Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEGENDA URBAN SERAM MARIA LABO

    Pernahkah anda mendengar nama Maria Labo? Jika belum, Maria Labo merupakan sebuah legenda urban terkenal dari Filipina mengenai hantu wanita kanibal. Percayalah, kisah Maria Labo ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah kisah seram yang mengerikan di antara kebanyakan legenda urban dunia. Maria Labo mengisahkan tentang seorang wanita yang telah terkena sumpahan menjadi kanibal.

    Maria adalah seorang wanita yang sudah bersuami serta bergelar sebagai ibu kepada dua orang anak. Diringkaskan cerita, dia kemudian telah menerima tawaran pekerjaan menjadi seorang jururawat demi membantu suaminya bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Jadi, Maria yang pun bekerja di sebuah rumah kediaman seorang lelaki tua yang sudah pun uzur dan lumpuh pada bahagian kaki. Maria sebenarnya ada mendengar cerita tentang lelaki tua itu sebenarnya adalah seorang lelaki kanibal. Malah, lelaki tua tersebut juga sengaja untuk dilumpuhkan oleh individu tertentu bagi mengelakkan mangsanya semakin bertambah. Walau bagaimanapun, Maria tidak mempercayai cerita itu yang dirasakannya begitu mengarut sekali. Malah dia berasa berbaloi untuk menjaga orang tua tersebut kerana gaji yang diterimanya agak lumayan.

    Selepas bertahun-tahun lamanya menjaga lelaki tua tersebut, Maria akhirnya tekad untuk berhenti bekerja. Keputusan tersebut dibuat oleh Maria mengambil kira faktor wang tabungannya sudah pun mencukupi untuk meneruskan kehidupan. Lagipun, dia ingin kembali tinggal bersama dengan suami dan anak-anaknya setelah sekian lama terpisah. Namun apabila lelaki tua itu mengetahui niat Maria yang ingin meninggalkannya, dia ternyata tidak dapat untuk menerima kenyataan. Puas lelaki tua tersebut cuba memujuk Maria untuk membatalkan saja niatnya untuk berhenti kerja. Maria bersetuju dengan syarat dia hanya akan bekerja setengah hari sahaja buat sementara waktu. Sejak itu, emosi lelaki tua tersebut menjadi tidak stabil. Hinggalah satu hari, jari Maria telah digigit sehingga berdarah oleh lelaki tua itu sewaktu dia menyuapkan makanan kepadanya. Maria pun terus beredar pergi dari rumah lelaki tua tersebut dan tidak pernah lagi kembali ke situ.

    Apa yang anehnya sesudah insiden gigitan itu, Maria mula berasa tidak selesa dengan dirinya sendiri. Nafsu makan Maria semakin membuak-buak apabila dia melihat tubuh badan manusia. Maria mula sedar, dia kini bukan lagi Maria yang sebelumnya. Pada satu malam, suami Maria yakni seorang anggota polis terus pulang ke rumah sebaik tamat waktu syif bekerjanya. Setibanya suami Maria di rumah dengan kepulangannya disambut sendiri oleh Maria yang berwajah ceria, dia dikejutkan dengan penemuan kepala kedua-dua anaknya dalam peti sejuk. Susulan penemuan dahsyat tersebut, suami Maria yang benar-benar berasa marah telah mengambil pisau lalu mengelar muka isterinya hingga meninggalkan kesan parut. Disebabkan inilah Maria digelar sebagai Maria Labo yang membawa maksud Maria Parut. Kesudahan cerita, Maria sempat untuk melarikan diri dari dibunuh suaminya dan tidak pernah lagi dilihat semenjak itu.

    Ada sesetengah masyarakat di Filipina mempercayai bahawa Maria Labo masih lagi berkeliaran dengan menjelma sebagai “Aswang”, sejenis makhluk yang mempunyai kemampuan untuk menukar bentuk badannya samada dengan menjadi binatang atau manusia dalam pelbagai usia. 

Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN SERAM MARIA LABO "