Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEE EUN HYE : Sisi Gelap Seorang Isteri

Lee Eun Hye bersama ibu bapanya pada tahun 2002.

    Lee Eun Hye yang dilahirkan pada tahun 1991 merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya. Keadaan Lee sekeluarga sangatlah susah di mana mereka hanya bergantung kepada wang kebajikan yang diterima pada setiap bulan bagi menampung kehidupan. Diringkaskan cerita iaitu pada tahun 2002, keluarga Lee telah dipilih untuk bersiaran di dalam sebuah program televisyen yang menawarkan pengubahsuaian rumah serta pemberian perabot secara percuma. Sewaktu tayangan program tersebut, Lee yang kelihatan begitu teruja mendapat pujian daripada orang ramai kerana dia sanggup berkorban masa demi menjaga kedua-dua orang tuanya. Pada masa sama, Lee berjanji serta berazam untuk membantu orang yang senasib dengannya apabila dia dewasa kelak.

Lee Eun Hye dan Yoon Sang Yeop

    Pada usia 18 tahun, Lee selamat melahirkan anak sulungnya yakni anak perempuan. Disebabkan statusnya sebagai ibu tunggal dan kewangan yang agak tidak stabil, Lee terpaksa meletakkan anaknya itu di bawaah jagaan ibunya buat sementara waktu. Tahun berikutnya, Lee mengalami episod duka setelah teman lelakinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Nasib malang Lee berterusan apabila teman lelakinya yang baru turut meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti menyelam. Lee yang tidak pernah berhenti untuk mencari pasangan hidup kemudian telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Yoon Sang Yeop. Lelaki tersebut yang 11 tahun lebih tua daripada Lee bekerja sebagai pekerja penyelidik dengan kadar pendapatan bulanan tinggi. Tahun 2017, Yoon dan Lee pun berkahwin secara rasmi akan tetapi tiada sebarang majlis perkahwinan yang diadakan. Perkahwinan itu bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila Yoon meninggal dunia pada bulan Jun 2019 akibat mati lemas semasa melakukan aktiviti riadah di lembah air terjun Gapyeong bersama dengan Lee serta lima orang lagi individu lain.


    Lebih kurang lima bulan sesudah kematian Yoon, Lee menuntut wang faedah insurans hayat suaminya itu yang dianggarkan bernilai sebanyak $644 000. Mengejutkan Lee, tuntutan tersebut bukan saja tidak diterima oleh syarikat insurans berkenaan bahkan dia juga dituduh cuba membuat tuntutan yang mempunyai unsur penipuan. Rentetan daripada perkara itu, Lee yang berasa tidak berpuas hati telah membuat aduan kepada pihak berwajib berhubung wang insurans hayat tersebut. Selain itu, Lee turut mengadu tentang perkara itu kepada SBS, salah sebuah stesen televisyen terkenal Korea Selatan. Susulan aduan daripada Lee, pihak SBS memberikan jaminan untuk melakukan siasatan secara adil dan saksama terhadap syarikat insurans tersebut yang dipercayai telah melanggar polisi. Maka di sinilah bermulanya kisah sebenar, terdedahnya sisi gelap Lee.

    Harus diingatkan, pihak SBS waktu sebelumnya ingin membela nasib Lee. Namun selepas pihak SBS membuat penyiasatan dengan lebih mendalam, mereka berjaya membongkar satu plot twist terbesar. Kematian Yoon sebelum ini diyakini bukanlah akibat insiden kemalangan yang tidak disengajakan tetapi sebaliknya satu kes pembunuhan terancang dengan dalangnya adalah Lee! Diulangi semula, Lee. Jadi, bagaimana perkara ini boleh berlaku?

    Hasil siasatan oleh pihak SBS, kehidupan rumah tangga Yoon dan Lee tidaklah sebahagia seperti yang disangkakan. Sepanjang tempoh bergelar sebagai suami isteri, Yoon dan Lee tidak pernah duduk sebumbung. Yoon tinggal di sebuah bilik bawah tanah yang sempit manakala Lee pula menetap di apartment mewah. Mereka berdua dikatakan hanya berjumpa pada waktu hujung minggu sahaja. Apa yang dapat dipastikan, Lee sememangnya enggan untuk tinggal bersama dengan Yoon. Soal wang perbelanjaan, semua ditanggung oleh Yoon seperti bayaran sewa apartment, bil utiliti, barang dapur dan lain-lain lagi komitmen. Malah, Yoon menyerahkan semua wang gajinya kepada Lee pada setiap bulan bagi menampung gaya hidup mewah isterinya itu. Begitu juga dengan semua wang simpanan Yoon. Perkara ini bermaksud Yoon tidak mempunyai sesen pun dalam akaun bank simpanannya. Sampai satu tahap, Yoon terpaksa meminta wangnya semula daripada Lee melalui teks mesej untuk membeli makanan dan kasut. Kebanyakan mesej Yoon tersebut tidak diendahkan sama sekali oleh Lee. Seperkara harus diketahui pada bulan kelima perkahwinan Yoon dan Lee, Yoon telah mengambil empat insurans hayat dengan Lee dinamakan sebagai waris penerima.

