KISAH NANG NAK, HANTU PALING POPULAR DI THAILAND
Mae Nak atau lebih dikenali dengan panggilan Nang Nak adalah hantu legenda urban yang paling popular di negara Thailand. Sudah banyak kali kisah pasal hantu Nang Nak ini difilemkan dengan pelbagai jenis genre seperti seram, seram komedi, seram romantik dan banyak lagi. Filem Nang Nak yang paling pernah mendapat sambutan hangat daripada penonton adalah berjudul Phi Mak Phra Khanong, terbitan tahun 2013. Filem tersebut telah meraih kutipan paling tertinggi dalam sejarah industri perfileman Thailand.
Kisah Nang Nak ini
dikatakan telah berlaku pada abad ke-19 yakni pada sekitar tahun 1800. Dalam sebuah
kawasan perkampungan bernama Phra Khanong yang berlokasi di Bangkok, ada
sepasang suami isteri hidup bahagia bersama. Si suami dikenali sebagai Mak, isterinya
pula dipanggil dengan nama Nang Nak. Mereka berdua tinggal di dalam sebuah
rumah yang berdekatan dengan tebing sungai. Kehidupan pasangan itu semakin
bahagia saat Nang Nak yang berwajah cantik diketahui hamil anak sulung mereka.
Cumanya, perjalanan hidup Mak dan Nang Nak tidak seperti yang dirancang.
Semuanya berubah apabila Mak telah dikerah oleh kerajaan Siam untuk pergi
berperang pada waktu tersebut.
Mak bagaimanapun
mengalami kecederaan parah semasa dalam peperangan itu sebelum dia dihantar ke
hospital untuk rawatan selanjutnya. Pada masa sama, Nang Nak berserta anak
kandungannya telah meninggal dunia di rumah akibat komplikasi bersalin. Sesudah
Mak sembuh daripada kecederaannya, maka dia pun kembali pulang ke rumah tanpa
mengetahui sebarang berita tentang kematian anak dan isterinya. Pada waktu ini,
Nang Nak dan anak lelakinya sudah pun menjadi hantu dengan hanya Mak saja yang
boleh melihat mereka. Dalam erti kata lain, Mak sebenarnya tinggal bersama
dengan hantu. Mak pernah diberitahu oleh penduduk kampung mengenai jelmaan
hantu Nang Nak itu. Walau bagaimanapun, Mak tidak langsung mempercayai perkara
tersebut kerana dia beranggapan bahawa penduduk kampung berasa iri hati dengan
hubungan bahagiannya bersama Nang Nak. Hantu Nang Nak bahkan turut membunuh
mana-mana penduduk kampung yang dirasakan cuba untuk memisahkannya dengan Mak.
Hinggalah satu hari, Nang Nak sedang menyiapkan makan malam untuk Mak. Sewaktu persiapan makanan itu, limau nipis yang sedang dipegang Nang Nak tiba-tiba terjatuh ke lantai. Jadi, dia pun mengambil semula limau nipis tersebut dengan cara memanjangkan tangannya. Namun tanpa Nang Nak sedari, aksinya itu telah dilihat oleh Mak secara tidak sengaja. Melihat aksi Nang Nak yang menyeramkan tersebut, Mak terus berasa ketakutan. Mak kemudian keluar dari rumah dengan memberikan alasan untuk membuang air besar lalu segera menyembunyikan diri di sebalik kawasan semak belukar yang dipenuhi dengan pokok Naat. Menurut kepercayaan masyarakat Thailand, hantu atau roh jahat tidak boleh mendekati pokok Naat ini. Sebaik Nang Nak mendapat tahu suaminya sudah melarikan diri, dia pun melepaskan kemarahannya terhadap penduduk kampung yang dipercayai menjadi punca Mak meninggalkannya.
Enggan diganggu Nang Nak secara berterusan, penduduk kampung telah meminta bantuan daripada seorang sami di mana sami itu melakukan upacara ritual hingga dapat memerangkap Nang Nak ke dalam tembikar tanah. Penamat kisah, tembikar tersebut dikatakan dibuang ke dalam sungai. Berkenaan dengan Mak, pelbagai versi cerita mengenainya setelah tertewasnya hantu Nang Nak. Ada versi cerita yang mengatakan dia telah menjadi seorang sami dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di dalam kuil. Ada juga versi cerita yang mendakwa Mak meneruskan kehidupannya bersama dengan wanita lain.
Catat Ulasan for "KISAH NANG NAK, HANTU PALING POPULAR DI THAILAND"