Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN RIE MIYOSHI : Kau Milikku Selama-lamanya!

    Kejadian pembunuhan kejam ini berlaku di negara Jepun pada tahun 2012. Tahun itu, Rie Miyoshi merupakan seorang wanita berusia 33 tahun yang sudah berkahwin dengan pekerjaannya adalah sebagai seorang pereka bentuk bebas dan juga penulis majalah. Rie dikatakan sebagai seorang wanita yang baik, peramah, berfikiran positif dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Dalam erti kata lain, dia bukan wanita yang bermasalah sama sekali.

    Pada 6 November 2012, seorang lelaki berusia 40 tahun yang bernama Hideto Kozutsumi telah menceroboh masuk ke dalam apartment kediaman Rie melalui tingkap. Waktu tersebut, Rie tinggal bersendirian di dalam apartment itu. Apa yang berlaku, Rie telah mati dibunuh oleh Hideto dengan cara tikaman pisau secara berkali-kali di tubuh badan dan lehernya juga turut dikelar. Selepas membunuh Rie, Hideto telah bertindak untuk membunuh diri di lokasi kejadian dengan menggantung lehernya menggunakan tali. Pihak polis kemudian tiba di apartment Rie susulan laporan daripada jiran Rie yang ternampak mayat Hideto yang tergantung.

    Jadi, siapakah Hideto? Apakah motif pembunuhannya? Baiklah, dia adalah bekas teman lelaki Rie yang pernah bekerja sebagai seorang guru sains sosial di sebuah sekolah swasta. Hideto dan Rie mula berkenalan pada tahun 2004 sebelum menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih. Hubungan tersebut bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua tahun sebelum Rie membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan. Walau bagaimanapun, Hideto yang enggan untuk menerima hakikat telah mengganggu Rie secara berterusan melalui teks mesej, e-mel dan panggilan telefon berbaur ugutan bunuh. Gangguan itu dihentikan oleh Hideto selepas Rie mengugutnya untuk membuat laporan polis. Dua tahun setelah perpisahan tersebut yakni pada tahun 2008, Rie telah berkahwin dengan lelaki lain. Sesudah bergelar menjadi isteri, Rie mengikuti suaminya untuk berpindah ke bandar lain.

    Hideto ternyata sukar untuk melupakan Rie. Sampai satu masa, dia sanggup berhenti kerja demi mencari bekas teman wanitanya itu. Hideto yang tidak berputus asa melakukan pencarian sentiasa berharap Rie akan kembali pangkuannya. Apabila Hideto mendapat tahu tentang Rie yang telah pun berkahwin dengan lelaki lain, dia benar-benar berasa kecewa hingga dilanda penyakit kemurungan. Sampai satu tahap, Hideto cuba membunuh diri di sebuah kawasan pergunungan akan tetapi mujur sajalah dia sempat untuk diselamatkan. Usai Hideto mendapatkan rawatan di hospital, pihak polis mengeluarkan waran penangkapan terhadapnya berhubung denga ugutan bunuh yang dia telah lakukan terhadap Rie. Rentetan daripada perkara tersebut, Hideto menerima hukuman penjara selama setahun. Cumanya pihak polis melakukan kesilapan besar sewaktu menangkap Hideto di mana mereka membaca butiran lengkap waran penangkapan dengan pendedahan nama penuh Rie berserta lokasi tempat tinggalnya.

    Tahun 2012, Hideto dibebaskan dari penjara. Kali ini, dia yang telah mengetahui maklumat peribadi Rie melakukan pencarian terperinci bagi mengesan Rie. Perkara ini termasuklah menyemak laman media sosial Rie, carian forum dan lebih dahsyat Hideto sanggup mengupah penyiasat persendirian. Pada masa sama, Rie yang menyedari dirinya menjadi buruan Hideto telah meminta bantuan daripada pihak polis untuk berkawal, melakukan rondaan dan memasang kamera litar tertutup di kawasan bangunan apartment tempat tinggalnya. Soal penangkapan semula Hideto, tiada apa yang pihak polis boleh lakukan kerana Hideto bertindak bijak untuk tidak mengganggu Rie dengan gangguan berunsurkan jenayah.

    Pengakhiran cerita, Hideto telah mendapat alamat penuh apartment kediaman Rie. Maka terjadilah insiden pembunuhan seperti yang boleh dibaca pada perenggan kedua. Disebabkan Hideto yang telah membunuh diri, maka tiada sebarang perbicaraan dan pertuduhan kes dibuat. Satu-satunya penangkapan hanyalah terhadap seorang penyiasat persendirian yang dikenali sebagai Hirotoshi Kohama, 61 tahun. Dia dihukum penjara selama dua tahun setengah kerana memberikan alamat tempat tinggal Rie kepada Hideto. Kes yang sangat menyedihkan kerana langsung tiada keadilan untuk mangsa. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN RIE MIYOSHI : Kau Milikku Selama-lamanya!"