Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LAIN KKN DI DESA PENARI

Kamar Jeri

     Seperti yang kita semua sedia maklum, kisah KKN di Desa Penari sedang menjadi bahan sohor kini yang terus menjadi bualan pengguna laman media sosial. Namun sejauh manakah kebenaran kisah ini kerana ada orang yang benar-benar mempercayainya dan ada juga mengatakan ia sekadar fiksyen yang dikatakan sebagai kisah benar demi melariskan filem tersebut. Baru-baru ini, seorang Youtuber terkenal Indonesia iaitu Kamar Jeri telah menceritakan pula kisah KKN di Desa Penari versi lain yang dialami oleh lima orang mahasiswa. Menurut Kamar Jeri, kisah yang diceritakannya adalah hasil kiriman e-mel pengikutnya yang turut didakwa sebagai kisah benar. Lima orang mahasiswa itu pergi ke Desa Penari tersebut selepas kisah KKN di Desa Penari yang ditulis oleh seorang pengguna Twitter yang bernama @SimpleMan81378523 menjadi tular di laman media sosial.

    Baiklah, mari mulakan dengan semua nama watak-watak yang terlibat adalah sekadar nama samaran.

    Pada satu hari, ada tiga sekawan wanita iaitu Sophia, Dini dan Mela sedang melepak bersama-sama. Mereka bertiga sedang berborak tentang daerah Banyuwangi yang sememangnya terkenal dengan cerita-cerita berunsurkan mistik. Sophia, Dini dan Mela meyakini bahawa lokasi desa dalam kisah KKN di Desa Penari yang sedang tular pada waktu tersebut adalah terletak di daerah Banyuwangi. Disebabkan itu, ketiga-tiga daripada mereka yang didorong rasa ingin tahu berniat untuk pergi ke daerah Banyuwangi dengan merancang untuk mengajak dua orang rakan lelaki mereka iaitu Rudi dan Anton. Rudi merupakan teman lelaki kepada Mela. Walau bagaimanapun, halangan terbesar yang terpaksa dihadapi oleh Sophia, Dini dan Mela dalam merealisasikan niat mereka tersebut adalah untuk mendapatkan keizinan daripada ibu bapa mereka. Pada masa sama, Sophia merancang untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran Mela tanpa pengetahuan Mela dengan melakukan kejutan kepadanya di daerah Banyuwangi itu. Rancangan Sophia tersebut telah dipersetujui oleh Rudi.

    Maka pada hari kejadian, mereka berlima pun berangkat ke daerah Banyuwangi. Pada waktu sebelumnya, Sophia, Dini dan Mela telah mendapat keizinan daripada ibu bapa mereka dengan cara berbohong. Apa yang dapat dipastikan, ibu bapa mereka tidak tahu menahu tentang Rudi dan Anton yang sebenarnya turut serta bersama menemani anak mereka. Keberangkatan mereka berlima menuju ke daerah Banyuwangi berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Hinggalah satu ketika, mereka pun tiba di sebuah kawasan desa pendalaman. Saat tersebut, mereka semua dapat merasakan bahawa kawasan desa itu adalah desa seperti yang diceritakan di dalam kisah KKN di Desa Penari. Anton, Rudi, Mela, Dini dan Shophia kemudian pergi menginap di sebuah rumah persinggahan yang mempunyai beberapa buah bilik. Mereka tidur di dua buah bilik berasingan dengan Anton dan Rudi tidur sebilik. Begitu juga dengan Mela, Dini dan Sophia.

    Sewaktu mereka melepak di bahagian ruang tamu rumah penginapan tersebut, Rudi tiba-tiba bertanya kepada wanita penyambut tetamu rumah penginapan itu mengenai lokasi desa seperti dalam KKN di Desa Penari yang sedang tular waktu tersebut. Mendengar perkara itu, wanita penyambut tetamu tersebut berasa sangat terkejut sebelum dia menyuruh Rudi untuk melakukan sendiri pencarian desa itu melalui aplikasi Google Maps. Keesokan harinya, mereka semua pun bersiap siaga untuk pergi mencari desa tersebut dengan menaiki kereta sewa yang telah ditempah oleh Anton. Sebelum mereka berlepas pergi, Mela sebelum itu telah dimarahi oleh Rudi dengan teruk sekali. Punca kemarahan Rudi tersebut adalah kerana kad ATM miliknya hilang yang diyakini sudah diambil oleh Mela. Tuduhan itu ternyata membuatkan Mela benar-benar berasa kecewa dan terkilan. Tanpa disedari Mela, semua itu sebenarnya sekadar gimik daripada Rudi hasil kesepakatan dengan Dini dan Sophia sempena sambutan hari jadi Mela pada hari tersebut. Pada waktu ini juga, pemandu kereta sewa tersebut sempat berpesan kepada mereka semua untuk menjaga tingkah laku masing-masing sepanjang keberadaan di desa itu.

