Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SANDRA CANTU

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2009. Tahun itu, Sandra Renee Cantu digambarkan sebagai seorang budak perempuan berusia 8 tahun yang periang dan mudah mesra dengan orang di sekelilingnya. Dalam erti kata lain juga, dia bukan seorang budak yang nakal. Sandra tinggal bersama dengan ibu, datuk, nenek dan tiga orang lagi adik beradiknya yang lain di Tracy, California. Soal hubungan ibu bapa Sandra, mereka berdua sudah pun berpisah.

    Kisah sebenar bermula pada 27 Mac 2009 di mana petang hari tersebut yakni selepas tamat sesi persekolahan, Sandra telah meminta izin daripada ibunya iaitu Maria untuk pergi bermain di rumah rakannya. Usai diizinkan Maria, Sandra yang memakai baju Hello Kitty berwarna merah jambu dan berseluar hitam pun keluar dari rumah dengan hati yang sangat riang. Namun selepas pukul 7 malam, Sandra masih lagi tidak pulang ke rumah hingga menyebabkan Maria dilanda kerisauan. Setelah gagal mencari Sandra di kawasan sekitar, maka Sandra pun terus pergi membuat laporan polis. Susulan daripada laporan itu, pihak polis tidak melengahkan masa untuk memulakan operasi pencarian dengan bantuan anggota sukarelawan, anjing pengesan, pasukan penyelam, pasukan FBI dan penggunakan helikopter.

    Satu-satunya petunjuk awal yang pihak polis perolehi dalam kes ini hanyalah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Sandra berjalan di luar rumah sebelum hilang daripada pandangan. Tentang suspek, ada dua individu yang disyaki menjadi dalang kepada kehilangan Sandra. Pertama adalah bapa Sandra sendiri, Daniel. Kedua, seorang lelaki pedofilia yang pernah mencium mulut Sandra sewaktu Sandra berusia 6 tahun. Namun selepas siasatan secara terperinci dijalankan, kedua-dua mereka dikeluarkan daripada senarai suspek kerana masing-masing mempunyai alibi kukuh sewaktu kejadian berlaku.

    Hinggalah semasa majlis perkabungan Sandra, pihak polis dikejutkan dengan kemunculan panik seorang wanita berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Mellisa Huckaby. Dia telah menyerahkan sekeping nota yang ditemuinya kepada pihak polis. Nota yang mengandungi kesalahan ejaan itu bertulis ““Cantu locked in stolin (sic) suitcase. Thrown in water onn (sic) Bacchetti Road and Whitehall Road. Witness.” Walaupun pihak polis mencurigai nota berkenaan, mereka tetap melakukan operasi pencarian di kawasan yang dimaksudkan akan tetapi tidak menghasilkan sebarang penemuan sekaligus membawa kepada penangkapan Mellisa. Seperkara harus diketahui sewaktu hari kehilangan Sandra, Mellisa ada menghantar satu teks mesej kepada Maria. Mesej tersebut ditulis dengan ayat ““Tell the police that I had something stolen today around 4 PM. I don’t know if that makes a difference or not.” Maria bagaimanapun mengendahkan mesej itu kerana dia lebih bimbang dengan keadaan anaknya.

    Sedikit mengenai Mellisa, dia merupakan seorang guru yang mengajar di sekolah Sandra pada waktu hujung minggu. Pemeriksaan rekod perubatan mendapati Mellisa rupa-rupanya mengidap beberapa masalah penyakit mental seperti bipolar, skizofrenia dan gangguan stres pascatrauma (PTSD). Menurut kenyataan daripada bekas suaminya, Mellisa pernah dirogol oleh anggota polis sewaktu dia berusia 19 tahun. Mengambil semua perkara tersebut, pihak polis mempercayai bahawa Mellisa berkemungkinan besar adalah dalang utama di sebalik kehilangan Sandra.

    Misteri menghilangnya Sandra akhirnya terungkai pada 6 April 2009 apabila pihak polis telah menerima laporan seorang lelaki yang mendakwa ada menemui sebuah beg pakaian berbau busuk di dalam sebuah kawasan air kolam. Menerusi pemeriksaan oleh pihak polis, beg pakaian itu didapati mengandungi mayat budak perempuan yang sudah mereput teruk tidak lain tidak bukan Sandra Cantu. Hasil laporan forensik, Sandra dipercayai mati akibat dicekik serta pada masa sama mempunyai kesan kecederaan di bahagian kemaluan yang disebabkan oleh objek tertentu. Paling mengejutkan adalah sistem tubuh badan Sandra dikesan mengandungi Alprazolam, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit kegelisahan dan serangan panik. Perkara ini bermaksud Sandra diyakini diseksa pada saat akhir hidupnya.

    Rentetan daripada penemuan mayat Sandra, pihak polis telah bertindak untuk terus menangkap semula Mellisa. Penangkapan tersebut dibuat oleh pihak polis sesudah mereka memperolehi pelbagai bukti penting rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan Sandra berjalan ke arah rumah Mellisa semasa hari kejadian, kenyataan saksi dan lain-lain. Penjelasan Mellisa sewaktu sesi soal siasat, dia mendakwa kematian Sandra adalah akibat insiden yang tidak disengajakan. Cerita Mellisa pada masa hari kejadian, dia dan Sandra telah bermain permainan “Hide & Seek” di rumahnya. Sandra kemudian telah bersembunyi di dalam beg pakaian yang seterusnya dibawa oleh Mellisa menuju ke gereja. Setibanya di gereja, baru Mellisa membuka zip beg pakaian itu lalu mendapati Sandra sudah pun tidak lagi bernyawa. Apa yang pasti, kenyataan Mellisa tersebut adalah sangat bertentangan dengan laporan forensik mayat Sandra.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Mellisa membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan melakukan penculikan dan pembunuhan peringkat pertama terhadap Sandra Cantu. Mellisa telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang pembebasan penjara secara bersyarat setelah dia menerima rundingan pertuduhan bagi mengelakkan daripada dihukum mati. Motif pembunuhan? Tidak jelas. Kata Mellisa, “Saya sendiri tidak tahu kenapa saya melakukan perkara itu. Soalan ini akan menghantui seumur hidup saya.” Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan meyakini Mellisa membunuh Sandra kerana ingin mendapatkan perhatian.  

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SANDRA CANTU"