Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KIM TAE-HYUN : Oppa Psiko

`Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2021. Tahun tersebut, si mangsa yakni seorang wanita berusia 25 tahun yang tinggal bersama dengan ibu dengan adik perempuannya di kawasan apartment. Memandangkan pihak berkuasa Korea Selatan tidak pernah mendedahkan nama wanita si mangsa ini, maka cukuplah dia dikenali sebagai A.

    Diringkaskan cerita, A banyak menghabiskan masanya untuk bermain permainan dalam talian iaitu League of Legends di sebuah kedai yang boleh dikatakan ala-ala siber kafe. Melalui permainan League of Legend itulah A dapat berkenalan dengan ramai orang hingga mereka menjadi kawan. Salah seorang daripada mereka itu adalah seorang lelaki muda setahun daripada A yang bernama Kim Tae-Hyun. A dan Kim mula berkenalan sejak dari bulan Disember 2020. Apa yang berlaku kemudian, Kim yang juga merupakan seorang pendiam telah meluahkan perasaan kepada A. Walau bagaimanapun, A menolak cinta Kim kerana dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap lelaki yang baru dikenalinya itu. Sampai satu masa, A mengelak daripada berjumpa dengan Kim. Perkara ini sekaligus menyebabkan Kim menjadi sangat marah kepada A.

    Kim yang berasa tidak puas hati telah bertindak untuk menganggu A secara berterusan melalui teks mesej, panggilan telefon, e-mel, ruang sembang dalam talian dan laman media sosial. A yang benar-benar berasa rimas dengan keadaan tersebut terus mengambil langkah untuk menyekat akaun Kim serta pada masa sama menukar nombor telefonnya. Namun entah bagaimana Kim tetap berjaya mendapatkan nombor telefon baru A. Hinggalah satu hari, A membuat kesilapan terbesar apabila dia memuatnaik sebuah gambar bungkusan di laman media sosisal yang jelas tertera alamat tempat tinggalnya.


    Jadi pada 21 Mac 2021, Kim yang berpakaian serba hitam telah pergi ke rumah A dengan menyamar sebagai seorang penghantar barangan. Setibanya di depan pintu masuk rumah A, dia telah mengetuk pintu berkali-kali sebelum adik perempuan A yang berada di dalam menyuruhnya untuk meletakkan saja bungkusan di depan pintu. Maka Kim pun berpura-pura beredar pergi dengan dia bersembunyi di kawasan berdekatan dengan pintu. Sebaik adik perempuan A yang kebetulan sedang bersendirian pada waktu tersebut membuka pintu, dia telah diterkam oleh Kim lalu ditikam sampai mati dengan pisau. Kim seterusnya menunggu apartment itu kerana sasarannya yang sebenar adalah A. Lima jam berikutnya, giliran ibu A yang baru saja pulang dibunuh Kim juga dengan cara tikaman pisau. Beberapa jam selepas itu, barulah si A pulang ke apartment. Saat memasuki apartment, dia terkejut apabila mendapati jasad ibu dan adik perempuannya terbaring di lantai ruang tamu dengan keadaan berlumuran dengan darah. Belum sempat A berbuat apa-apa, Kim terus menikamnya hingga mati.


    Sesudah pembunuhan tersebut, Kim memilih untuk terus tinggal di apartment itu untuk tempoh tiga hari. Sepanjang tempoh tiga hari bersama dengan mayat tiga anak-beranak tersebut, Kim duduk bersantai sambil meneguk bir dan memasak makanan. Selain itu, Kim juga ada melakukan percubaan membunuh diri akan tetapi gagal berbuat sedemikian. Kim bagaimanapun akhirnya ditangkap jua oleh pihak polis yang telah melakukan pemeriksaan di rumah A pada 25 Mac 2021. Penangkapan tersebut dibuat susulan laporan kehilangan A yang dibuat oleh rakan-rakannya. Kim membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan pembunuhan tersebut kerana A tidak lagi sudi untuk bertemu dengannya. Paling menyakitkan hati Kim adalah tindakan A yang menyekat akaun laman media sosialnya. Dakwa Kim, dia terpaksa membunuh ibu dan adik perempuan A kerana tidak mengetahui mereka turut tinggal di apartment itu.

    Berdasarkan siasatan oleh pihak polis, kematian A sekeluarga dipercayai sebagai satu pembunuhan terancang yang sudah dirancang oleh Kim pada berminggu sebelumnya. Kim diyakini menghendap aktiviti seharian A dan ada melakukan pencarian internet mengenai cara untuk melakukan pembunuhan. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Kim yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat walaupun dia ada membuat permintaan untuk dihukum mati. 

Catat Ulasan for "KISAH KIM TAE-HYUN : Oppa Psiko"