KISAH VALERIE BACOT : Bangkitnya Seorang Wanita yang Tersakiti
Kejadian pembunuhan ini berlaku pada tahun 2016 bertempat di
Perancis di mana seorang wanita iaitu Valerie Bacot yang berusia dalam sekitar
40-an telah bertindak untuk membunuh suaminya sendiri dengan cara tembakan
pistol. Selepas melakukan pembunuhan tersebut, Valerie menguburkan mayat
suaminya itu di dalam sebuah kawasan hutan dengan bantuan anak-anaknya. Jadi,
apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga menyebabkan Valerie tergamak untuk
berbuat sedemikian?
Valerie Bacot merupakan anak kepada seorang ibu tunggal yang
bernama Joelle Aubagne. Ibu Valerie itu adalah seorang kaki botol tegar yang
begitu garang terhadap anak-anaknya. Diringkaskan cerita, Joelle telah berkahwin
buat kali keduanya dengan seorang lelaki pemandu trak yang dikenali sebagai
Daniel Polette. Sesudah perkahwinan tersebut, Daniel pun tinggal bersama dengan
Joelle sekeluarga pada bulan Disember 1992. Apa yang berlaku kemudian, Valerie
menjadi mangsa Daniel sewaktu dia berusia 12 tahun. Valerie yang enggan untuk
mendiamkan diri kemudian telah melaporkan mengenai insiden rogol itu kepada
guru di sekolahnya sekaligus membawa kepada penangkapan Daniel. Rentetan
daripada perkara tersebut, Daniel pun menerima hukuman penjara selama 4 tahun. Walau
bagaimanapun, Daniel dibebaskan semula hanya selepas dua tahun setengah
dipenjarakan. Setelah pembebasannya, Daniel pun kembali tinggal bersama dengan
keluarga Valerie. Perangai Daniel tidak pernah berubah dengan dia telah merogol
semula Valerie secara berterusan.
Akibat daripada perbuatan jijik Daniel, Valerie telah hamil anak pertamanya pada usianya 17 tahun. Joelle yang tidak dapat menerima kenyataan dengan perkara itu telah mengusir keluar Valerie dan Daniel dari rumahnya. Disebabkan itu, Valerie pun tinggal berdua dengan Daniel kerana dia tidak mempunyai sebarang tempat hala tuju. Hingga pada akhirnya, Valerie terpaksa mengahwini dengan Daniel. Hasil perkahwinan tersebut, Valerie telah melahirkan empat orang anak kepada Daniel. Sepanjang tempoh Valerie bergelar sebagai isteri Daniel, dia tidak pernah disayangi malah menjadi mangsa penderaan rumah tangga. Bayangkan, kehidupan seharian Valerie hanya untuk dimaki, ditampar, dibelasah dan dicekik oleh Daniel. Lebih dahsyat, Daniel adakalanya melakukan ugutan bunuh terhadap Valerie dengan menunjukan pistol. Seperkara yang menyedihkan, anak-anak Valerie pernah membuat laporan polis sebanyak dua kali tentang perangai bapa mereka itu. Cuma tidak dapat dipastikan punca laporan tersebut tidak dipandang serius oleh pihak polis.
Saat Daniel berhenti daripada menjadi pemandu trak,
kehidupan Valerie semakin bertambah derita seolah-olah tiada jalan
penghujungnya. Valerie dipaksa oleh Daniel untuk melacurkan diri dengan
melayani pelanggan yang terdiri daripada kalangan pemandu trak. Lokasi Valerie
melakukan hubungan seks secara paksaan itu adalah di dalam ruang belakang van
kecil kepunyaan Daniel. Valerie terpaksa akur kerana segala perbualannya
bersama pelanggan diintip oleh Daniel menggunakan alat perakam suara. Namun
keberanian Valerie akhirnya terserlah jua selepas dia mendapati Daniel mula
melakukan gangguan seksuan terhadap Karline, anak perempuan mereka sendiri yang
berusia 14 tahun. Valerie yang tidak mahu Karline menerima nasib sama
sepertinya telah tekad untuk menghentikan penderitaan yang sudah ditanggungnya
selama berdekad.
Maka pada 13 Mac 2016 berlokasi di dalam van kecil Daniel, Valerie melepaskan tembakan tepat mengenai pada bahagian belakang leher suaminya itu. Kejadian tersebut berlaku selepas Valerie selesai memuaskan nafsu seorang pelanggan. Pistol yang digunakan Valerie pula adalah pistol milik Daniel yang disimpannya di ruang belakang van berkenaan. Mayat Daniel telah Valerie kuburkan di dalam hutan dengan dibantu oleh dua orang anak lelakinya iaitu Dylan dan Kevin. Seorang lagi yang turut membantu merupakan teman lelaki Karline, Lucas. Setahun berikutnya, Lucas telah menceritakan insiden pembunuhan itu kepada ibunya. Susulan laporan yang dibuat oleh ibu Lucas, Valerie pun ditangkap oleh pihak polis.
Seperti yang dijangka, ramai pihak telah membantah penangkapan Valerie selepas mendapat tahu tentang cerita sebenar. Lebih 700 000 tandatangan petisyen diperolehi bagi menuntut pembebasan Valerie. Berhubung dengan perbicaraan kes, Valerie mendakwa pembunuhan Daniel adalah untuk mempertahankan dirinya yang telah menjadi mangsa penderaan sejak dari usia 12 tahun lagi. Kesemua anak Valerie juga memberikan kenyataan berbentuk sokongan kepada ibu mereka. Keputusan perbicaraan kes menyaksikan Valerie yang didapati bersalah telah dihukum penjara selama 4 tahun. Valerie bagaimanapun hanya menjalani hukuman penjara hanya untuk setahun daripada tempoh itu memandangkan dia sebelum itu memang sudah meringkuk di penjara selama tiga tahun perbicaraan kes. Soal Dylan, Kevin dan Lucas, mereka bertiga cuma dihukum penjara selama enam bulan atas pembabitan mereka. Bulan Mei 2021, Valerie yang sudah dibebaskan telah menerbitkan buku berkisarkan pengalamannya peritnya itu yang berjudul Tout le monde savait (Everyone Knew). Buku tersebut seterusnya menjadi salah sebuah buku yang mendapat jualan laris di pasaran.
Catat Ulasan for "KISAH VALERIE BACOT : Bangkitnya Seorang Wanita yang Tersakiti"