    Perjalanan pun dimulakan dengan kereta dipandu oleh Anton. Rudi meneruskan lakonannya dengan tidak menegur langsung Mela sepanjang perjalanan. Anton akhirnya berhenti di hujung sebuah jalan desa tersebut yang dikelilingi dengan hutan di mana laluan di situ tidak dapat untuk dimasuki oleh kereta. Jadi, Anton memarkir kereta di bawah sebuah pokok sebelum mereka semua mengeluarkan barangan masing-masing dari kereta itu. Mela sempat melihat Sophia mengeluarkan sebuah kotak kecil. Disebabkan berasa curiga, Mela telah bertanya kepada Sophia tentang isi kandungan dalam kota tersebut. Sophia memberitahu bahawa kotak itu mengandungi kamera yang baru saja dibelinya. Pemberitahuan tersebut adalah satu pembohongan daripada Sophia kerana kota itu sebenarnya mengandungi kek hari jadi Mela.

    Anton, Rudi, Mela, Dini dan Sophia memulakan langkah kaki mereka. Apa yang mereka lihat, rumah penduduk desa dengan suasana sunyi sepi lagi menyeramkan. Mereka begitu yakin bahawa kawasan situ sememangnya adalah lokasi tepat KKN di Desa Penari. Melihat Rudi yang masih bersikap dingin kepadanya, Mela memilih untuk berjalan bersendirian akan tetapi tidak lama sesudah itu dia telah ditemani oleh Anton. Mereka berdua berpecah daripada Rudi, Dini dan Sophia yang berjalan seiring. Waktu tersebut, Rudi sudah sibuk mencari lokasi yang sesuai untuk membuat kejutan kepada Mela. Rudi sempat meminta izin daripada penduduk setempat untuk melakukan aksi kejutan itu. Dia diizinkan untuk berbuat sedemikian dengan syarat cara yang berpada-pada.

    Setelah mengelilingi di sekitar desa tersebut, Rudi pun menemui lokasi yang dirasakannya sesuai untuk menyambut hari ulang kelahiran Mela. Rudi kemudian menghantar teks pesanan Whatsapp kepada Anton akan tetapi tiada sebarang maklum balas yang diterimanya. Selepas mencapai kata sepakat dengan Dini dan Sophia, mereka bertiga bersepakat untuk bersembunyi secara berasingan di dalam semak sekitar kawasan itu. Sebelum menyembunyikan diri, Rudi sekali lagi cuba meghubungi Anton. Kali ini, Rudi memberitahu lokasi semasanya kepada Anton melalui perkongsian lokasi Whatsapp. Tidak lama selepas penghantaran perkongsian lokasi tersebut dibuat, Anton dan Mela pun muncul di lokasi berkenaan pada waktu hampir menjelangnya Maghrib. Rudi dan Sophia pun keluar dari kawasan semak-samun sambil menjerit dengan ucapan selamat hari ulang tahun kelahiran kepada Mela. Pada waktu ini, barulah Mela menyedari bahawa sikap dingin Rudi kepadanya sebelum itu hanyalah lakonan semata-mata. Mela benar-benar berasa terharu dengan kejutan tersebut. Mereka semua bagaimanapun menjadi kehairanan apabila Dini masih lagi tidak kelihatan. Setelah mendapati Dini tiada di lokasi persembunyiannya, keadaan mula menjadi kelam-kabut. Sewaktu Anton, Rudi, Mela dan Sophia masih sedang sibuk melakukan pencarian, Dini tiba-tiba muncul di depan mata mereka. Mendengar penjelasan daripada Dini yang mendakwa bahawa dia memang berada di tempat persembunyiannya sejak dari awal lagi, mereka semua menyedari bahawa ada sesuatu yang berlaku. Kejadian sebegini biasanya angkara Jin. Perkara ini bermaksud, Dini telah disembunyikan oleh jin sekaligus menyebabkan dia tidak dapat dilihat secara nyata oleh rakan-rakannya yang lain.

