KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MUGHEES DAN MUNEEB
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2010 bertempat
di negara Pakistan. Tahun itu, Mughees Butt adalah seorang pelajar kolej, ahli
bina badan dan Hafiz Al-Quran yang berusia 18 tahun. Adiknya yang bernama Muneeb
pula merupakan seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun di mana dia telah
disenaraikan sebagai pelajar kedua paling pintar di sekolahnya. Mughees dan
Muneeb dikatakan sebagai anak yang baik, rajin dan sentiasa mendengar arahan
kedua-dua orang mereka. Dalam erti kata lain, pasangan adik-beradik tersebut
bukanlah anak yang bermasalah sama sekali. Andai ada masa terluang, Mughees dan
Muneeb sering membantu bapa mereka dalam melakukan kerja amal bantuan bekalan
perubatan secara percuma kepada golongan yang memerlukan.
Baiklah, kisah sebenar bermula pada 15 Ogos 2010 apabila
Mughees dan Muneeb keluar dari rumah dari rumah mereka untuk pergi bermain
kriket di Kampung Buttar dengan menaiki motosikal. Seminggu sebelum itu, mereka
berdua dikatakan bertengkar dengan sekumpulan pemuda di kampung berkenaan
dengan punca pertengkaran tersebut adalah kerana Mughees dan Muneeb tidak
berpuas hati tidak dibenarkan bermain kriket di kawasan itu. Berbalik dengan
cerita hari kejadian yakni semasa Mughees dan Muneeb dalam perjalanan menuju ke
Kampung Buttar tersebut, mereka berdua telah melihat sekumpulan penduduk
kampung sedang berkumpul dengan keadaan yang amat kecoh. Jadi, Mughees dan Muneeb
pun memberhentikan motosikal mereka untuk melihat situasi yang berlaku.
Kumpulan penduduk kampung itu rupa-rupanya sedang mencari perompak yang baru saja melakukan rompakan di kampung tersebut. Kes rompakan itu sebenarnya sudah banyak kali berlaku. Perkara inilah yang memicu api kemarahan penduduk kampung tersebut. Tidak lama kemudian, ada seorang pemuda menuding jari ke arah Mughees dan Muneeb yang kebetulan berhenti di kawasan itu dengan maksud kedua-dua mereka adalah perompak sebenar. Pemuda yang melakukan tudingan jari tersebut adalah salah seorang daripada mereka yang telah bertengkar dengan Mughees dan Muneeb berhubung isu permainan kriket pada seminggu sebelumnya. Tanpa sebarang usul periksa, Mughees serta Muneeb terus diserang sebelum dipukul tanpa henti oleh kumpulan penduduk kampung itu dengan kayu dan batu.
Pihak polis kemudian datang bagi meleraikan keadaan buat
sementara waktu lalumembawa pergi Mughees dan Muneeb ke balai polis untuk
dimasukkan ke dalam lokap. Maka bermula dari sini, ada dua versi penceritaan.
Versi pertama, perusuh yang berasa tidak puas hati telah menceroboh masuk ke
dalam balai polis bagi membawa Mughees dan Muneeb keluar dari lokap untuk
diseksa di kawasan luar. Versi kedua, pihak polis sendiri yang telah
menyerahkan Mughees dan Muneeb kepada perusuh. Setelah keluar dari lokap,
kedua-dua mereka dipukul secara berterusan. Kali ini lebih dahsyat, perusuh termasuklah kaum wanita dan kanak-kanak memukul Mughees dan Muneeb dengan menggunakan kayu koki, besi dan apa jua
barang yang ditemui. Hampir 15 minit berikutnya, Muneeb yang telah pun cedera
parah di seluruh tubuh badan akhirnya meninggal dunia. Pihak polis yang
menyaksikan insiden dahsyat tersebut langsung tidak berbuat apa-apa.
Hampir dua jam sesudah kematian Muneeb, giliran Mughees pula menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebelum Mughees mati, dia sempat merayu untuk terus dibunuh saja daripada menanggung kesakitan. Mayat Mughees dan Muneeb telah digantung perusuh di sebuah blok tangki air dengan cara penggantungan kepala ke bawah, kaki ke atas. Lagi kejam, kumpulan perusuh yang masih belum berasa puas bertindak untuk melakukan pukulan pada kepala Mughees. Mayat Mughess dan Muneeb seterusnya diarak di jalanan oleh kumpulan perusuh. Hanya selepas itu, barulah kumpulan perusuh tersebut beredar pergi. Video rakaman amateur insiden itu juga telah tersebar luas di internet.
Pengakhiran kisah, hasil siasatan polis mendapati Mughees dan Muneeb sememangnya bukanlah perompak seperti yang didakwa kumpulan perusuh. Dua adik-beradik tersebut menjadi mangsa keadaan. Malang sekali untuk Mughees dan Muneeb kerana berada di tempat yang salah pada hari kejadian. Paling teruk dikecam semestinya pihak polis yang bertugas sewaktu insiden berlaku. Tidak jelas samada pihak polis terbabit takut kepada kumpulan perusuh atau sebaliknya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, pihak mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada tujuh tertuduh yang dipercayai telah membunuh Mughees dan Muneeb. Namun apa yang mengejutkan ramai pihak pada tahun 2019, hukuman mati tersebut ditukar kepada hukuman penjara selama 10 tahun. Tonton video rakaman di sini : https://youtu.be/-WCRYnsKfnU?si=uO0PMZt0DqQbsf6J
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MUGHEES DAN MUNEEB "