Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH VIDEO KONTROVERSI DI ROHTAK

    Kisah mengenai fitnah ini berlaku pada penghujung bulan November 2014 di Rohtak, India yakni beberapa bulan sebelum insiden fitnah Sarvjeet Singh. Kisah bermula apabila dua orang wanita adik-beradik bernama Pooja dan Arti mendakwa menerima gangguan seksual daripada tiga orang lelaki di dalam bas yang mereka sedang naiki. Ketiga-tiga lelaki tersebut segera bertindak untuk melarikan diri dari bas itu selepas dipukul oleh dua orang wanita terbabit dengan tali pinggang. Tanpa diduga, insiden tersebut telah dirakam oleh salah seorang penumpang di dalam bas itu sebelum disebarkan lalu terus menjadi tular di laman media sosial.

    Susulan rakaman tersebut, Pooja dan Arti diangkat sebagai wirawati sebenar oleh pengguna media sosial kerana berani dalam mempertahankan diri. Kisah keberanian dua adik-beradik itu bukan saja mendapat liputan luas media, malah mendapat pujian daripada para menteri termasuklah Ketua Menteri Haryana yang telah menghadiahkan mereka berdua wang ganjaran dianggarkan berjumlah hampir RM2000 untuk setiap seorang. Namun pada bulan Mac 2017, ramai pihak dikejutkan dengan keputusan pihak mahkamah yang telah melepaskan ketiga-tiga lelaki yang sebelum ini didakwa melakukan gangguan seksual terhadap Pooja dan Arti. Dalam erti kata lain, tiga orang lelaki tersebut didapati tidak bersalah. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?

    Kisah sebenar bermula apabila dua orang pelajar lelaki kolej iaitu Kuldeep dan Deepak yang berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah usai selesai menjalani peperiksaan di kolej mereka. Apa yang berlaku seterusnya, Kuldeep dan Deepak tiba-tiba disapa oleh seorang wanita tua yang meminta bantuan daripada mereka untuk membeli tiket bas. Tiada sebarang masalah untuk Kuldeep dan Deepak membantu wanita tua itu. Cumanya semasa Kuldeep dan Deepak memasuki bas tersebut, mereka berdua mendapati tempat duduk wanita tua itu telah diduduki oleh dua orang wanita tidak lain tidak bukan Pooja dan Arti. Perkara inilah yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara Kuldeep, Deepak, Pooja dan Arti. Mohit yang kemudian muncul di dalam bas tersebut dikatakan cuba meleraikan pergaduhan itu. Sampai satu masa, Kuldeep, Deepak dan Mohit yang dipukul secara berterusan terpaksa keluar dari bas kerana enggan untuk mengeruhkan lagi keadaaan. Malang sekali apabila Kuldeep, Deepak dan Mohit elah ditangkap oleh pada hari sama kejadian. Penangkapan tersebut dibuat rentetan laporan daripada Pooja dan Arti yang telah menuduh Kuldeep, Deepak dan Mohit melakukan gangguan seksual kepada mereka.

    Beberapa hari setelah pergaduhan itu, tular pula rakaman yang dikatakan sebagai video lama di mana Pooja dan Arti telah memukul seorang lelaki di sebuah kawasan taman. Lelaki tersebut dipukul kerana mengeluarkan kata-kata berbaur lucah terhadap Pooja dan Arti. Ada juga seorang lelaki tampil dengan dakwaan dirinya pernah dituduh melakukan pencabulan terhadap Pooja dan Arti di mana dia diminta untuk membayar sejumlah wang kepada pasangan adik-beradik tersebut bagi tujuan pertuduhannya digugurkan. Berbalik dengan cerita Kuldeep, Deepak dan Mohit, nasib menyebelahi mereka apabila ada beberapa orang saksi yang telah tampil untuk menceritakan perkara sebenar. Kebanyakan saksi memberikan keterangan yang sama, pergaduhan di dalam bas itu adalah berpunca daripada masalah tempat duduk dan bukan gangguan seksual seperti didakwa oleh Pooja dan Arti. Disebabkan perkara ini, Pooja dan Arti yang tidak berpuas hati telah memohon untuk menjalani ujian pengesanan pembohongan poligraf. Menerusi ujian tersebut, Pooja dan Arti menunjukkan keputusan tidak memberangsangkan sama sekali berbeza dengan Kuldeep, Deepak dan Mohit yang telah lulus.

    Walaupun keputusan mahkamah akhirnya memihak kepada Kuldeep, Deepak dan Mohit mereka terpaksa melalui detik hidup yang menyukarkan. Sudahlah menerima kecaman dan ugutan, impian mereka bertiga juga telah musnah dalam sekelip mata. Kuldeep dan Deepak terpaksa berhenti belajar akibat fitnah yang mereka terima. Pengguna laman media sosial terus menghukum mereka tanpa sebarang usul periksa hingga sanggup membelakangi pihak mahkamah dalam menentukan keputusan perbicaraan. Paling menyedihkan, Kuldeep dan Deepak tidak dibenarkan untuk peperiksaan memasuki tentera biarpun masing-masing sudah melepasi ujian fizikal. Mengenai Mohit, dia dibuang kerja hingga menjadi seorang penganggur yang sukar untuk mencari pekerjaan. Video rakaman kejadian di dalam bas tersebut boleh ditonton di sini : https://youtu.be/UsuIfYarJYk?si=0p4zTRUDkSnuXkWk

Catat Ulasan for "KISAH VIDEO KONTROVERSI DI ROHTAK"