Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KANTI UTAMI : Oh Anakku, Maafkan Ibu!


    Tanggungjawab seorang ibu adalah untuk memberikan kasih sayang dan juga menjadi pelindung kepada anak-anaknya. Namun baru-baru ini, negara Indonesia dikejutkan dengan satu berita di mana seorang ibu muda tergamak untuk membunuh anak kandungnya sendiri menggunakan pisau. Kejadian ini dilaporkan berlaku di Desa Tonjong, Kecamatan Tonjong, Kabupaten Brebes. Laporan daripada kebanyakan media Indonesia melaporkan bahawa wanita itu melakukan pembunuhan tersebut adalah kerana dia enggan untuk melihat anak-anaknya hidup dalam kesusahan. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?

    Kanti Utami merupakan seorang wanita berusia 35 tahun yang mempunyai tiga orang anak kecil hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Latif yakni setahun lebih tua daripada Kanti. Sebelum kejadian pembunuhan berlaku, Kanti dan ketiga-tiga orang anaknya tinggal bersama dengan ibu saudara Kanti yang bernama Hamidah. Ahmad Latif pula menetap di Jakarta atas tuntutan pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan. Dalam erti kata lain, hubungan perkahwinan Kanti dan Ahmad Latif adalah secara jarak jauh. 

    Kanti pada waktu sebelumnya adalah seorang jurusolek di sebuah salon kecantikan yang sering mendapat pujian oleh pelanggan yang berpuas hati dengan solekannya. Kisah sebenar bagaimanapun bermula apabila Kanti terpaksa diberhentikan kerja dari salon tersebut berikutan pandemik Covid-19. Pemberhentian ini sekaligus menyebabkan Kanti terpaksa menjadi seorang suri rumah sepenuh masa untuk menguruskan tiga orang anaknya. Cumanya dari hari ke hari, bukan mudah Kanti untuk meneruskan kehidupan seharian memandangkan keadaan ekonomi keluarganya semakin merosot. Jumlah wang simpanan semakin berkurang ditambah lagi dengan wang kiriman suaminya yang sedikit menambah kekusutan Kanti dalam memenuhi keperluan dan kehendak seharian anak-anaknya. Kanti terpaksa berjimat cermat dalam semua benda. Malah dia bertambah sedih apabila melihat anak-anaknya sering menangis saat kehendak mereka tidak dapat untuk dipenuhi. Lebih menyedihkan Kanti, dia pernah melalui situasi sedemikian sewaktu dia masih kecil. Sebolehnya, Kanti enggan situasi serupa berlaku semula kepada anak-anaknya. 

    Keadaan menjadi lebih parah apabila Ahmad Latif dibuang kerja juga akibat masalah pandemik Covid-19. Susulan daripada perkara tersebut, maka Ahmad Latif pun menjadi seorang penganggur tetapi terus kekal berada di Jakarta.  Apa yang dapat dipastikan, Ahmad Latif adalah seorang bapa yang baik dan begitu penyayang kepada anak-anaknya. Pada tarikh 20 Mac 2022 bersamaan dengan jam waktu subuh, Kanti tiba-tiba bertindak di luar kawalan. Entah apa yang merasukinya, dia telah mengelar leher anak keduanya yang berusia 7 tahun dengan menggunakan pisau dapur semasa anak perempuannya itu  tidur. Ibu saudara Kanti pada waktu tersebut pula tiada di rumah. Seperkara harus diketahui, Kanti dikatakan sebagai seorang wanita pendiam serta jarang bergaul dengan penduduk setempat akan tetapi dia sangat rajin beribadah. Dua orang lagi anak Kanti yang berusia 10 tahun dan 4 tahun telah terbangun selepas terdengar suara jeritan Atia. Melihat Atia yang sudah berlumuran dengan darah, mereka berdua yang turut dicederakan bergegas keluar dari bilik berkenaan sambil menjerit meminta pertolongan. Suara jeritan dua adik beradik itu telah didengari oleh seorang jiran yang kemudian bertindak untuk menyelamatkan mereka. Dua orang anak Kanti tersebut terus dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Atia pula telah pun meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Tentang Kanti, dia ditangkap oleh pihak polis di rumah tersebut dalam keadaannya sedang termenung seorang diri. Entahlah apa yang sedang bermain di dalam fikirannya sewaktu penangkapan itu dibuat. Hasil soal siasat pihak polis jalankan terhadap Kanti di balai, wanita tersebut membuat pengakuan bahawa dia melakukan aksi kejam itu adalah atas suruhan bisikan ghaib yang wujud dalam telinganya. Hanya dengan cara pembunuhan tersebut, barulah anak-anaknya akan hidup bahagia dan tidak lagi hidup dalam kesusahan. Menerusi video perbualan Kanti di dalam lokap yang telah tersebar luas di laman media sosial, dia mendakwa dirinya masih waras serta pada masa sama memberitahu salah satu keinginan dalam hidupnya adalah untuk disayangi. Hingga tarikh 22 Mac 2022, Kanti yang dipercayai mengalami kemurungan hingga berhalusinasi masih lagi tidak dianggap sebagai suspek.

Catat Ulasan for "KISAH KANTI UTAMI : Oh Anakku, Maafkan Ibu!"