    Bulan Jun tahun 2018, Yoon diisytiharkan bangkrap kerana dia sendiri sudah tidak mempunyai sebarang wang lagi untuk menyara kehidupan Lee. Betapa terdesaknya hidup Yoon apabila dia sanggup meminjam wang daripada rakan-rakannya. Wang yang dipinjam tersebut bukan untuk Yoon tetapi demi kepentingan Lee. Yoon bahkan pernah terniat untuk menjual organnya sendiri bagi mendapatkan wang. Ingat, Yoon sebelum ini bergaji besar. Lee tidak pernah mempedulikan keadaan Yoon. Apa yang Lee tahu sert inginkan, dia mendapat wang setiap bulan daripada Yoon. Tanpa Yoon sedari, isterinya itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Cho Hyun Soo. Kurang jelas bagaimana dan sejak bila Lee dan Cho mula berkenalan. Tidak banyak yang diketahui tentang hidup Cho. Setakat maklumat yang diperolehi, dia mempunyai rekod terlibat dengan aktiviti perjudian dan pelacuran.

Lee Eun Hye dan Cho Hyun Soo

    Berbalik pada cerita hari kejadian, kematian Yoon yang dikatakan akibat lemas sejak dari awal lagi memang diragui oleh keluarga dan kenalannya. Perkara ini berikutan fakta mengenai Yoon yang takutkan ketinggian dan tidak pandai untuk berenang. Berdasarkan keterangan daripada seorang wanita bernama Choi kepada krew SBS, dia mendakwa bahawa Yoon telah didesak oleh Lee dan Cho untuk terjun mandi ke dalam air pada waktu kejadian. Choi adalah salah seorang individu yang turut serta bersama dengan Lee dan Yoon pada hari kejadian itu. Yoon terjun setelah Cho melakukan terjunan. Cerita Choi lagi, mereka hanya menyedari Yoon lemas apabila dia langsung tidak timbul ke permukaan air selepas itu. Pasukan pencarian dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian tidak memerlukan masa lama untuk menemui mayat Yoon. Tiga hari selepas kematian Yoon, rumahnya sewa telah dimasuki oleh Lee dan Cho. Pasangan tersebut telah mengambil beberapa barangan peribadi milik Yoon seperti komputer dan Ipad. Lee dan Cho juga sebenarnya pernah dua kali cuba untuk membunuh Yoon. Kali pertama pada bulan April 2019 dengan cara menggunakan racun ikan. Kali kedua pada tahun sama, Yoon ditolak di dalam ke dalam air tasik tempat memancing. Yoon terselamat dalam kedua-dua insiden tersebut. Satu lagi fakta paling mengejutkan, Lee adalah waris penerima wang faedah insurans hayat atas kematian dua orang teman lelakinya seperti yang dinyatakan pada perenggan kedua dalam artikel ini.

    Setelah enam bulan lamanya pihak SBS menjalankan siasatan, mereka akhirnya menayangkan dokumentari tentang kematian Yoon yang benar-benar mencurigakan. Lebih kurang dua bulan selepas tayangan dokumentari itu, pihak polis telah mengklafikasikan semula kes kematian Yoon daripada kemalangan kepada kes bunuh dengan Lee dan Cho menerima pertuduhan melakukan pembunuhan serta penipuan insurans. Pada waktu ini, nama sebenar Lee dan Cho tidak didedahkan kepada pihak umum. Tidak lama selepas penamaan mereka berdua sebagai suspek utama, Lee dan Cho telah bertindak untuk melarikan diri. Hinggalah bulan Mac 2022, pihak polis akhirnya mendedahkan nama sebenar Lee dan Cho. Disebabkan pendedahan nama inilah menyebabkan Lee dicam semula sebagai budak perempuan yang pernah tampil dalam program televisyen pada dua dekad lepas sekaligus menjadikan kes kematian Yoon ini tular.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Lee dan Cho. Menerusi perkembangan terkini kes ini, Lee dan Cho telah pun berjaya ditangkap oleh pihak polis pada pertengahan bulan April 2022 yang lalu di dalam bangunan tempat persembunyian mereka. Penangkapan tersebut dibuat hasil maklumat yang bapa Lee berikan kepada pihak polis. Lee dan Cho dilaporkan berjaya menyembunyikan diri untuk tempoh yang begitu lama kerana kedua-dua mereka tidak menggunakan telefon dan kad kredit bagi mengelakkan daripada dikesan. Proses pendakwaan Lee dan Cho sudah pun dimulakan pada awal Mei 2022. 

Catat Ulasan for "KISAH LEE EUN HYE : Sisi Gelap Seorang Isteri"