    Sewaktu mereka dalam perjalanan pulang semula ke rumah penginapan, masing-masing diam seribu bahasa seolah-olah masih tergamam dengan apa yang sudah berlaku kepada Dini. Sophia juga sempat melihat leher Mela yang mempunyai kesan seakan tanda ciuman. Cumanya Sophia memilih untuk mendiamkan diri kerana enggan untuk menimbulkan kekecohan. Sampai di rumah penginapan, pemandu si lelaki pemandu kereta sewa itu sudah menunggu kedatangan mereka dengan tujuan untuk mengambil semula kereta sewa tersebut. Selesai semua urusan di situ, lelaki itu yang kelihatan pucat terus bergegas untuk beredar pergi dari kawasan situ. Rupa-rupanya di tempat duduk penumpang belakang kereta sewa tersebut, ada beberapa orang lagi yang sedang duduk menumpang. Lelaki itu hanya mampu untuk membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kerana dia menyedari orang-orang tersebut adalah makhluk halus yang mengekori kumpulan mahasiswa itu.

    Pada malam sama yakni sewaktu Anton dan Rudi sedang berehat di dalam bilik tidur mereka, dua sekawan tersebut telah dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu. Apabila pintu itu dibuka, mereka berdua melihat Mela dan Sophia yang sedang berada dalam ketakutan. Mengejutkan Anton dan Rudi apabila mereka berdua diberitahu mengenai Dini telah mengalami kerasukan. Sebaik saja Anton dan Rudi memasuki bilik Dini, dia dilihat merangkak sebelum menari tarian jawa dengan gerakan yang lemah gemalai. Anton dan Rudi cuba untuk menyedarkan Dini akan tetapi tindakan mereka tersebut tidak membuahkan sebarang hasil. Melalui pandangan dalam cermin, Mela melihat dengan jelas wajah Dini yang benar-benar menyeramkannya. Dek kerana berasa buntu, Anton dan Rudi pun meminta bantuan daripada penyambut hotel yang seterusnya memanggil seorang ustaz.

    Kedatangan ustaz itu ternyata tidak sia-sia apabila dia dapat menenangkan Dini buat sementara waktu. Namun situasi tersebut tidak berpanjangan apabila Dini tiba-tiba merasakan kesakitan pada bahagian kemaluannya. Tanpa diduga, Mela juga menerima nasib yang sama sebelum dia tiba-tiba melakukan tarian jawa. Melihat Mela bertingkah laku sedemikian, Rudi melakukan cubaan untuk memeluk teman wanitanya itu. Walau bagaimanapun, dia telah ditolak dengan kuat oleh Mela. Selepas menolak Rudi, Mela pergi mencekik pula leher Anton sambil dalam keadaannya tersenyum. Sophia yang berasa buntu telah menelefon ibunya lalu membuat pengakuan tentang pembohongan yang sudah dia lakukan. Menyedihkan Sophia apabila dia dimarahi oleh ibunya pada saat situasi genting sedemikian. Hingga pada akhirnya, ustaz tersebut telah berjaya berkomunikasi dengan makhluk halus yang merasuki Dini dan Mela.

    Ustaz itu diberitahu oleh makhluk-makhluk halus tersebut bahawa semua mahasiswa itu harus berada di desa berkenaan sehinggalah anak yang dikandung salah seorang daripada mereka dilahirkan. Dini, Mela dan Sophia menjadi terpinga-pinga dengan penjelasan tersebut kerana tiada seorang daripada mereka pun hamil. Hanya selepas Mela merintih kesakitan yang disebabkan kesakitan pada bahagian perutnya, barulah terdedah bahawa dialah sebenarnya individu yang dimaksudkan oleh makhluk halus itu. Perkara tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Rudi yang seterusnya Mela untuk membuat pengakuan. Cerita Mela, dia dan Anton telah melakukan hubungan seks di kawasan desa itu. Tambah Mela lagi, dia berbuat sedemikian kerana berasa kecewa dengan sikap dingin Rudi sebelum dia menyedari kedinginan Rudi tersebut sengaja dibuat-buat. Menurut ustaz itu, perbuatan terkutuk yang dilakukan Anton bersama Mela di desa keramat tersebut adalah perkara yang memang tidak dapat untuk diterima sama sekali.

    Kesudahan cerita, Mela telah meninggal dunia semasa dia menggugurkan kandungannya itu. Anton pula menerima rawatan psikiatri akibat mengalami tekanan dan kemurungan. Rudi, Dini dan Sophia dibenarkan pulang kerana Mela dan Anton sudah pun menerima pembalasan.

SUMBER : Kamar Jeri              PAUTAN VIDEO ASAL : https://youtu.be/smdgQ-Rzul0

Catat Ulasan for "KISAH LAIN KKN DI DESA PENARI"