Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BRANDI WORLEY : Pengkhianatan Seorang Isteri dan Ibu.


    Pada malam 17 November 2016 bertempat di Darling, Indiana, Amerika Syarikat, pihak talian kecemasan menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa telah membunuh dua orang anaknya sendiri sampai mati dengan cara tikaman pisau. Pada masa sama, wanita berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Brandi Worley itu memberitahu bahawa dia turut menikam dirinya sendiri. Susulan daripada panggilan telefon tersebut, pihak talian kecemasan itu telah menghubungi nenek kepada dua orang kanak-kanak terbabit untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. Sesudah wanita tersebut sampai, dia terus menjerit ketakutan apabila menemui mayat kedua-dua cucunya itu di sisi Brandi yang dalam keadaan berlumuran dengan darah di tingkat atas rumah. Jeritan wanita itu sekaligus membangunkan Jason yakni anaknya yang sedang tidur di tingkat bawah rumah. Selepas terdengar suara jeritan ibunya, Jason pun berlari naik ke atas sebelum mendapati dua orang anaknya sudah tidak lagi bernyawa. Sebaik Brandi melihat Jason, dia berkata,

    “Sekarang kau takkan dapat ambil anak-anak ini daripada aku!”

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan Brandi tergamak melakukan pembunuhan terhadap dua orang anaknya sendiri? Hasil pemeriksaan yang pihak polis lakukan, Jason rupa-rupanya telah memfailkan penceraian kepada Brandi pada sehari sebelum kejadian. Tuntutan penceraian tersebut dibuat Jason setelah mendapat tahu tentang kecurangan Brandi, wanita yang dikahwininya sejak dari tahun 2009. Beberapa bulan sebelum insiden pembunuhan ini berlaku, Jason ada meminta pendapat daripada pengguna laman Reddit mengenai apa yang dia harus lakukan kepada isterinya yang didapati telah menjalinkan hubungan dengan jiran lelaki mereka yang berusia 51 tahun. Jason melakukan penyiasatan tersendiri setelah dia menyedari perubahan sikap Brandi yang begitu ketara di mana isterinya itu mula memberikan layanan dingin dan lebih banyak menghabiskan masa bermain dengan telefon. Lebih mencurigakan Jason, Brandi enggan untuk memberitahu kata laluan telefonnya.

    Sampai satu masa, Brandi akhirnya membuat pengakuan tentang kecurangannya selepas digertak oleh Jason. Disebabkan benar-benar berasa kecewa, Jason pun menjadi tawar hati kepada Brandi. Jason bagaimanapun terus tinggal bersama dengan Brandi buat sementara waktu kerana memikirkan nasib anak-anaknya iaitu Tyler (7 tahun) dan Charee (3 tahun). Hinggalah satu hari, Jason membuat keputusan untuk bercerai dengan dia akan menuntut hak penjagaan untuk kedua-dua orang anaknya. Brandi yang enggan untuk menerima hakikat dengan kehilangan anak-anaknya telah mengugut untuk membunuh diri.

    Berbalik dengan cerita hari kejadian, Jason dan Brandi sama-sama pergi menghadiri persembahan tarian oleh Charlee. Sewaktu mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah, Brandi meminta Jason untuk singgah di sebuah kedai pasar raya dengan alasan ingin membeli paip untuk projek Tyler. Tanpa Jason sedari, Brandi telah membeli pisau sebagai senjara untuk membunuh anak-anaknya. Tyler dan Charlee kemudian ditikam oleh Brandi pada bahagian leher dengan lokasi pembunuhan adalah di dalam bilik tidur Tyler. Waktu itu, Jason sudah pun tidur. Soal Brandi yang tercedera akibat menikam dirinya sendiri, dia telah dikejarkan ke hospital untuk dirawat. Mujur sajalah Brandi berjaya diselamatkan kerana kecederaan yang dia alami tidak terlalu parah.

    Berdasarkan maklumat awal yang pihak berkuasa perolehi, tiada sebarang bukti menunjukkan Brandi ada mengalami masalah penyakit mental. Sepanjang tempoh perbicaraan kes di mahkamah, Brandi lebih banyak mendiamkan diri dan tiada sebarang tanda-tanda penyesalan pada raut wajahnya apatah lagi untuk membuat permohonan maaf. Brandi yang didapati bersalah dengan hasil rundingan pertuduhan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 120 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH BRANDI WORLEY : Pengkhianatan Seorang Isteri dan Ibu. "