KRONOLOGI PEMBUNUHAN BAGUS PRASETYA LAZUARDI
INDONESIA – Pada
awal bulan April lalu, rakyat di negara Indonesia dikejutkan dengan berita
kematian seorang lelaki pelajar perubatan iaitu Bagus Prasetya Lazuardi, 27
tahun yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan. Mayat Bagus yang sudah dalam keadaan
membusuk telah ditemui oleh seorang penjual kopi di dalam kawasan semak samun
pinggir jalan raya Pasuruan-Malang. Pengenalpastian mayat Bagus itu dibuat
menerusi pemeriksaan cap jari melalui aplikasi Mobile Automatic Multi
Beometric Identification System.
Jadi apa sebenarnya yang berlaku kepada Bagus dan bagaimana
kronologi kejadian? Kisah bermula apabila bapa Bagus yang bernama Tutit
Lajuardi membuat laporan polis mengenai Bagus yang telah hilang sejak 7 April
2022. Berdasarkan siasatan awal pihak polis, kali terakhir Bagus dilihat adalah
semasa keluar bersama teman wanitanya yang hanya dikenali sebagai TS (24 tahun)
dengan menaiki kereta jenis Toyota Innova. Namun menerusi keterangan daripada
TS, dia mendakwa hanya keluar sebentar dengan Bagus untuk pergi makan. Seperkara
harus diketahui, Bagus dan TS baru saja sebulan bergelar sebagai pasasngan
kekasih. Selepas makan bersama, Bagus telah menghantarnya semula pulang ke
rumah. Pihak polis seterusnya melakukan siasatan dengan lebih terperinci hingga
berjaya mengenalpasti lalu menangkap suspek
pembunuhan yang diberikan gelaran sebagai ZI yakni bapa tiri kepada TS. Penangkapan
tersebut dibuat susulan penemuan kereta Toyota Innova milik Bagus di rumahnya
yang sebelum itu dilaporkan hilang.
Motif pembunuhan ZI adalah kerana dia berasa cemburu dengan hubungan yang terjalin antara Bagus dan TS. ZI dikatakan sudah lama memendam perasaan terhadap TS dan mempunyai niat untuk menikahai anak tiri perempuannya itu. Mengikut pengakuan yang dibuat oleh ZI tentang kejadian, dia telah menghubungi Bagus untuk mengajaknya bertemu. Alasan pertemuan, ZI ingin memberikan buah tangan kepada keluarga Bagus. Mereka berdua yang kemudian keluar bersama dengan menaiki kereta Toyota Innova Bagus sempat meronda untuk mencari kedai makan. Disebabkan kebanyakan kedai telah pun tutup waktu tersebut, ZI telah menyuruh Bagus menuju ke sebuah lokasi lain. Setibanya di lokasi berkenaan, ZI mengungkit mengenai hubungan Bagus dengan TS. ZI yang berasa sakit hati telah mengeluarkan pistol mainan untuk diacu kepada Bagus. Sesudah berbuat sedemikian, ZI meminta telefon pintar Bagus. ZI menjadi semakin marah setelah membaca perbualan teks mesej antara Bagus dengan TS. Bagus mati dibunuh ZI dengan cara badan ditindih dan kepalanya pula ditutup dengan kain plastik. Usai Bagus sudah tidak lagi bernyawa, ZI yang seakan sudah dirasuki syaitan membuang mayatnya ke dalam kawasan semak samun.
Kes masih lagi dalam siasatan sepenuhnya oleh pihak polis. ZI bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Catat Ulasan for "KRONOLOGI PEMBUNUHAN BAGUS PRASETYA LAZUARDI "