KISAH WANG NAN : Cinta Tolakan Maut
Wang Nan dan Yu Xiaodong merupakan pasangan suami isteri dari wilayah Jiangsu, China yang telah menetap di Bangkok, Thailand sejak dari tahun 2016. Wang Nan merupakan seorang wanita ahli perniagaan yang memang berasal daripada keluarga berada. Lain pula ceritanya dengan Yu Xiaodong yang datang daripada keluarga miskin. Pasangan itu telah berkahwin pada bulan Julai tahun 2017 yakni beberapa bulan sesudah berkenalan. Wang Nan telah menerima lamaran perkahwinan daripada Yu Xiaodong selepas melihat kesungguhan lelaki tersebut memikat hatinya. Yu Xiaodong sebelum itu bukan saja sanggup berulang-alik untuk menghantar dan menjemput Wang Nan di tempat kerja, malah dia juga rajin menyediakan sarapan serta tidak kedekut mengeluarkan wang perbelanjaan pada setiap kali mereka berdua keluar bersama.
Kebanyakan pasangan yang bercinta hanya akan benar-benar
mengenali perangai sebenar pasangan masing-masing selepas berkahwin. Waku
bercinta, semuanya indah belaka. Begitu jugalah dengan Wang Nan. Tidak lama berkahwin
dengan Yu Xiaodong, suaminya itu mula menunjukkan belang yang sebenar. Yu
Xiaodong rupa-rupanya adalah seorang lelaki yang malas bekerja dan mempunyai
tabiat buruk suka berjudi. Lebih memburukkan keadaan, Yu Xiaodong sering
menyuruh Wang Nan untuk membayar hutang judinya. Dalam erti kata lain, Wang Nan
menanggung biawak hidup. Sampai satu masa, Yu Xiaodong meminta Wang Nan supaya
membayar hutang perjudiannya yang dianggarkan berjumlah hampir RM 700 000. Kali
ini, Wang Nan yang sudah tidak tahan dengan keadaan tersebut telah meminta Yu
Xiaodong untuk membayar sendiri separuh daripada jumlah hutang itu. Perkara
inilah yang menyebabkan Yu Xiaodong benar-benar berasa marah kepada Wang Nan.
Jadi, kisah sebenar pun bermula pada 9 Jun 2019 apabila Yu Xiaodong telah mengajak Wang Nan untuk mendaki tebing berbukit di Taman Kebangsaan Pha Taem yang terletak di wilayah Ubon Ratchathani bagi menikmati pemandangan matahri terbit. Pada mulanya, Wang Nan yang sedang hamil tiga bulan waktu tersebut berasa curiga kerana dia tahu tentang Yu Xiaodong yang mempunyai fobia dengan ketinggian. Wang Nan bagaimanapun tetap cuba untuk berfikiran positif. Sewaktu kedua-dua mereka berdiri di hujung sebuah kawasan tebing tinggi dalam kawasan taman itu, Yu Xiaodong tiba-tiba telah mencium pipi Wang Nan. Usai berbuat sedemikian, Yu Xiaodong berkata “pergi mati!” lalu menolak Wang Nan dari hujung bukit tersebut yang dianggarkan berketinggian 34 meter. Wang Nan mengerang kesakitan selama hampir setengah jam sebelum dia ditemui oleh pengunjung asing yang kebetulan melalui tempatnya terjatuh itu. Maka Wang Nan pun segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Sewaktu di hospital, Yu Xiaodong telah muncul untuk menemani
dan pada masa sama mengawasi Wang Nan. Dalam keadaan Wang Nan yang sakit
tersebut, dia diugut bunuh oleh Yu Xiaodong supaya tidak menceritakan perkara sebenar
kepada pihak polis. Jadi, Wang Nan pun terpaksa untuk mendiamkan diri buat
sementara waktu. Saat Yu Xiaodong beredar sebentar untuk pergi sarapan, barulah
Wang Nan mengambil peluang untuk memberitahu kepada pihak polis tentang apa
sebenarnya yang berlaku. Rentetan daripada perkara itu, pihak polis pun terus
melakukan penangkapan terhadap Yu Xiaodong bagi tujuan soal siasat. Motif Yu
Xiaodong cuba membunuh Wang Nan berkemungkinan besar adalah untuk mendapatkan
wang insurans.
Mengenai keadaan Wang Nan selepas insiden tersebut, dia telah mengalami patah tulang pada beberapa bahagian tulang di tubuh badannya termasuklah di bahagian lengan, paha dan lutut. Dia terpaksa melakukan beberapa pembedahan dan menjalani rawat terapi fisioterapi kerana mengalami masalah pergerakan. Apa yang pasti, Wang Nan bukan lagi Wang Nan yang dulu. Lagi menyedihkan Wang Nan, dia terpaksa menggugurkan bayi kandungan atas saranan doktor. Saranan itu dibuat atas faktor Wang Nan harus memakan pelbagai jenis ubat rawatan yang dikhuatiri akan menjejaskan kandungannya.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, pihak mahkamah di Thailand telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Yu Xiaodong atas pertuduhan melakukan cubaan membunuh. Namun selepas pihak Yu Xiaodong membuat rayuan, hukuman penjara seumur hidup tersebut ditukar kepada 10 tahun penjara. Keputusan hukuman itu ternyata sukar untuk diterima Wang Nan. Bagi Wang Nan, hukuman yang memang jelas tidak adik sama sekali. Kata Wang Nan waktu sebelumnya,
“Saya mahu dia (Yu Xiaodong) dikenakan hukuman berat. Dia telah mencederakan isteri dan sanggup untuk membunuh anaknya sendiri.”
Catat Ulasan for "KISAH WANG NAN : Cinta Tolakan Maut"