KISAH PEMBUNUHAN MISTERI DI NANJING
Pada tahun 1996, Diao Aiqing adalah seorang pelajar tahun
pertama di Universiti Nanjing dalam bidang pengurusan maklumat. Tidak banyak
maklumat tentang kehidupan Diao yang dapat diperolehi namun setakat diketahui, wanita
kelahiran tahun 1976 yang berasal dari Shengao, Jiangsu ini dikatakan
berperwatakan pendiam dan introvert serta pada masa sama tidak suka bergaul
dengan sesiapapun termasuk anggota keluarganya sendiri.
Kisah sebenar bermula pada malam 10 Januari 1996 apabila
rakan sebilik Diao telah dihukum oleh pihak pengurusan asrama kerana didapati
menggunakan peralatan elektrik yang diharamkan dari asrama itu. Turut menerima
hukuman sekali adalah Diao. Perkara ini menyebabkan Diao berasa marah lalu dia
pun pergi berjumpa dengan pihak pengurusan asrama terbabit untuk meluahkan rasa
tidak puas hatinya. Maka berlakunya aksi pertikaman lidah antara Diao dengan
pihak pengurusan asrama tersebut. Tidak lama selepas itu, Diao pun keluar dari
bangunan asrama tersebut dengan memakai baju sejuk berwarna merah. Apa yang
berlaku kemudian, Diao tidak pernah pulang semula ke asrama itu. Dalam erti
kata lain, dia telah pun hilang tanpa dikesan. Waktu ini, keluarga Diao masih
tidak dapat pemakluman tentang berita kehilangan Diao.
Hinggalah pada 19 Januari 1996, seorang wanita pekerja pembersihan telah menemui sebuah beg berisi daging yang disangkanya sebagai daging khinzir. Tanpa sebarang rasa ragu-ragu, wanita tersebut membawa beg itu pulang ke rumahnya untuk dimasak. Sampai saja di rumah, wanita tersebut berasa sangat terkejut apabila menemui tiga jari manusia di sebalik daging itu. Perkara ini bermakud, daging yang disangka sebagai daging khinzir tersebut sebenarnya adalah daging manusia. Tanpa berlengah, wanita berkenaan terus melaporkan penemuan mengerikan itu kepada pihak polis. Hanya selepas penemuan mayat tersebut, barulah pihak polis memberitahu keluarga Diao yang mengenai perkara yang sudah berlaku.
Dua hari sesudah serpihan mayat Diao itu ditemui, pihak polis dikejutkan lagi dengan laporan penemuan bungkusan yang mengandungi daging manusia di lapan lokasi berbeza. Ini termasuklah kepala Diao berserta dengan pakaiannya. Secara keseluruhannya, pihak polis telah menemui 2000 serpihan daging mayat Diao. Diulangi, 2000. Walau bagaimanapun, bahagian organ yang penting seperti jantung, hati dan limpa tidak dapat ditemui. Fakta mengerikan daripada laporan forensik, kepala serta organ dalaman Diao yang lain telah dimasak selama beberapa hari selepas kematiannya bagi tujuan penghapusan bukti sains forensik. Rentetan daripada perkata tersebut, pihak polis percaya bahawa Diao dibunuh oleh bukan calang-calang individu yakni seseorang yang mempunyai kepakaran meluas dalam bidang anatomi. Berhubung dengan identiti mayat Diao, pengecaman mayatnya dibuat melalui tahi lalat yang ada pada pipi bahagian kanannya.
Siasatan pembunuhan Diao ini memang benar-benar merumitkan. Tiada petunjuk, bukti, saksi dan sebagainya. Hingga kini, fail kes ini masih lagi dibuka dengan status kes adalah masih dalam siasatan. Pihak polis Nanjing dilaporkan belum berputus asa dan sentiasa berharap akan dapat memperolehi bukti baru dalam usaha bagi memastikan kes Diao yang serupa dengan kes Black Dahlia ini akan menemui jalan penamat.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN MISTERI DI NANJING"