KISAH ANU SINGH : Bijak Tapi Psiko
Anu Singh adalah seorang wanita pintar kelahiran India
Australia yang dilahirkan pada 3 September 1972 di mana ibu bapanya merupakan
doktor perubatan. Tamat sekolah menengah, Anu yang cemerlang dalam bidang
akademik telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Kebangsaan Australia
dengan mengambil jurusan undang-undang. Anu kemudian telah berkenalan dengan
seorang lelaki bernama Simon Walsh di mana mereka berdua seterusnya menjadi
pasangan kekasih. Walau bagaimanapun,
hubungan tersebut berkekalan lama selepas Anu berlaku curang dengan menjalinkan
hubungan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Joe Cinque.
Sedikit tentang Joe Cinque, dia yang berasal dari Itali
tetapi sudah lama menetap di negara Australa bersama ibu bapanya itu
digambarkan sebagai seorang lelaki baik, peramah dang begitu disenangi oleh
orang di sekelilingnya. Dalam erti kata lain, Joe bukan seorang lelaki yang
bermasalah sama sekali. Pada mulanya, Joe dan Anu bercinta secara hubungan
jarak jauh kerana masing-masing tinggal di bandar yang berbeza. Jadi mereka
berdua hanya bersempatan untuk berjumpa apabila ada masa terluang. Namun apa
yang pasti, hubungan pasangan tersebut didominasi oleh Anu yang mempunyai
masalah tingkah laku pelik lagi aneh. Pernah sekali yakni sewaktu Anu
diperkenalkan kepada rakan-rakan Joe buat kali pertamanya, dia telah berborak
mengenai bekas teman lelakinya dan kehidupan selepas alam kematian.
Hinggalah satu hari, Joe telah membuat keputusan untuk berpindah dari Newcastle ke Canberra walaupun mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya. Perpindahan ini adalah kerana Joe ingin tinggal serumah dengan Anu. Sejak Joe tinggal bersama dengan Anu, perangai aneh teman wanitanya itu semakin menjadi-jadi. Joe kerap menjadi tempat Anu untuk melepaskan kemarahan. Anu bukan saja berperwatakan yang narsistik, malah dia juga mempunyai keobsesan untuk memiliki bentuk tubuh badan ideal serta sempurna. Pada masa sama, Anu mengamalkan diet pemakanan yang cukup ketat kerana dia menganggap dirinya mempunyai penyaki berbahaya. Situasi menjadi lebih buruk apabila keadaan Anu menjadi seakan tidak terurus hingga memaksa bapanya membawanya pergi berjumpa dengan pakar psikologi dan psikiatri. Diagnos daripada pakar tersebut mendapati Anu sebenarnya mempunyai masalah psikologi.
Sampailah satu masa, Anu tiba-tiba berniat untuk membunuh
Joe tanpa sebab yang diketahui. Rancangan pembunuhan itu dilakukan dengan
bantuan oleh Madhavi Rao, rakan kepada Anu yang berperanan untuk mendapatkan
bahan serta peralatan bagi tujuan itu. Malah Madhavi juga membantu Anu dalam
mencari maklumat yang berkaitan. Anu turut merancang untuk membunuh diri setelah
selesai membunuh Joe. Mengikut perancangan asal Anu dan Madhavi, Joe akan
dibunuh pada waktu majlis parti di rumah mereka. Seperkara harus diketahui, Anu
telah memberitahu tentang rencana jahat tersebut kepada rakan-rakan sekuliahnya
yang menerima undangan ke majlis parti itu. Cumanya tidak dipastikan mengapa
tiada seorang pun daripada rakan Anu itu yang membuat laporan laporan polis
mengenai plot pembunuhan Anu tersebut. Jo sendiri tidak tahu dengan nasib yang
bakal menimpanya itu.
Maka pada malam 24 Oktober 1997, majlis parti di rumah Anu pun berlangsung. Sesudah tetamu parti tersebut selesai makan, Anu pun memulakan aksinya dengan meletakkan ubat bius ke dalam minuman Joe. Apabila keadaan Joe semakin lemah, Anu mengambil kesempatan itu untuk menyuntik Joe dengan dos heroin yang berlebihan. Cubaan tersebut bagaimanapun gagal berikutan heroin menjadi bergumpal dalam picagari itu. Pada malam berikutnya, majlis parti diadakan sekali lagi di rumah Anu dengan kedatangan tetamu yang sama seperti malam sebelumnya. Kali ini, cubaan melakukan suntikan daripada Anu tersebut sekaligus menyebabkan Joe tidak sedarkan diri. Hanya selepas keesokan paginya, barulah Anu menghubungi pihak ambulans untuk memaklumkan tentang keadaan Joe yang masih tidak lagi sedarkan diri. Itu pun setelah disuruh oleh rakannya untuk berbuat sedemikian. Anu dikatakan sengaja untuk melengahkan-lengahkan masa dengan memberikan alamat yang salah kepada pihak ambulans. Setibanya pihak ambulans dan pihak polis di lokasi kejadian, Anu telah menjerit histeria sebaik saja dia melihat mayat Joe dibawa pergi.
Hasil laporan toksikologi menunjukkan kadar kandungan heroin dan rohypnol yang sangat tinggi dalam badan Joe. Anu akhirnya membuat pengakuan tentang pembunuhan tersebut selepas disoal siasat oleh pihak polis selama berjam-jam. Dia cuma mendiamkan diri apabila ditanya berhubung pembatalan niatnya yang untuk membunuh diri selepas kematian Joe. Soal perbicaraan kes, pihak pembelaan telah menggunakan hujah Anu yang didiagnos mengalami penyakit kecelaruan personaliti pinggiran. Keputusan perbicaraan pada tahun 1999, Anu diputuskan tidak bersalah oleh pihak juri atas pertuduhan pembunuhan terancang kerana disahkan mempunyai gangguan mental akan tetapi dia didapati bersalah membunuh tanpa niat sekaligus menerima hukuman penjara selama 10 tahun dengan pembebasan bersyarat selepas 4 tahun dipenjarakan. Sementara itu, Madhavi dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Selepas dua tahun menjalani hukuman penjara, Anu dibebaskan pada tahun 2001 kerana kiraan tempoh pemenjaraannya adalah bermula dari tahun penangkapannya. Tiga tahun berikutnya, Anu sekali lagi dipenjarakan untuk tempoh 3 bulan atas kesalahan menghisap ganja. Tidak lama selepas pembebasannya itu juga, Anu telah memperolehi ijazah sarjana dalam bidang kriminologi selepas berjaya menamatkan pengajian di Universiti Sydney. Kes Anu ini turut diterbitkan ke dalam bentuk penerbitan buku dan filem. Tahun 2012, Anu berjaya mendapatkan gelaran Doktor Falsafah dengan tesis penyelidikannya yang bertajuk Offending Women: Toward a Greater Understanding of Women’s Pathways Into and Out of Crime in Australia.
Catat Ulasan for "KISAH ANU SINGH : Bijak Tapi Psiko"