalan fungsi organ dan serangan jantung.
Sementara itu, pihak polis enggan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut hingga proses inkues selesai. Maka dengan kematian Semina, si pelaku berkemungkinan besar terlepas daripada pertuduhan. Rachel bagaimanapun dilaporkan masih berjuang bagi menuntut keadilan untuk Semina.
Catat Ulasan for "KEADILAN UNTUK SEMINA HALLIWELL "