KISAH KEMATIAN LACEY FLETCHER YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Pada 3 Januari 2022, pihak talian kecemasan di Amerika
Syarikat telah menerima satu panggilan kecemasan daripada seorang wanita
berasal dari Slaughter, Louisiana iaitu Sheila Fletcher (64 tahun) di mana dia
mendakwa bahawa anak perempuannya yang bernama Lacey (36 tahun) didapati sudah
tidak lagi bernyawa. Bertindak atas panggilan tersebut, pihak polis terus
bergegas ke lokasi di kejadian dengan Sheila serta suaminya yang dikenali
sebagai Clay (64 tahun) sudah pun bersiap sedia untuk memberikan keterangan.
Menurut Clay dan Sheila, mereka berdua baru saja pulang dari
pekan sebelum mendapati mayat Lacey yang juga merupakan satu-satunya anak
mereka itu meninggal dunia. Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan dalam
rumah tersebut lalu menemui mayat Lacey terbenam di dalam sebuah sofa yang
terletak di ruang tamu berserta dengan bauan hancing dan najis. Mayat Lacey yang
ternyata benar-benar dalam keadaan mengerikan. Seluruh tubuh badannya dipenuhi
dengan najis, bintik merah dan kesan gigitan serangga. Mata Lacey terbeliak,
mulutnya pula ternganga luas. Sewaktu penemuan mayat Lacey itu, berat badannya
hanya 43 kilogram.
Berdasarkan laporan forensik, kematian Lacey adalah berpunca daripada beberapa sebab seperti akibat kekurangan zat makanan, dibiarkan kelaparan, luka ulser dan jangkitan tulang. Dia dipercayai mati pada beberapa jam sebelum mayatnya ditemui. Fakta yang paling mengejutkan, Lacey sudah dibiarkan berada di atas sofa tersebut selama 12 tahun! Diulangi, 12 tahun. Perkara ini bermaksud, Lacey tidak pernah bergerak dari sofa itu. Menurut Clay dan Sheila, Lacey didakwa mengidap sejenis penyakit sindrom yang boleh menyebabkan kelumpuhan. Cumanya tiada sebarang rekod perubatan Lacey yang pihak polis perolehi bagi membuktikan tentang perkara tersebut. Lacey bagaimanapun adalah seorang pesakit autisme dan kecelaruan keresahan. Rentetan daripada perkara ini, Clay dan Sheila pun disoal siasat secara lebih lanjut.
Menerusi keterangan daripada Sheila, dia dan suaminya sering membersihkan serta memberikan makanan kepada Lacey. Anak mereka itu enggan untuk meninggalkan kawasan ruang tamu itu berikutan penyakit kecelaruan keresahan yang dialaminya. Jadi, sofa tersebut memang menjadi tempat Lacey membuang air kecil dan air besar. Pada masa sama, Clay dan Sheila tidak pernah membawa Lacey pergi berjumpa dengan doktor kerana dikatakan tidak pernah mengadu sakit. Kenyataan Clay dan Sheila itu ternyata sukar untuk dipercayai oleh ramai pihak. Lacey diyakini menjadi mangsa pengabaian dengan cara yang begitu kejam sekali. Tahun 2010, Clay dan Sheila pernah bertemu dengan doktor bagi membincangkan soal penyakit Lacey. Mendengar perkara itu, doktor tersebut telah meminta pasangan tersebut untuk membawa Lacey sekali bagi tujuan diagnosis namun Clay dan Sheila tidak pernah berbuat sedemikian.
Dr. Bickham selaku Pegawai Koroner dalam kes menyayat hati ini menjelaskan bahawa kematian Lacey adalah kes jenayah paling tidak berkeperimanusiaan yang pernah dilihatnya. Malah Dr. Bickham turut menangis dan tidak mempunyai selera makan selama seminggu selepas membedah siasat mayat Lacey. Sebaik berita mengenai kematian Lacey tersebat, ramai kenalan Clay dan Sheila berasa terkejut kerana mereka tidak langsung tidak menyangka bahawa pasangan berkenaan sebenarnya mempunyai anak. Bahkan ada antara mereka tampil dengan memberitahu bahawa dia sudah tidak melihat Lacey untuk tempoh 15 tahun. Sewaktu Lacey berusia 14 tahun, dia digambarkan sebagai seorang yang berperwatakan periang. Clay dan Sheila terpaksa menyekolahkan Lacey di rumah setelah tingkah lakunya semakin sukar untuk ditangangi. Seperkara harus diketahui, Clay dan Sheila bukan calang-calang orang. Clay adalah seorang pekerja pertubuhan badan kebajikan manakala Sheila pula bekerja untuk sebuah parti politik di pekan mereka.
Clay dan Sheila telah ditangkap secara rasmi pada awal bulan April lalu sebelum kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan sebanyak $300 000 untuk setiap seorang. Mereka berdua telah pun menerima pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat kedua. Hingga kini, masih tidak dapat dipastikan tentang tarikh perbicaraan mereka akan dimulakan.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN LACEY FLETCHER YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"