Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KATARZYNA ZOWADA

    Pada tahun 1998, Katarzyna Zowada adalah seorang pelajar wanita berusia 23 tahun di Universiti Jagiellonian yang terletak di Krakow, Poland. Dia yang mengambil jurusan keagamaan digambarkan sebagai seorang yang baik tetapi pendiam. Pada masa sama, Katarzyna mengalami penyakit kemurungan akibat kematian bapanya pada dua tahun waktu sebelum itu. Disebabkan penyakit kemurungan Katarzyna sampai ke tahap mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri, maka dia terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri secara berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

    Kisah sebenar bermula pada tarikh 12 November 1998 di mana hari tersebut Katarzyna dijadualkan untuk berjumpa dengan pakar psikiatri di hospital. Namun apa yang berlaku kemudian, Katarzyna langsung tidak muncul di hospital tersebut. Rentetan daripada perkara itu, maka ibu Katarzyna pun pergi membuat laporan polis. Hanya selepas 24 jam laporan tersebut dibuat, barulah pihak polis memulakan operasi mencari Katarzyna. Walau bagaimanapun, operasi pencarian tersebut boleh dikatakan agak sia-sia kerana pihak polis tidak dapat menemui sebarang petunjuk seperti ketiadaan rakaman kamera litar tertutup dan juga saksi. Dalam erti kata lain, Katarzyna seolah-olah menghilang hanya dengan satu petikan jari.


    Pada 6 Januari 1999 iaitu kira-kira hampir dua bulan sesudah Katarzyna dilaporkan hilang, misteri kehilangannya pun mula terungkai. Salah seorang krew sebuah bot tunda yang sedang berlayar di kawasan perairan sungai Vistula tiba-tiba menyedari bebaling kapal mereka telah tersangkut. Apabila dibuat pemeriksaan secara pandangan jarak jauh, dia mendapati ada sejenis bahan berkulit yang tidak dapat dipastikan berada di celah bebaling berkenaan. Cuma selepas bahan berkulit tersebut diperiksa secara lebih dekat, lelaki tersebut terus berasa terkejut. Perkara ini berikutan bahan berkulit yang dilihatnya itu mempunyai telinga manusia. Tanpa berlengah, lelaki tersebut terus memaklumkan tentang penemuan ngeri tersebut kepada pihak berwajib.

    Menerusi ujian analisis DNA, bahan berkulit tersebut telah disahkan sebagai kulit manusia tidak lain tidak bukan milik Katarzyna. Bahagian kulit Katarzyna itu adalah dari bahagian paha hingga separuh telinga kirinya. Perkara ini bermaksud kulit Katarzyna disiat. Tidak jelas samada Katarzyna diperlakukan sedemikian semasa ketika dia masih hidup atapun selepasnya mati. Apa yang dapat dipastikan, Katarzyna dipercayai telah diseksa dengan sangat kejam sekali sebelum dibunuh. Fakta paling mengerikan, si pembunuh menyiat kulit Katarzyna itu adalah untuk dijadikannya sebagai baju sut! Seminggu setelah penemuan kulit Katarzyna itu, kaki kanan dan kulit lainnya berjaya ditemui di kawasan perairan sungai yang sama. Separuh bahagian kepala serta kedua-dua lengannya gagal untuk dikesan sama sekali.

    Bulan Mei 1999, pasukan perubatan forensik di Krakow menerima maklumat mengenai satu insiden pembunuhan seorang lelaki pertengahan usia yang telah mati dibunuh dengan cara kulit kepalanya disiat. Hasil penyiasatan daripada pihak polis, pembunuh lelaki tersebut adalah anak lelakinya sendiri yang dikenali sebagai Vladimir W. Maka disebabkan itu, Vladimir W pada mulanya diyakini sebagai suspek utama pembunuhan Katarzyna. Keputusan siasatan bagaimanapun menyebelahi Vladimir W yang didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kematian Katarzyna. Kes Katarzyna kekal menjadi misteri untuk bertahun-tahun lamanya.

    Hinggalah tahun 2012 yakni dengan mengambil kira perkembangan teknologi forensik semasa, pihak polis membuat keputusan untuk menyambung semula siasatan kes Katarzyna. Usaha tersebut ternyata tidak sia-sia kerana pihak polis telah dapat memperolehi maklumat lebih terperinci tentang suspek yang mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri. Bulan Oktober 2017, pihak polis akhirnya menangkap suspek berusia 52 tahun yang bernama Robert Janczewski. Seperkara harus diketahui, Robert sebenarnya pernah disenaraikan sebagai orang berkepentingan dalam kes pembunuhan Katarzyna akan tetapi dia dilepaskan kerana tiada bukti kukuh untuk mengaitkannya pada waktu lampau itu. Mengikut sumber tertentu, penangkapan Robert pada tahun 2017 ini adalah susulan sepucuk surat rahsia yang pihak polis telah terima. Butiran pengirim dan isi kandungan surat tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum.

    Sedikit latar belakang Robert Janczweski yang pernah bekerja di rumah mayat, dia sememangnya mempunyai rekod buruk terutamanya dalam mengganggu ketenteraman kaum wanita. Lebih teruk, Robert yang juga merupakan bekas kakitangan di Institut Zoologi Krakow telah dipecat kerana mendera, menyiat kulit dan membunuh arnab di tempat kerjanya itu. Soal perbicaraan kes Katarzyna yang diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi ini dimulakan dimulakan perbicaraannya secara tertutup pada pada bulan September 2019. Jadi agak sukar untuk mengetahui perincian kes seperti motif pembunuhan dan hukuman yang bakal Robert terima jika dia benar-benar diputuskan bersalah. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KATARZYNA ZOWADA "