KISAH LUCAS & KIM : Pembunuhan Kejam Twilight
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2016 bertempat
di selatan Lincolnshire, England. Tahun tersebut, Elizabeth adalah seorang ibu
tunggal berusia 49 tahun yang tinggal bersama dengan dua orang anak
perempuannya iaitu Kim (14 tahun) dan Kathie (13 tahun). Elizabeth tidak
mempunyai hubungan yang baik dengan Kim. Elizabeth dikatakan lebih rapat dengan
Kathie berbanding dengan Kim. Perkara ini bermaksud Elizabeth tidak mempunyai
hubungan yang baik dengan Kim dengan mereka berdua kerap bertengkar antara satu
sama lain. Punca hubungan dua anak beranak itu renggang adalah disebabkan jiwa
Kim memberontak pernah ditampar oleh Elizabeth sewaktu dia baru berusia 6
tahun. Tidak lama selepas insiden tamparan tersebut, Elizabeth yang menyesali
perbuatannya telah menyerahkan diri kepada jabatan kebajikan sosial. Jadi Kim
dan Kathie pun dipisahkan daripada Elizabeth buat sementara waktu. Walaupun
mereka bertiga kembali tinggal bersama sesudah itu, Kim ternyata semakin
membenci Elizabeth.
Melihat Kathie lebih disayangi oleh ibunya, Kim bergelut dengan emosinya. Sampai satu masa, dia bukan saja membuat ugutan bagi melarikan diri dari rumah malah siap berniat untuk menghabisi nyawanya sendiri. Apabila perkara ini disedari oleh Elizabeth, dia telah membawa Kim pergi berjumpa dengan pakar psikiatri. Dalam erti kata lain yakni jauh di sudut hati Elizabeth, dia sebenarnya menyayangi Kim. Hasil pemeriksaan daripada pakar psikiatri tersebut bagaimanapun mendapati Kim tidak mempunyai sebarang tanda mengidap penyakit mental. Situasi menjadi semakin tegang saat Elizabeth mendapat tahu tentang Kim yang telah menjalinkan hubungan dengan seorang remaja lelaki dikenali sebagai Lucas Markham. Elizabeth menentang perhubungan itu kerana di matanya Lucas bukanlah seorang lelaki yang baik. Bagi Elizabeth, usia Kim masih lagi mentah untuk bercinta dengan lelaki nakal seperti Lucas.
Mengenai Lucas, dia membesar tanpa kasih sayang seorang ibu
kerana ibunya meninggal dunia sejak dari usianya 4 tahun. Lebih memburukkan
keadaan, bapa Lucas adalah seorang kaki botol. Dia kemudian tinggal bersama
dengan ibu saudaranya atas dasar simpati. Lucas memiliki sifat panas baran yang
sering memicunya untuk bergaduh dengan pelajar lain di sekolahnya. Kim menjadi
jatuh cinta kepada Lucas saat dia melihat Lucas membaling kerusi di dalam kelas
mereka. Kim merasakan bahawa Lucas adalah lelaki lain daripada lain. Lucas dan
Kim telah menjadi pasangan kekasih yang sukar untuk dipisahkan kerana mereka
berdua memiliki perwatakan serta kisah hidup yang sama.
Pada bulan Oktober 2015, Kim melarikan diri dari rumah kononnya untuk hidup bersama dengan Lucas. Pasangan kekasih tersebut bagaimanapun ditemui semula dalam sebuah khemah berlokasi di hutan pada hari keenam mereka dilaporkan hilang. Susulan penemuan itu, Lucas dan Kim pun dihantar semula untuk pulang ke rumah masing-masing. Pada waktu inilah Lucas berniat untuk merencanakan pembunuhan terhadap Elizabeth menerusi persetujuan bersama Kim.
Maka kisah sebenar pun bermula pada malam 13 April 2016.
Lucas yang menggalas beg berisi pisau telah menyelinap masuk ke dalam rumah
Elizabeth dengan bantuan daripada Kim. Selepas itu, Lucas memasuki bilik tempat
Elizabeth tidur. Elizabeth yang tersedar daripada tidur cuba untuk melawan
Lucas. Namun kudratnya tidak mampu untuk melawan sebelum mukanya ditekup oleh Lucas
menggunakan bantal. Lagi kejam, Lucas telah menikam pada bahagian leher
Elizabeth. Kim pada asalnya ingin membunuh Kathie. Namun dek kerana berasa
panik melihat bagaimana ibunya dibunuh, Kim telah menyuruh Lucas melakukan
kerja pembunuhan tersebut. Kathie telah dibunuh oleh Lucas dengan cara yang
sama seperti Elizabeth.
Setelah pembunuhan itu, Lucas dan Kim kekal berada di lokasi kejadian selama 36 jam. Sepanjang tempoh tersebut, mereka berdua mandi bersama, melakukan hubungan seks dan menonton siri filem Twilight di ruang tamu sambil memakan ais krim. Penangkapan pasangan muda itu dibuat selepas pihak polis menerima maklumat mengenai ketidakhadiran Elizabeth di tempat kerjanya. Begitu juga dengan Lucas, Kim dan Kathie yang tidak datang ke sekolah pada waktu serentak sekaligus menimbul rasa kecurigaan terhadap pihak pengurusan sekolah mereka. Seperkara harus diketahui semasa pihak polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, Lucas dan Kim masih lagi duduk bermesraan di atas sofa ruang tamu. Apabila ditanya oleh pihak polis tentang keberadaan Elizabeth dan Kathie, Lucas dengan muka yang tenang menjawab “Apa kata awak semua pergi tengok sendiri?” Pihak polis pun pergi melakukan pemeriksaan lalu menemui mayat Elizabeth dan Kathie yang benar-benar dalam keadaan mengerikan.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Lucas dan Kim yang mendapat jolokan sebagai salah pasangan pembunuh termuda di England telah didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara selama 17 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH LUCAS & KIM : Pembunuhan Kejam Twilight "