KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RATU CANTIK VENEZUELA
Monica Spear atau nama sebenarnya iaitu Monica Spear Mootz
dilahirkan pada 1 Oktober 1984 bertempat di Maracaibo, Zulia, Venezuela. Dia
yang mempunyai seorang adik perempuan serta tiga orang adik-beradik lelaki merupakan
anak kepada suami isteri bernama Rafael Spear Tudares dan Ingeborg Mootz Gotera.
Pada tahun 2000 yakni selepas persaraan kedua-dua orang tuanya, Monica
sekeluarga telah berpindah ke Orlando, Florida, Amerika Syarikat. Di sana,
Monica yang memiliki paras rupa cantik telah berjaya menyambung pengajiannya di
Universiti Central of Florida dengan mengambil jurusan teater. Selain itu,
Monica dikatakan sebagai seorang wanita yang baik, berfikiran positif, peramah
dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Seperkara harus
diketahui, Monica sangat fasih dalam berbahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol.
Pada tahun 2004, Monica memasuki pertandingan ratu cantik
Venezuela di mana dia telah dinobatkan sebagai juara. Maka dengan kejuaraan
tersebut, Monica secara automatik terpilih untuk mewakili Venezuela dalam
pertandingan ratu cantik dunia yang diadakan di negara Thailand pada tahun
berikutnya. Dalam pertandingan ratu cantik dunia itu, Monica telah diumumkan
sebagai pemenang di tempat keempat. Setelah pertandingan kecantikan tersebut,
populariti Monica semakin meningkat dengan dia mendapat banyak tawaran untuk
menjadi model dan pelakon drama televisyen. Pencapaian yang dicapai Monica
dalam tempoh singkat itu ternyata menjadi kebanggaan rakyat Venezuela.
Tahun 2008, Monica mula berkenalan dengan seorang ahli perniagaan berdarah British yang dikenali sebagai Thomas Henry Berry. Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Monica dan Thomas pun berkahwin. Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut mendapat seorang cahaya mata perempuan yang dinamakan sebagai Maya Berry Spears. Alam rumah tangga Monica dan Thomas bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila mereka berdua membuat keputusan untuk bercerai pada tahun 2012 dengan alasan penceraian yang tidak dapat untuk dipastikan. Walau bagaimanapun, Monica dan Thomas tetap menjalinkan hubungan yang baik bagi memastikan Maya mendapat kasih sayang mencukupi daripada mereka. Dua tahun sesudah penceraian itu, Monica dan Thomas yang masih saling mencintai antara satu sama lain membuat keputusan untuk kembali bersama. Namun sayang sekali apabila perkara tersebut tidak sempat untuk berlaku.
Jadi, kisah sebenar bermula pada 6 Januari 2014. Hari itu, Monica dan Thomas membawa Maya untuk bercuti di kawasan pergunungan serta pantai Venezuela. Apa yang berlaku seterusnya pada waktu malam hari tersebut tatkala sewaktu tiga orang anak-beranak itu dalam perjalanan pulang dengan melalui kawasan sunyi sepi, tayar kereta yang mereka naiki tiba-tiba telah mengalami kerosakan. Perkara tersebut menyebabkan Thomas terpaksa untuk memberhentikan keretanya di tepi jalan. Tidak lama kemudian, muncul sebuah kereta tunda dengan pemandunya telah menawarkan bantuan kepada Thomas. Semasa proses penundaan kereta Thomas itu, tiba-tiba muncul sekumpulan perompak dari arah hutan berdekatan. Pemandu kereta tunda tersebut berserta anak buahnya terus bergegas melarikan diri. Dalam keadaan mendebarkan itu, kumpulan perompak tersebut telah melepaskan beberapa das tembakan terhadap Thomas dan Monica yang mengunci diri mereka dalam kereta. Usai menembak mati Thomas dan Monica, kumpulan perompak itu mengambil beberapa barangan peribadi seperti beg duit, kamera serta telefon pintar. Jadi, pembunuhan Thomas dan Monica sememangnya adalah bermotifkan rompakan. Mengenai Maya, dia terselamat daripada insiden tembakan tersebut kerana sempat dilindungi oleh Monica.
Pihak polis tiba di lokasi kejadian selepas dihubungi oleh
pemandu kereta tunda itu. Berita kematian Thomas dan Monica itu ternyata
mengejutkan ramai pihak. Dalam rakyat Venezuela menangisi pemergian pasangan
suami isteri tersebut, mereka telah menggesa pihak berkuasa untuk menangkap
serta memberikan hukuman yang setimpal kepada pelaku. Kes ini juga mendapat
perhatian daripada Presiden Venezuela, Nicola Maduro yang mengarahkan pihak
berwajib untuk melakukan penangkapan terhadap pelaku secepat mungkin. Hasil
ketangkasan pihak polis, mereka tidak mengambil masa lama untuk menangkap tujuh
orang suspek. Mereka adalah José Ferreira Herrera (18 tahun), Jean Carlos
Colina (19 tahun), Nelfrend Jiménez Álvarez (21 tahun), Alejandro Maldonado
Pérez (21 tahun), Franklin Cordero Álvarez (28 tahun), Leonar Marcano Lugo (32
tahun) dan Eva Armas Mejías (39 tahun). Pada masa sama, pihak polis dapat mengesan
semula barangan yang dicuri daripada Monica dan Thomas.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, semua suspek kecuali Eva Armas Mejías telah dihukum penjara dari tempoh 24 hingga 26 tahun kerana didapati bersalah membunuh Monica dan Thomas. Eva Armas Mejías pula cuma dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun kerana bersubahat membantu suspek melakukan persembunyian. Soal Maya, dia yang dilaporkan mengalami trauma akibat insiden tersebut terpaksa menjalani rawatan psikologi dan kini tinggal bersama dengan datuk dan neneknya.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RATU CANTIK VENEZUELA "