Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH OMAIMA NELSON : Isteriku Seorang Kanibal


    Omaima Nelson adalah seorang wanita yang dilahirkan pada tahun 1968 bertempat di selatan Mesir. Bapa Omaima dikatakan sebagai seorang berperwatakan ganas yang sering melakukan penderaan secara seksual terhadap Omaima. Malah sewaktu Omaima masih kecil,  alat kelaminnya telah dipotong hingga menyebabkannya mengalami kesakitan secara berterusan. Sampai satu masa, ibu Omaima yang sudah tidak tahan dengan penderaan suaminya telah melarikan diri bersama Omaima. Pada usianya 18 tahun, Omaima menjaliinkan hubungan dengan seorang lelaki pekerja pelantar minyak yang berasal dari negara Amerika Syarikat. Mereka berdua kemudian memutuskan untuk berkahwin sebelum berhijrah ke Texas. Walau bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak berkekalan lama sekaligus memaksa Omaima berdikari dengan sendiri di mana dia terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menyara kehidupannya. Ini termasuklah menjadi seorang pengasuh serta pada masa sama menceburi dalam bidang peragaan.

    Pada bulan Oktober tahun 1991 yakni ketika Omaima berusia 23 tahun, Omaima mula berkenalan dengan seorang lelaki juruterbang kaya-raya yang tua 33 tahun daripadanya iaitu William E. "Bill" Nelson. Waktu itu, William yang masih berstatus sebagai suami orang adalah seorang pesalah yang telah pun disabitkan kesalahan atas melakukan penyeludupan ganja. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan cara pembebasan bersyarat. Berbalik dengan cerita hubungan Omaima dan William, mereka berdua terus berkahwin hanya beberapa hari selepas pertemuan tersebut.

    Kisah sebenar bermula pada pagi 1 Disember 1991 apabila seorang lelaki bernama Jose Esquivel yang juga merupakan bekas teman lelaki Omaima telah dikejutkan dengan kehadiran bekas teman wanitanya itu di rumahnya. Omaima yang dalam keadaan menangis teresak-esak dengan kesan luka pada muka dan tangannya. Omaima kemudian membuat satu pengakuan yang memang benar-benar membuatkan Jose terpinga-pinga. Omaima memberitahu bahawa dia baru saja membunuh William dengan alasan untuk mempertahankan diri daripada dirogol. Lebih mengejutkan, Omaima mendakwa telah memotong serta mengerat mayat William. Jadi, Omaima meminta bantuan Jose untuk melakukan kerja-kerja pelupusan mayat tersebut dengan kadar upah sebanyak $75 000. Jose yang berlagak tenang bersetuju dengan perkara itu. Namun sebaik Omaima beredar pergi, Jose tidak melengahkan masanya untuk menghubungi pihak polis.

    Bertindak atas laporan daripada Jose tersebut, pihak polis pun segera memintas kereta merah jenis Corvette yang dipandu oleh Omaima. Hasil pemeriksaan pihak polis lakukan pada kereta itu, mereka telah menemui plastik sampah yang mengandungi daging dan organ manusia. Susulan penemuan mengerikan tersebut, pihak polis terus pergi memeriksa apartment yang didiami oleh Omaima dan William. Di dalam apartment itu, kulit dan serpihan daging mayat William telah berjaya ditemui. Lagi gila, kepala William didapati berada di dalam peti beku dengan dibalut menggunakan kerajang aluminium. Rentetan dengan penemuan dahsyat ini, maka Omaima pun telah ditangkap kerana disyaki melakukan pembunuhan terhadap William.

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada William? Menurut keterangan daripada Omaima, dia telah membunuh William pada malam Hari Kesyukuran. Pembunuhan tersebut dilakukannya menerusi cara pukulan menggunakan lampu dan tikaman dengan gunting. Dia terpaksa berbuat sedemikian kerana diserang secara seksual oleh William. Dalam erti kata lain, Omaima cuba mempertahankan diri. Sesudah William mati, Omaima telah mengerat mayat suaminya itu bermula daripada bahagian kepala, tangan dan zakar. Dia juga turut menyiat kulit badan William dengan memakai pisau. Sesudah itu, Omaima telah menggoreng tangan William yang dicampurkan dengan daging ayam belanda bagi tujuan penghapusan cap jari. Kepala Wiliam pula dimasukkan ke dalam periuk yang berisi air panas.  Di dalam bakul sampah, ada bahagian pinggul William dengan campuran sos. Seperkara harus diketahui, tempoh proses pelupusan mayat William adalah selama 48 jam.

    Pihak pendakwaan bagaimanapun mendakwa bahawa pembunuhan yang dilakukan Omaima tersebut bukanlah untuk mempertahankan diri seperti yang didakwanya akan tetapi bermotifkan rompakan. Omaima diyakini telah cuba menggoda William secara seksual terlebih dahulu sebelum melakukan pembunuhan kejam itu. Lagipun Omaima mempunyai rekod pernah menyerang bekas teman lelakinya pada setahun sebelum kejadian. Sewaktu penangkapan Omaima, laporan daripada pakar psikiatri menunjukkan bahawa dia didiagnos mengalami gangguan psikotik. Berkemungkinan besar, gangguan tersebut adalah disebabkan sejarah penderaan seksual yang dia alami sewaktu zaman kanak-kanaknya.

    Persoalan samada Omaima adalah seorang kanibalisme atau sebaliknya, sukar untuk diperjelaskan. Ini kerana Omaima telah membuat penafian tentang perkara tersebut biarpun pada awalnya dia ada membuat pengakuan memakan daging mayat William. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Januari 1993, Omaima yang didapati bersalah menerima hukuman penjara untuk seumur hidup. Sewaktu dalam penjara, Omaima telah berkahwin dengan seorang lelaki kurang upaya yang berusia dalam lingkunga 70-an. Suami keduanya itu dilaporkan telah pun meninggal dunia. Omaima pernah membuat permohonan pembebasan secara bersyarat sebanyak dua kali, tahun 2006 dan 2011 akan tetapi ditolak.

Catat Ulasan for "KISAH OMAIMA NELSON : Isteriku Seorang Kanibal"