Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SEMRA AYSAL

    Kejadian pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2018. Tahun itu, Hakan Aysal adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai seorang pekerja bank. Isteri Hakan pula bernama Semra. Tidak dapat dipastikan tentang pekerjaan Semra. Cuma menurut keterangan daripada keluarga serta kenalan mereka, Hakan dan Semra digambarkan sebagai pasangan suami isteri yang tidak bermasalah daripada luaran.

    Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada bulan Jun 2018 apabila Hakan telah mengajak Semra yang sedang hamil bulan waktu itu untuk melakukan pendakian di kawasan bukit yakni bertempat di Butterfly Valley, Mugla, tenggara Turki. Semra mula-mulanya menolakan ajakan tersebut kerana keadaan semasanya yang sering mengalami kepenatan. Namun selepas dipujuk secara berkali-kali oleh Hakan dengan cara paksaan, Semra akhirnya bersetuju untuk mengikut suaminya itu.

    Jadi pada 16 Jun 2018, Hakan dan Semra pun pergi ke kawasan bukit di lokasi berkenaan. Setibanya di situ, Hakan telah mengajak Semra untuk mendaki ke kawasan puncak bukit dengan alasan untuk menikmati pemandangan indah. Hakan langsung tidak mempedulikan keluhan Semra yang berasa sangat penat untuk meneruskan pendakian. Sampai di kawasan puncak bukit tersebut, Hakan dan Semra mengambil gambar swafoto untuk dijadikan sebagai salah satu kenangan terindah dalam hidup masing-masing. Mereka berdua berada di kawasan puncak bukit itu selama tiga jam lamanya dengan keadaan cuaca yang panas terik.

    Apa yang berlaku kemudian, Semra tiba-tiba telah terjatuh dari bukit tersebut lalu badannya terhempap atas batu di sekaligus menyebabkannya mati serta-merta di lokasi kejadian. Insiden itu seterusnya dilaporkan Hakan kepada pihak berkuasa. Susulan laporan daripada Hakan tersebut, pihak polis tidak melengahkan masa untuk melakukan pencarian. Usaha pencarian itu ternyata tidak sia-sia apabila mayatnya berjaya ditemui dalam tempoh 8 jam. Menyedihkan, mayat Semra dan janin kandungannya ditemui di lokasi yang berbeza. Perkara ini bermaksud, janin Semra telah terkeluar dari perutnya semasa dia terjatuh.

    Pada mulanya, kematian Semra ini dipercayai berpunca daripada insiden kemalangan yang tidak disengajakan. Walau bagaimanapun, keluarga Semra ternyata mencurigai Hakan setelah melihat sendiri reaksi lelaki tersebut yang kelihatan tenang sewaktu tiba di bilik forensik untuk mengambil mayat Semra. Malah Hakan langsung tidak keluar dari kereta ketika itu. Bayangkan, tiada sebarang respon daripada seorang suami yang baru saja kematian isteri. Keluarga Semra juga tahu mengenai Semra adalah seorang yang takutkan ketinggian. Jadi agak mustahil Semra berdiri di tepi puncak bukit dengan rela hati. Tidak lama sesudah kematian Semra, Hakan telah pergi bercuti dan siap memuatnaik fotonya di laman media sosial dengan wajah yang gembira. Pada masa sama, keluarga Semra mendapat tahu mengenai pinjaman wang yang pernah dibuat oleh Hakan daripada tiga sumber peminjaman berbeza dengan menggunakan nama Semra. Rentetan daripada beberapa perkara ini, keluarga Semra akhirnya membuat laporan polis berhubung dengan rasa kecurigaan mereka terhadap Hakan.

    Berdasarkan siasatan secara terperinci yang pihak polis jalankan, Hakan didapati ada melakukan cubaan untuk menuntut wang insurant hayat isterinya yang dianggarkan berjumlah sebanyak 400 000 lira Turki (RM250 000) dengan Hakan dinamakan sebagai penama penerima. Maka Hakan pun ditangkap oleh pihak polis untuk siasatan selanjutnya. Menerusi keterangan daripada Hakan soal hari kejadian, Semra memang terjatuh sendiri tanpa dia sedari. Cerita Hakan lagi, dia tidak menyedari kejadian tersebut kerana dirinya sedang mengambil telefon di dalam tas tangan Semra. Pihak pendakwaan bagaimanapun mendakwa kematian Semra merupakan satu pembunuhan terancang oleh Hakan dengan bermotifkan untuk wang insurans nyawa. Hakan juga didakwa sengaja untuk menghabiskan masa di atas puncak bukit itu selama tiga jam kerana ingin memastikan tiada sesiapa yang berada di kawasan sekitar sebelum melakukan pembunuhan. 

    Seperkara harus diketahui, ada saksi yang kebetulan berada di kawasan puncak bukit pada waktu kejadian sempat untuk merakam aksi Hakan bersama Semra. Rakaman video tersebut dilakukan oleh saksi itu kerana ada lagak yang mencurigakan daripada Hakan. Harus diingatkan, rakaman tersebut bukan rakaman pembunuhan.  Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Februari 2022, Hakan yang didapati bersalah menolak Semra dari tebing bukit hingga menyebabkan kematian telah menerima hukuman penjara selama 30 tahun tanpa sebarang pembebasan bersyarat.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SEMRA AYSAL"