KISAH SARVJEET SINGH YANG TERANIAYA : Bahana Cerita Sebelah Pihak.
Kisah yang berlaku di negara India ini bermula pada 23 Ogos
2015 apabila seorang wanita muda bernama Jasleen Kaur telah memuatnaik sekeping
foto seorang lelaki di laman media sosial Facebook miliknya dengan hantaran
bertulis,
“Lelaki ini telah
mengeluarkan kata-kata kesat berbaur lucah kepada saya pada hari ini pada
sekitar jam 8 malam berdekatan dengan Aggarwal, Tilak Nagar. Dia menaiki
motosikal Royal Enfield berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran – DL 4S CE
3623. Apabila saya memberitahu dia bahawa saya telah mengambil gambarnya dan
akan membuat laporan yang berkenaan, dia membalas sambil membuat aksi bergaya
untuk diambil gambar lalu berkata, “Lakukan apa yang awak inginkan, lawan
dengan saya dan tunggu serta lihat apa yang saya akan lakukan.”
Namun ada sesuatu yang
benar-benar menakutkan saya lebih daripada perkataan lucahnya. Kejadian berlaku
semasa isyarat tanda lampu merah dengan 20 orang yang telah mendengar apa yang
dia katakan kepada saya. Ya, tiada siapa yang ambil kisah. Tiada seorang pun
yang masuk campur. Tiada sesiapa pun yang bangun untuk mempertahankan saya.
Jadi saya tekad untuk mempertahankan diri saya dan membuat laporan di balai
polis Tilak Nigar dengan gambar dan nombor pendaftaran lelaki itu.
Kongsikan gambar
lelaki ini dan nombor pendaftaran motosikal lelaki yang menakutkan ini. (Kalau
anda berani).
Hari ini, dia
mempunyai keberanian melemparkan kata-kata tersebut kepada saya, esok boleh
jadi dia berani untuk melangkah ke depan lalu benar-benar melakukan apa yang
dia katakan.
PS-Saya sepatutnya
tulis apa yang dia telah katakan akan tetapi saya enggan hantaran saya ini
dipadam oleh pihak FB."
Tidak lama selepas itu, hantaran Jasleen tersebut menjadi tular dalam sekelip mata dengan mendapat lebih 100 000 jumlah perkongsian hingga mendapat perhatian daripada pihak polia, media, menteri dan juga artis Bollywood yang telah menggelar lelaki itu sebagai penyumbaleweng (pervert) kebangsaan. Pihak polis yang menerima laporan mengenai insiden tersebut tidak melengahkan masa mereka untuk menjejaki lalu terus melakukan penangkapan terhadap lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Sarvjeet Singh.
Ramai pihak yang telah menyokong Jasleen dan memuji
keberaniannya dalam mempertahankan maruah diri. Jasleen dianggap sebagai
wirawati sebenar. Berbeza pula dengan Sarvjeet yang dikecam dan dihina dengan
begitu dahsyat sekali. Lebih malang apabila insiden itu turut menyebabkan
Sarvjeet kehilangan pekerjaaan serta pada masa sama dipulau oleh saudara dan
kenalannya. Ingat, Sarvjeet pada waktu ini belum diputuskan bersalah oleh pihak
mahkamah akan tetapi masyarakat sudah pun menjatuhkan hukuman kepadanya. Sampai
satu masa, Sarvjeet menjadi tertekan kerana berasa sangat malu dan sukar untuk
mencari pekerjaan hanya kerana insiden tersebut. Seperkara harus diketahui, Sarvjeet
ada memberikan penjelasan mengenai cerita sebenar yang berlaku pada malam
kejadian melalui ruangan komen pada hantaran Jasleen. Walau bagaimanapun, komen
Sarvjeet itu hanya dipandang sebelah mata oleh kebanyakan pihak.
Berdasarkan kenyataan daripada Jasleen tentang malam kejadian, Sarvjeet mengeluarkan kata-kata lucah kepadanya hanya kerana tindakannya menegur Sarvjeet yang cuba untuk melanggar lampu isyarat merah. Masalahnya, tiada sebarang bukti untuk mendukung kenyatan Jasleen ini. Apa yang ada hanyalah sekeping foto Sarvjeet. Penjelasan daripada Sarvjeet, dia ingin membelok ke kiri kerana laluan tersebut memang dibenarkan untuk membelok walaupun lampu isyarat merah sedang menyala. Apa yang berlaku kemudian, Jasleen telah berlaku biadap kepadanya sebelum menyebarkan cerita palsu di laman media sosial Facebook. Dalam erti kata lain, Jasleen kononnya mangsa keadaan. Beberapa hari sesudah hantaran Facebook Jasleen itu tular, barulah ada seorang saksi yang tampil menjelaskan cerita sebenar di mana dia mendakwa bahawa Sarvjeet berada di pihak yang benar.
Berhubung keputusan perbicaraan kes pada tahun 2019, pihak mahkamah akhirnya memutuskan Sarvjeet tidak bersalah. Maka dia pun terlepas daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Jasleen? Sepanjang tempoh tiga tahun perbicaraan kes, dia tidak pernah hadir pun ke mahkamah kerana dilaporkan telah melarikan diri ke Kanada.
Catat Ulasan for "KISAH SARVJEET SINGH YANG TERANIAYA : Bahana Cerita Sebelah Pihak."