MISTERI KEMATIAN PAULETTE GEBARA FARAH

Paulette Gebara Farah yang dilahirkan pada 20 Julai 2005
merupakan anak kepada pasangan suami isteri kaya-raya bernama Mauricio Gebara
dan Lizette. Mauricio menjalankan perusahaan berkaitan hartanah manakala
Lizette pula adalah seorang peguam. Paulette mempunyai seorang kakak yang
dikenali sebagai Lizette Jr. yang tiga tahun lebih tua daripadanya. Paulette
merupakan orang kurang upaya di mana dia mengalami masalah pergerakan fizikal
dan pertuturan. Perkara ini bermaksud Paulette tidak dapat untuk berjalan dan
bercakap dengan baik.
Kisah sebenar bermula pada 21 Mac 2010. Petang hari tersebut,
Paulette pulang daripada trip percutian di Valle de Bravo bersama dengan bapa dan
kakaknya. Kepulangan tiga anak-beranak itu telah disambut oleh Lizette yang
sebelum itu tidak dapat menyertai percutian tersebut kerana dia memilih untuk
keluar bersama dengan rakannya. Malam itu yakni sebelum Lizette Jr. dan
Paulette tidur, Lizette mencium dahi mereka berdua seperti kebiasaan yang dia
lakukan. Keesokan paginya, dua orang pengasuh yang bekerja di apartment mewah
keluarga Paulette iaitu Erickha dan Martha menjadi panik apabila mendapati
Paulette tidak berada di dalam bilik tidurnya. Tentang Lizette Jr., dia sudah
pun keluar dari rumah untuk pergi ke sekolah. Puas Erickha dan Martha mencari
Paulette di kawasan apartment akan tetapi Paulette tetap gagal ditemui. Rentetan
daripada perkara itu, Erickha dan Martha segera menghubungi pihak polis untuk
tindakan selanjutnya. Mauricio dan Lizette yang menerima perkhabaran
mendukacitakan tersebut terus bergegas untuk pulang ke apartment mereka.

Berdasarkan siasatan awal yang pihak polis lakukan, mereka mengesahkan bahawa tiada tanda pecah masuk, barang hilang dan elemen penculikan yang dikesan. Malah tiada sebarang bukti yang menunjukkan Paulette keluar dari apartment. Seperkara harus diketahui, keluarga Paulette ada membela dua ekor anjing. Kedua-dua ekor anjing itu tidak mengeluarkan bunyi salakan pada malam kejadian. Dalam erti kata mudah, tiada unsur jenayah pada peringkat awal siasatan kehilangan Paulette. Kes ini yang kemudiannya menjadi heboh telah mendapat perhatian daripada ramai pihak termasuklah peguam negara Mexico, Alberto Bazbaz. Enam hari setelah menghilangnya Paulette, pihak media dibenarkan untuk memasuki apartment keluarga Paulette bagi melakukan liputan berita.

Pada 28 Mac 2010, ibu bapa Paulette termasuk para pengasuh telah ditahan bagi membantu siasatan. Penahanan tersebut dibuat berikutan mereka yang didapati memberikan keterangan bercanggah antara satu sama lain. Mereka berempat bagaimanapun dibebaskan pada hari yang sama. Dua hari berikutnya bersamaan dengan hari kesembilan kehilangan Paulette, pihak polis telah melakukan rekontruksi semula di lokasi kejadian pada sekitar jam 2 pagi. Namun sewaktu sesi rekontruksi ini dilakukan, ada perkara yang benar-benar mengejutkan berlaku. Mayat Paulette ditemui di dalam sebalik selimut dengan posisinya berada di antara celah tilam dan hujung katil bilik tidurnya! Penemuan tersebut dibuat susulan bau busuk dari katil berkenaan. Pelik tetapi benar. Cuba fikirkan, bagaimana mayat Paulette tiba-tiba boleh berada di situ sedangkan pencarian telah pun dilakukan pada waktu sebelumnya oleh pelbagai agensi yang berkepakaran termasuk menggunakan anjing pengesan. Mustahil mayat Paulette langsung tidak disedari. Malah sepanjang tempoh kehilangan Paulette, bilik itulah yang menjadi tempat Lizette diwawancara oleh para wartawan.
Hasil laporan forensik, Paulette disahkan mati akibat sesak
nafas. Paulette dipercayai telah terperangkap di celah hujung katil lalu sukar
untuk bernafas memandangkan dia tidak dapat untuk bergerak. Berkemungkinan
besar dia berguling dengan sendiri sewaktu sedang tidur sebelum terjatuh di
kawasan tersebut. Dalam erti kata lain, Paulette mati akibat insiden yang tidak
disengajakan, bukan mangsa pembunuhan.

Ramai pihak mempercayai bahawa kematian Paulette sebenarnya adalah satu kes pembunuhan. Apa yang pasti, tumpuan dalam kes ini semestinya terhadap ibu bapa Paulette sendiri. Banyak perkara yang mencurigakan mengenai mereka berdua. Salah satu daripada perkara itu adalah kedua-dua mereka yang kelihatan begitu tenang pada awal-awal kehilangan Paulette. Lizette dikatakan meminum kopi sambil menghisap rokok tatkala si pengasuh masih dalam keadaan menggelabah mencari Paulette. Selepas penemuan mayat Paulette, Mauricio dan Lizette sering menyalahkan antara satu sama lain hingga mereka berdua memutuskan untuk bercerai.
Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN PAULETTE GEBARA FARAH"