Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SARAH PAYNE

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2000 bertempat Kingston Gorse, West Sussex, England. Pada 1 Julai 2000 tahun tersebut, Sarah Payne atau nama sebenarnya iaitu Sarah Evelyn Isobel Payne sedang bermain bersama dengan adik-beradiknya di sebuah ladang jagung yang berdekatan dengan rumah datuknya. Sewaktu sedang bermain, Sarah telah mengalami kecederaan ringan. Maka dia pun membuat keputusan untuk pulang ke rumah sebentar dengan ditemani oleh abangnya yang berusia 13 tahun iaitu Lee. Dua beradik itu telah berjalan pulang dengan masing-masing melalui laluan yang berbeza. Apa yang berlaku kemudian, Sarah tiba-tiba hilang tanpa sebarang jejak. Saat Lee sedang mencari Sarah, dia tiba-tiba ternampak seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam van putih yang diparkir tidak jauh tempat mereka adik-beradik bermain. Lelaki tersebut sempat untuk melambai-lambaikan tangannya ke arah Lee sambil tersenyum sebelum dia beredar pergi. Apa yang pasti, lambaian serta senyuman lelaki itu adalah bakal menghantui Lee untuk seumur hidup.

    Menyedari Sarah diculik oleh lelaki tersebut, Lee bergegas berlari pulang ke rumah bagi memaklumkan perkara itu kepada keluarganya. Maka bermulalah operasi pencarian Sarah secara besar-besaran. Jadi siapakah sebenarnya lelaki yang telah menculik Sarah tersebut? Lelaki itu dikenali sebagai Roy William Whiting yang dilahirkan pada tahun 1963. Dia yang tidak mempunyai sebarang latar belakang akademik pernah dihukum penjara selama 4 tahun atas kesalahan melakukan penculikan dan pencabulan terhadap seorang kanak-kanak berusia 9 tahun. Dalam erti kata lain, Roy adalah seorang lelaki pedofil.

    Disebabkan rekod jenayahnya sebagai pesalah pedofil, Roy merupakan salah seorang suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan Sarah. Roy bagaimanapun membuat penafian mengenai perkara tersebut. Rentetan daripada perkara itu juga, pihak polis telah melakukan penggeledahan di apartment kediamannya untuk mencari bahan bukti. Walaupun pihak polis berjaya menemui beberapa bukti penting, mereka tidak dapat mengaitkan bukti-bukti tersebut kepada Roy. Hinggalah pada 17 Julai 2000, pihak polis telah menerima maklumat tentang penemuan mayat seorang budak perempuan dalam keadaan bertelanjang di sebuah kawasan lapang yang berjarak kira-kira 24 kilometer dari tempat Sarah menghilang. Mayat itu seterusnya dikenalpasti sebagai Sarah. Pengenalpastian tersebut dibuat menerusi pemeriksaan pada kasut yang ditemui tidak jauh dari lokasi penemuan mayat di mana kasut itu telah disahkan sebagai kasut yang dipakai Sarah pada hari kejadian. Berdasarkan laporan forensik, Sarah dipercayai dirogol terlebih dahulu sebelum mati dengan cara cekikan pada bahagian leher.

    Roy akhirnya ditangkap susulan penemuan helaian rambut milik Sarah di dalam van putih milik Roy. Maka Roy menerima pertuduhan melakukan penculikan dan pembunuhan terhadap Sarah. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada hujung bulan Disember 2001, Roy yang didapati bersalah oleh pihak juri mahkamah telah dijatuh hukuman penjara untuk seumur hidup dengan layak mendapat pembebasan secara bersyarat sesudah 40 tahun dipenjarakan. Bergelar sebagai banduan bukan mudah untuk Roy kerana pesalah pedofil sememangnya paling dibenci oleh banduan lain. Sepanjang tempoh Roy berada di penjara, dia pernah diserang dengan dahsyat sebanyak tiga kali yakni pada tahun 2002, 2011 dan 2018 hingga menyebabkannya mengalami kecederaan termasuk di bahagian mata. Ketiga-tiga serangan ini adalah secara tikaman. Roy kini berada di penjara Wakefield, West Yorkshire. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SARAH PAYNE "